Ini kisah benar yang berlaku pada tahun 1998. Pada waktu itu saya baru menamatkan kursus Diploma Pengajian Perniagaan di Politeknik Ungku Omar. Oleh kerana pada masa itu kegawatan ekonomi sedang melanda, terlalu sukar mendapat pekerjaan sesuai dengan kelayakan, maka saya bekerja sebagai pembantu parkir di Super Kinta Ipoh.
Super Kinta pada masa itu adalah antara pasar raya terkenal di Ipoh kerana belum wujud banyak pasar raya besar seperti hari ini. Salah satu keadaan lazim di pintu masuk ke Super Kinta ialah peminta sedekah yang duduk bersusun memohon simpati pengunjung. Kebanyakannya adalah warga emas atau golongan cacat anggota.
Pada waktu tengah hari, saya lazimnya akan makan di medan selera di tingkat dua bangunan. Di situlah berkumpulnya para pekerja, pelanggan dan peminta sedekah pada waktu makan untuk menjamu selera.
Pada suatu hari ketika sedang menikmati makan tengah hari, saya lihat dua orang remaja perempuan berjalan bersama seorang peminta sedekah wanita warga emas yang buta matanya. Mereka berjalan dan duduk bersama di meja di sebelah saya, memesan makanan dan makan bersama.
Selesai makan saya mendengar dengan jelas salah seorang remaja perempuan itu memanggil pelayan dan bertanya jumlah bayaran yang telah mereka makan. Dengan jelas juga saya mendengar selepas itu remaja itu berkata kepada penggemis wanita warga emas itu :
"Mak, mana duit dapat tadi, orang nak bayar makan ni"
Maka peminta sedekah itupun mengeluarkan pendapatannya pagi itu dan memberikan kepada remaja perempuan tadi. Lalu diambil kesemuanya dan dibayar kepada peniaga.
"Yang lebih ni orang nak belanja kawan orang tengok wayang, jom kami hantar mak kat depan balik"
Sampai di situ, saya tak dapat mengawal perasaan lalu meninggalkan medan selera itu segera
Antara tanda-tanda kiamat adalah apabila hamba melahirkan tuannya.......
Hari ini, walaupun mungkin tidaklah sesedih kisah di atas, semakin ramai ibu bapa yang melahirkan tuan mereka sendiri. Mereka bekerja siang malam dengan penuh kesungguhan dan mungkin kesukaran, bagi mendapat wang yang akhirnya wang itu digunakan untuk memenuhi nafsu si anak yang selalu mahukan kemudahan yang terkini.
Lalu berapa banyakkah dari jumlah gaji yang diperolehi digunakan sebagai bekalan untuk akhirat diri sendiri wahai yang mempunyai anak? Berapa banyak yang diberi kepada anak-anak untuk yang tidak mereka perlu berbanding sedekah yang diberikan kepada umat Islam seluruh dunia yang amat memerlukan? Wahai si hamba..... kamu ini hamba siapa sebenarnya? Hamba anak, hamba nafsu, hamba dunia atau benar-benar hamba Allah?
3 ulasan:
Salam Tuan
Saya ingin mengesyorkan supaya ditintakan juga garispanduan atau landasan dari segi kewangan dalam menjadi hamba Allah swt, berbanding dengan menjadi hamba2 lain.
JustMy2cents.
InsyaAllah saya akan usahakan. Mungkin memerlukan masa
Saya cadangkan tuan memberi saya kewangan! hohoho!
Catat Ulasan