KAMI MENAWARKAN

KHIDMAT PERUNDINGAN MOTIVASI
(ALAM SUKMA CONSULTANT)


BEKAM MODEN
PROSES BEKAM DI RUMAH ANDA SENDIRI (KAWASAN TERTENTU SAHAJA)


PENAPIS AIR IMTIYAAZ PADA HARGA RM598
MEMBELI SAMBIL MEMBANTU EKONOMI UMAT
PRODUK BUMIPUTERA ISLAM TEMPATAN

KULAAN FOODS
MENYEDIAKAN PERKHIDMATAN SAJIAN MAKANAN (CATERING)

SEBARANG MAJLIS DI PERAK, KEDAH, PULAU PINANG, SELANGOR DAN KUALA LUMPUR

hubungi :
fakir_albanjari@yahoo.com





25 Januari 2010

SYUKUR ATAS SYUKUR


Suatu hari Nabi Musa a.s. yang diberi izin berbicara dengan Allah Azzawajalla telah terfikir tentang hakikat syukur. Bagaimana dia dapat bersyukur walhal itu adalah mustahil lantaran nikmat boleh bersyukur juga perlu disyukuri. Jika dia mensyukuri sesuatu nikmat, maka dia telah menggunakan sesuatu nikmat lain yakni nikmat boleh bersyukur. Apabila nikmat boleh bersyukur itu disyukuri, maka nikmat yang baru pula telah digunakan. Seolah-olahnya syukur itu adalah suatu nikmat yang tidak akan habis disyukuri lantaran dengannya akan datang nikmat yang baru.

Syukur atas nikmat syukur
Lalu mensyukurinya
Lalu mensyukurinya
Lalu mensyukurinya
Lalu mensyukurinya………

Lalu bertanyalah Nabi Musa a.s. kepada Allah s.w.t, bagaimanakah dia mahu bersyukur atas nikmat boleh besyukur?

Maka jawab Allah s.w.t Yang Maha Penyayang, “Cukuplah kau mengerti bahawa bersyukur itu juga merupakan nikmat yang datang dariKU yang harus disyukuri”

Salah satu cara bersyukur adalah dengan mempamerkan nikmat yang Allah kurniakan kepada orang yang berhak dipamerkan, agar mereka melihat kebesaran dan kehebatan Allah s.w.t. dalam nikmat yang dipamer.

Lantaran itu Baginda Nabi Muhammad s.a.w dalam beberapa keadaan sengaja menunjukkan kurnia Allah s.w.t kepada Baginda. Untuk menetapkan yakin umat atas kenabian Baginda dan kehebatan Allah s.w.t.

Lantaran itu Imam Malik gemar memakai pakaian yang indah dan mengenakan wangian yang mahal, kerana beliau adalah dari keturunan bangsawan lagi hartawan. Katanya. “Allah suka jika hambaNYA mepamer nikmat yang diterima”

Lantaran tu ada waliNYA yang menunjukkan beberapa karamah kepada orang tertentu atau umum, bagi menunjukkan Allah Yang Maha Berkuasa mampu memberi dan menentukan apa sahaja termasuk yang mencarik adat yang pelik dari ukuran akal manusia.

Menunjukkan nikmat adalah sebahagian cara menghilangkan lelah salik dalam tariqnya menuju hadrat tujuan tariq itu sendiri. Mungkin oleh mursyid di awal sebelum bermulanya perjalanan atau di tengah perjalanan.

Cuma kadangkala terdapat helah syaitan mengusap rasa ujub dan riak di dalamnya. Namun sebahagian rahsia tetap dibuka olahNYA jua.

Ia bak barang yang dikutip di tengah jalan …………… bekal meneruskan perjalanan nan penuh dugaan.

18 Januari 2010

NANTI

Nanti
bila telah ku usai tugas
di medan ini

apa lagi amal bakti
mampu kuhulur
untuk membina jiwa
anak bangsa

Nanti
bila telah ku usai usia diberi
di bumi ini

apa lagi amal bakti
mampu kukumpul
untuk manfaat diri
di alam sana

kuhajati
sesuatu baki
sesudah tugasku
sesudah usiaku

mahu kalian serta?

13 Januari 2010

SEKOLAHKU


Mereka kata keadilan
Semua dapat hak yang saksama
Sama rata

Lalu bertepuk tanganlah
Beramai-ramai gembira
Tanda terima kasih tidak terhingga

Kawanku
Bersekolah di sekolah asrama
Diberi guru pilihan
Makan minum separuh harga
Dewan besar boleh diguna bila panas dan hujan
Bas sedia hantar ke mana sahaja
Satu kelas 25 orang maksima

Aku
Di sekolah harian biasa
Guru sandaran separuh senarai
Makan minum harga biasa
Lari ke kantin bila hujan menimpa
Tengah hari tiada agenda
Guruku perlu cari bas kalau nak ke mana-mana
56 orang rakan sekelas sahaja
Berjalan ke masjid bila nak solat

Bila keputusan peperiksaan dijelma
Kawanku bangga dengan pencapaianya
Sedang kami dikatakan bodoh
Lagi malas membaca

Adilnya mereka!

08 Januari 2010

GULA, TEH TARIK DAN AYAM DAGING

gambar dari http://www.detikfinance.com/


“Harga gula dah naik 20 sen”

Itu kata Kak Ida kantin
Bila aku bertanya mengapa
Teh tariknya berlainan harga
Naiknya seperti sekilo gula

Dulu
80 sen cuma
Kini
RM1 jadinya

Segelas teh diletak sekilo gula agaknya…

Kasihan si miskin yang jadi mangsa
Kerana naiknya harga gula
Berlipat ganda naik untung peniaga

Sedang ayam daging yang malas, bertenggek di dalam rebannya
“aku tak terlibat, aku tak rasa apa-apa. Makanan cukup tuanku beri”
Katanya

Ayam terus mematuk tak hirau hari esok
Bahawa dia akan diotong lehernya!


p/s : Kurangkan pengambilan gula, sayangi kesihatan anda

04 Januari 2010

NASIHAT

gambar dari hikmatun.wordpress.com

4 orang kanak-kanak baru belajar mengenai hukum dalam solat. Diajarlah oleh si guru bahawa solat itu ada perkara wajibnya, rukunnya, sunatnya, syarat sahnya, perkara yang membatalkannya serta yang makruh dan harusnya.

Maka suatu hari berjalanlah 4 orang kanak-kanak ini ke suatu tempat dan masuklah waktu solat. Lalu selepas berwudu’ mereka pun bersedia untuk menunaikan solat. Seorang imam dan 3 orang sebagai makmum. (takkan 3 imam pulak). Mereka memilih sebatang pokok yang rimbun untuk solat di bawahnya.

Ketika sedang solat, tiba-tiba seekor burung yang sedang bertenggek di atas pokok telah melepaskan hajatnya lalu jatuhlah tahinya di atas kopiah si imam. Mungkin kerana terlalu kusyuk, maka si imam tidak sedar kejadian itu tetapi disedari ketiga-tiga orang makmum.

Oleh kerana merasakan imam tidak menyedari kejadian itu, tiba-tiba seorang makmum berkata : “Imam, burung berak atas kopiah hang, ustaz kata batal sembahyang kalau kita kena najis”

Tiba-tiba makmum di sebelahnya pula berkata : “Hei, mana boleh bercakap, kalau bercakap sembahyang batal”

Tak pasal-pasal makmum seorang lagi terberkata : “Alhamdulillah, nasib baik aku tak bercakap”
Maka batallah sembahyang mereka berempat

* Cerita ini adalah rekaan semata-mata oleh guruku.

Kesimpulanya :

1. Ada orang yang tak sedar dia buat salah, bukan sengaja buat salah, maka tanggungjawab kita adalah memberitahunya yang benar
2. Ada orang yang bersemangat nak menegur orang yang buat salah sehingga keterlaluan atau cara yang digunakan tidak betul. Akibatnya orang tak mahu dengar tegurannya bukan kerana teguran itu tidak betul, tetapi cara menegur yang tidak betul .
3. Ada orang hanya memerhati orang yang buat salah tanpa menegur, sedangkan dia buat salah kerana merasakan dia hebat kerana tak buat salah walhal dia juga buat salah, iaitu salah kerana tidak menegur.
4. Ada sebilangan orang menegur orang yang buat salah dengan hikmah. (menurut guruku, hikmah itu maksudnya kebijaksanaan, bukan lemah lembut. Bijaksana maknanya kalau yang paling sesuai adalah nasihat, nasihatlah. Kalau paling sesuai dengan penyepak, sepaklah. Kalau yang paling sesuai udang-undang, undang-undanglah)

p/s : Hari ini ramai orang yang menyebut-nyebut kesalahan orang lain tanpa ada usaha membetulkan orang yang buat kesalahan itu. Dia rasa seronok sebab tak buat kesalahan yang orang tu buat. Mengumpat? Kita bagaimana?

01 Januari 2010

YANG MAHA PENYAYANG

gambar dari http://ansar63.wordpress.com/

Kubuka permulaan tahun 2010 ini dengan kongsian terjemah dari penutup Kitab Ihya’ Ulumuddin, tentang besarnya rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t. kepada umat manusia. Mudah-mudahan ia menjadi sesuatu yang kita hajati dan cuba perolehi dengan usaha nan keras. Mudah-mudahan kita tidak kecewa dengan kegagalan kepada kecintaan terhadap dunia yang fana ini, dan mencari cinta yang hakiki.

Diriwayatkan terdapat seorang budak lelaki yang sedang berdiri sebagai hamba yang ingin dijual. Maka diserukan kepada orang ramai untuk mendapatkan harga yang lebih tinggi oleh penjualnya pada suatu hari yang amat panas di musim panas.

Lalu ketika itu budak lelaki itu dilihat oleh seorang wanita yang berada dalam usungan kaumnya. Maka wanita itu pun pergi mendapatkan budak lelaki itu dalam keadaan yang amat sukar sambil diikuti oleh teman-temannya. Apabila sampai, perempuan itupun mengambil budak lelaki itu lalu memeluknya. Kemudian dia membawa budak lelaki itu ke sungai dan duduk di atas batuan kecil dan diletakkan budak lelaki itu di atas perutnya sambil dilindungi dari kepanasan. Lalu perempuan itu sambil menangis berkata “anakku! Anakku!”

Lalu menangislah orang ramai yang memerhatikan peristiwa itu sehingga meninggalkan urusan masing-masing. Lalu datanglah Baginda Rasulullah s.a.w. dan berdiri di kalangan orang ramai yang sedang memerhatikan. Maka mereka bercerita kepada Baginda Nabi s.a.w tentang kejadian itu. Lalu baginda bergembira dengan kasih sayang mereka.
Kemudian Baginda menyampaikan khabar gembira kepada mereka, seraya bersabda :

“Adakah kamu hairan dengan kasih sayangnya wanita itu kepada anaknya?”

Mereka menjawab : “Ya”

Baginda Nabi s.a.w. lalu bersabda : “ Bahawa Allah s.w.t. Maha Suci dan Maha Tinggi itu lebih kasih sayangNya kepada kamu semua, dari wanita itu kepada anaknya”

* Hadis mutaffaq alaih dari Umar ibn Khatab

Sesungguhnya wahai saudara-saudaraku, kasih sayang Yang Maha Penyayang tiada tandingnya adalah pasti untuk kita, maka mengapa kita mencari yang selain dariNya?