KAMI MENAWARKAN

KHIDMAT PERUNDINGAN MOTIVASI
(ALAM SUKMA CONSULTANT)


BEKAM MODEN
PROSES BEKAM DI RUMAH ANDA SENDIRI (KAWASAN TERTENTU SAHAJA)


PENAPIS AIR IMTIYAAZ PADA HARGA RM598
MEMBELI SAMBIL MEMBANTU EKONOMI UMAT
PRODUK BUMIPUTERA ISLAM TEMPATAN

KULAAN FOODS
MENYEDIAKAN PERKHIDMATAN SAJIAN MAKANAN (CATERING)

SEBARANG MAJLIS DI PERAK, KEDAH, PULAU PINANG, SELANGOR DAN KUALA LUMPUR

hubungi :
fakir_albanjari@yahoo.com





29 Disember 2010

SAPA NAK BAGI?




Pak Ngah Adan sedang berjalan di pasar, baru beli ikan siakap dua ekor, nak buat masak tiga rasa. Siakap ni boleh kata segar jugak la sebab tak lama duduk dalam ais.

Sampai di kedai kopi Angahnyak, Pak Ngah Adan singgah nak pekena kopi panas, kopi ni banyak khasiat katanya. Pak Ngah Adan minta izin duduk semeja dengan Apoi yang sedang menikmati nasi lemak masa tu.

Pak Ngah Adan : "Bro, apasal gua nampak lu monyok ni?"

Apoi : "Tak ada apa la Adan"

Pak Ngah Adan : "Huh, kau ni, macam la aku ni baru kenal semalam"

Apoi : "Biasa la, sekolah nak bukak dah ni, nak beli macam-macam kat anak-anak, duit pulak tak berapa ada"

Pak Ngah Adan : "Ni, boleh pulak kau pekena nasi lemak kat sini tiap pagi, kata tak berapa ada duit"

Apoi : "Ada tu ada, tapi tak cukup la pulak, dah bini masak lambat, aku mai sini la"

Pak Ngah Adan : "Macam tu la kita ni, selalu tak cukup, orang kaya pulak selalu lebih"

Apoi : "Tah la, aku ni hari-hari doa mintak murah rezeki, jadi kaya, tapi tak kaya-kaya jugak"

Pak Ngah Adan : "Kau doa tak kena gaya kut"

Apoi : "Tak kena gaya apanya pulak, hari-hari tu, bahasa arab dengan bahasa Melayu lagi"

Pak Ngah Adan : "Tapi aku tengok tiap petang kau melepak main dam kat sini"

Apoi : "Memang la, tapi aku doa tiap hari"

Pak Ngah Adan : "Tu la tak kena gayanya, kalau nak apa-apa, kita kena usaha sambil berdoa, dalam tu kena bertawakkal. Kalau doa tak ada usaha, mana nak dapat, takkan Allah nak jatuhkan duit selonggok masa kita dok doa tu."

"Memang ramai orang berdoa nak itu nak ini, tapi usaha tak melayakkan dia dapat apa yang dia nak tu. Allah ni boleh bagi bersebab atau tanpa sebab. Macam nak kaya, Allah boleh bagi melalui kerja, meniaga, atau tanpa sebab, tiba-tiba hadiah mai kat kita. Ingat, salah satu takdir Allah adalah hukum alam. Contohnya bila makan kita kenyang, bila jatuh kita sakit, bila kencing kita lega. Yang ni kita boleh kaji dan belajar, dan bertindak ikut hukum alam tu. Contoh kalau nak cemerlang belajar, kena la rajin. Itu hukum alam takdir Allah"

"Tapi Allah Maha Berkuasa, Dia boleh bagi tanpa sebab pun. Tapi yang ni atau disebut mencarik adat, jarang orang boleh dapat. Bukan selalu terjadi. Memang ada orang doa nak kaya, tak usaha pun, tapi Allah bagi dia kaya"

"Tapi kita ni kena la usaha sesuai dengan doa kita tu. Sebab usaha tu la yang dinilai sebagai amal, bukan hasil. Kalau kita tak usaha, mana nak dapat pahala. macam orang doa nak masuk Syurga la, tapi kelakuan tak sesuai, asyik nak berehat bersenang lenang di dunia, tapi nak masuk syurga"

"Lepas tu kita kena la bertawakkal. Nanti aku cerita bab tawakkal ni. Ingat, kita diberi pilihan. Kalau kita pilih untuk kaya, kita kena la pulak pilih caranya. Bila dah pilih, kena la buat. Kalau hari-hari doa nak kaya, tapi tiap petang main dam, bukan boleh menang sejuta hang menang dam tu, baik pi buat apa-apa kerja"

"he he he" sengih Apoi macam kerang rebus daaaaa

19 Disember 2010

JANGAN MASUK




Ibu terhebat yang saya ketahui ialah ibu kepada Imam Syafie r.a. atau nama sebenarnya Muhammad, iaitu Imam kepada Mazhab Syafie. Ibunya iaitu Fatimah binti Abdullah merupakan anak kepada cucu Saidina Hassan r.a. cucu Baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Ketika mengandung Imam Syafie, ibunya telah bermimpi bahawa sebutir bintang telah keluar dari perutnya dan memancar sehingga bintang itu terpecah dan serpihanya jatuh bertaburan. Salah satu serpihannya telah jatuh ke sebuah negeri dan memancarkan sinarnya.

Semasa tinggan di Kota Makkah, Fatimah telah menghantar Imam Syafie mempelajari Qiraat semenjak kecil lagi hinggalah Imam Syafie berjaya menghafal Al-Quran sejak usianya 7 tahun dan menghafal Muwatta’ yang mengandungi 1700 buah hadis karangan Imam Malik ketika berusia 10 tahun.

Pada suatu ketika ketika mendengar pengajian agama, Fatimah mendengar si guru menyebutkan untuk menjadikan anak yang faham agama, dia perlulah mempelajari Bahasa Arab yang asli. Maka Fatimah telah menghantar Imam Syafie yang berusia awal belasan tahun untuk tinggal di kampung Badwi Bani Huzail yang terkenal dengan keadaan mereka yang kurang bercampur masyarakat luar hingga Bahasa Arab Asli mereka masih terpelihara. Imam Syafie juga mempelajari syair, memanah dan menunggang kuda. Hebatnya Imam Syafie hingga dikatakan mampu melompat naik ke belakang kuda yang sedang berlari dengan memegang telinga kuda berkenaan. Ketika itu Fatimah mengorbankan perasaan keibuannya demi kejayaan Imam Syafie.

Selepas beberapa tahun tinggan di perkampungan Bani Huzail, Imam Syafie kembali ke pangkuan ibunya. Ibunya telah menghantarnya pula mempelajari ilmu fekah dengan beberapa guru sehinggalah dibenarkan oleh gurunya untuk mengeluarkan fatwa ketika berusia 15 tahun.

Ketika berusia 20 tahun, Imam Syafie telah meminta kebenaran gurunya iaitu Imam Muslim yang ketika itu Mufti Kota Makkah, untuk berguru dengan Imam Malik di Kota Madinah. Maka dibenarkan oleh gurunya dan dibekalkan sebuah surat. Begitu juga Gabenor Makkah juga membekalkan sebuah surat.

Kerana terlalu gembira, Imam Syafie terus pulang ke rumah untuk meminta izin dari ibunya. Imam Syafie telah mengetuk pintu dengan agak kuat kerana terlalu bersemangat hingga membuatkan Fatimah kurang senang lalu bertanya dengan suara yang tinggi “Siapa di luar sana?”

“Saya Muhammad” jawab Imam Syafie

“Pergilah, jangan pulang, belajarlah ilmu adab, kemudian barulah kamu pulang ke rumah” jawab Fatimah dengan nada yang keras

Imam Syafie sangat malu lalu menyiapkan bekalan dan terus berangkat ke Madinah hari itu juga tanpa menemui ibunya dan bergurulah Imam Syafie dengan Imam Malik selama beberapa tahun. Imam Syafie kemudiannya juga merantau ke Iraq sebelum kembali ke Madinah.
Selepas 14 tahun, yakni berusia 34 tahun, Imam Syafie telah mengambil keputusan untuk pulang ke Makkah bagi menemui ibunya. Kepulangannya membawa bersama wang berjumlah 10,000 dinar.

Ketika sampai di luar Kota Makkah, sampailah berita kepada Imam Syafie bahawa ibunya Fatimah telah kembali ke rahmatullah dan meninggalkan wasiat untuknya. Wasiat Fatimah kepada Imam Syafie melalui saudaranya adalah, jika Imam Syafie pulang ke Kota Makkah denga membawa harta kekayaan, hendaklah dia membahagi-bahagikan semua harta kekayaan tersebut kepada fakir miskin dan saudara terdekat. Sekiranya harta kekayaan itu telah habis, barulah Imam Syafie dibenarkan memasuki Kota Makkah.
Maka bercucuranlah air mata Imam Syafie memenuhi wasiat ibunya yang telah lama tidak bersua, menghantarnya merata-rata menuntut ilmu agama, melarangnya masuk ke rumah kerana kurang adabnya.

Maha Suci Allah Yang Maha Bijaksana.

16 Disember 2010

TERUS BLAH



gambar dari tazkirah.eimsnetwork.com

Pak Ngah Adan baru sampai ke kedai kopi, biasa la, petang kalu, memang dia suka melabun kat kedai kopi, bersosial katanya. Kalau melabun di masjid je, dengan orang baik aje la, kalau kat kedai kopi, baru la macam-macam ada, kaki masjid, kaki disko, kaki mengumpat, kaki dam, kaki pancing….. baru la boleh betul-betul faham pemikiran masyarakat. Tak la bagi nasihat kat orang yang baik dan sekepala je.
Pak Ngah Adan duduk semeja dengan Din Pancing dan Saiful Ayam Sisikwatapak (SAS)

SAS : “Adan, mike nak ikut kami mancin tak malam ni?”

Pak Ngah Adan : “Tak dapat la Pui, ada tahlil kat rumah Mail Kapak malam ni”

Din Pancing : “Hui, kau ni Adan, bab makan memang tak tolak”

Pak Ngah Adan : “Bukan pasal makan la, dah orang jemput, kena la pi, wajib tu”

SAS : “Eh, teman masa pi Perlis ari tu, ada ustaz tu bagi kuliah kat masjid, katanya
Nabi tak buat tahlil ni semua, bidaah semua ni katanya”

Din : “Ya la Adan, hari tu aku baca blog, ada ustaz tu tulis, tahlil la, zikir banyak-banyak la, salawat macam-macam la semua tu bidaah, Nabi tak buat pun”

Pak Ngah Adan : “Apa pulak bidaahnya, tok nenek kita dah lama dok amal”

Din : “Habih tu, ustaz tu yang kata, balik mengaji kat Arab ustaz tu”

SAS : “Ya la, kata ustaz kat masjid tu, apa-apa yang kita tokok tambah dalam perkara ibadah tu bidaah, berdosa kalau kita buat”

Pak Ngah Adan : “Ni aku nak tanya, azan, solat, perang, dakwah dengan haji tu ibadah ka bukan, Nabi buat tak?”

SAS : “Mesti la ibadah, semua tu ada zaman Nabi”

Pak Ngah Adan : “Habih tu, apasai depa tak buat macam Nabi buat? Apasai azan guna mikerofon, kenapa solat buat tak pakai jubah, kenapa perang tak guna je pedang, tak payah guna senapang, meriam, jet tu semua. Kenapa dakwah guna TV, radio, internet dan pi haji naik kapal terbang, bukan unta atau kuda? Nabi tak buat pun semua tu dalam ibadah?”

SAS : “Haah kan, tak terfikir lak aku, kata nak ikut totally macam Nabi, tapi tak ikut pun”

Pak Ngah Adan : “Yang hangpa dengaq tu dari ustaz Wahabi, bukan Ahli Sunnah Wal Jamaah macam kita kebanyakan di Malaysia ni”

Din : “Habis tu, yang orang kita dok tahlil banyak-banyak tu mana datangnya”

SAS : “Ya la, macam Pak Long Usin yang ikut tarekat tu, kena zikir sampai 70,000 kali tu mana datangnya?”

Pak Ngah Adan : “Macam ni la, perintah zikir tu memang ada dalam Al-Quran, Nabi pulak tunjuk caranya. Ikut Ahli Sunnah Wal Jamaah atau kita sebut Sunni, Al-Quran tu umum, yang Nabi buat tu dah agak khusus sebagai contoh, memang kita kena ikut Nabi, tapi tak bermaksud kita tak boleh tambah selagi tak lari dari tuntutan Al-Quran dan garis panduan Islam yang lain”

SAS : “Macam mana tu?”

Pak Ngah Adan : “ Macam Nabi, dalam sehari istirghfar at least 70 kali. Tapi itu Nabi, yang maksum, yang tak buat dosa, kita yang banyak dosa ni, takkan nak buat 70 kali jugak? Sebab tu orang tarekat buat sampai 70,000 kali atau disebut satu juzuk, itu minimum, banyak lagi baik.”
“Yang 70,000 kali tu ikut pengalaman ulama yang lepas. Kebanyakan ulama yang mengamalkan zikir, bila sampai 70,000 kali tu, dah rasa ada perubahan kepada jiwa dan komitmen amalan dia, maka diletakkan jumlah tu sebagai panduan untk orang lain, tak buat pun tak apa, buat pun boleh, lebih lagi la baik, sebab kita ni kan banyak dosa. Apa salahnya kita ikut orang yang dah rasai kesannya?”

"Kalau nak tau kelebihan istirghfar, hangpa tengok blog ni http://gayongsaa.blogspot.com/ "

Din : “habis tu, yang ustaz tu siap tulis lagi kat atas blog dia, Blog Salafi, kira golongan yang ikut cara nabi sepenuhnya”

Pak Ngah Adan : “Mana ada orang yang boleh ikut Nabi sepenuhnya, serentak boleh jadi ketua Negara, pendakwah sepenuh masa, suami dan ketua keluarga, ketua pasukan perang, imam dan sampaikan khutbah, sembahyang sepanjang waktu di masjid, ikut sebahagian ada la. Dapat ke kita buat semua tu serentak”

Din : “Mana dapat”

Pak Ngah Adan : “Tau takpa, yang Nabi tunjuk tu panduan, kita buat la ikut keadaan kita, Nabi tak jadi nelayan, tak jadi pelukis, tak jadi blogger, tak jadi pelakon. Kita buat ikut keadaan kita tapi panduan Islam dah bagi. Asal tak keluar dari garis panduan tu dah la. Selagi dalam garis panduan, buat la macam mana pun”

SAS : “Oooooo, jadi ustaz tu Wahabi la tu agaknya, patut pas sembahyang depa terus blah, tak ada tasbih tak ada doa”

Pak Ngah Adan : “Agaknya la, biasanya pengikut Wahabi la yang selalu pertikai amalan sunnah yang kita buat, katanya tak ikut sunnah, pas tu declare depa tu golongan salaf, ikut cara Nabi sepenuhnya tanpa tokok tambah, padahal banyak yang dia tak ikut pun. Kita pengikut Sunni ni ada kaedah dan panduan kita sendiri, kita ada ulama khusus yang kita ikut, ulama lain hanya menerangkan ikut kaedah mazhab sahaja sebab kita tau kita tak cukup ilmu nak tentukan hukum”
“Ada satu masa Saidina Umar r.a. tanya kat seorang sahabat yang berdoa, jadikanlah aku golongan yang sedikit. Saidina Umar r.a. kata, nabi tak pernah pun ucapkan doa tu. Maka sahabat tu jawab balik, dalam Al-Quran ada sebut, hanya sedikit orang yag bersyukur, maka aku mintak aku dimasukkan dalam golongan yang sedikit tu la. Maka Saidini Umar r.a. kata, kamu benar. So, agaknya ustaz tu lagi terer dari Saidina Umar r.a. kut”

13 Disember 2010

MINYAK NAIK ... BOLEH NAIK MINYAK







Amin : "Pak Ngah, kenapa ramai yang beratur nak isi minyak kereta malam ni?"

Pak Ngan Adan : "Oh, pasai rega minyak RON 95 naik 5 sen, jadi seringgit sembilan kupang seliter start esok, tu pasai ramai dok isi penuh tangki depa malam ni"

Amin : "Naik 5 sen pun jadi macam tu ka Pak Ngah?"

Pak Ngah Adan : "Ha, memang la, kalau sekali isi seliter tak apa la, ni kereta, kalau sekali isi sampai 40 liter, dah berapa beza dia tu"

Amin : "Patut la ramai orang marah kalau harga minyak naik"

Pak Ngah Adan : "Orang Malaysia kita macam tu la, dok bisin sat ja, dua tiga minggu lepaih tu sengap la depa"

Amin : "Susah ka Pak Ngah nak buat minyak kereta ni"

Pak Ngah Adan : "Susah jugak, mula-mula kena cari tempat mana ada minyak. susah tu pasai minyak mentah duk dalam tanah, kalau bawah laut lagi susah nak cari, berjuta la habih nak cari tempat yang ada minyak tu saja. Dah jumpa kena proses pulak. Nak jadikan minyak kerosin ka, minyak petrol ka, minyak disel ka, minyak tar ka. Susah tu, kena ada loji penapisan minyak, yang buat tu pulak jurutera hak gaji depa mau berpuluh ribu sebulan. Lepaih tu kena angkut guna lori tangki khas pulak"

Amin : "Oooooo, patut la harga minyak ni mahal"

Pak Ngah Adan : "Sebenaqnya tak la mahai sangat, kalau la ni seliter seringit sembilan kupang, setengah liter atau 500 ml baru sembilan kupang lima duit. tak sampai seringgit pun"

Amin : "Mahal la tu Pak Ngah"

Pak Ngah Adan : "Tak la mahai kalau banding harga ayaq mineral kat negara kita ni. Pi beli tengok, satu botoi 500 ml harga dia boleh sampai seringgit lima kupang. Padahai, nak buat ayaq tu senang ja. Ambik kat sungai bawah tanah, proses sikit, buh dalam botoi, bawak dalam lori ayam pun boleh, tapi mahai dari minyak keta. memang orang Malaysia ni pelik sungguh. Hak tu naik banyak depa tak bisin pun."

Amin : "Errrrr, Pak Ngah, hari tu ayah kata, Perdana Menteri sebut dalam bajet harga minyak tak naik dah tahun ni"

Pak Ngah Adan : "Hak tu hang pi tanya PM la, Pak Ngah pun tak tau......."


p/s : Belilah penapis air Imtiyaaz dari saya, hanya RM598, boleh pakai bertahun-tahun, tak payah beli ayaq mineral hak mahai tu......he he he

gambar diambil dari helaianpurnama.wordpress.com

09 Disember 2010

TUAH LAWAN JEBAT, JEBAT LAWAN SIAPA?





gambar diambil dari jomlawatmalaysia.blogspot.com



Dialah Jebat seorang
Tetap memegang janji setia pada Duli Yang Maha Mulia
"Bahawa patik sekalian akan tetap taat setia
Selagi Tuanku menjaga hak Yang Empunya
Lantaran jemala patik sekelian tetap di bawah duli
Kerana Tuanku adalah duli, kepada Yang Maha Mulia
Jika pecah akan Tuanku, maka putuslah sekalian hamba"

Dialah sultan seorang
Menakluk Tanah Jawi sekaliannya
Membesar diri di bawah Yang Empunya
Tutur tiada terbatas, laku tiada belas, akal tiada waras
Lantaran tersangkut pada jaring fitnah dan hasut
Yang dibentang pembesar istana
Dalam gelora ombak hasad di atma
Menabur duru-diri fitnah
Dalah hidangan santapan sultan

Lalu Tuah itulah
Dibuang dari mata dan jiwa
Biar segunung taat setia telah dipersembah
Biar selaut bakti telah dicurah
Taming Sari sisipan belakang harus dipersembah
Agar dapat darah Tuah memadam api amarah

Jebat itulah seorang
Setiakawannya merungkai taat setia kepada sultan
Bertari pendekar di balai rong seri intana
Melibas, menghiris, menikam adat
Merobek angkuhnya sultan
Mengejut sekalian Melayu nan tidur di siang hari
Yang asyik dibuai mimpi ciptaan istana

Dan sultan itu jualah
Memungut Tuah dari daerah kehinaan
Dibawa ke telaga ampun
Dicuci, dibersih dan dihias maruahnya
Agar ditumbang Si Jebat penderhaka

Tuah itulah
Dengan berbekal seribu muslihat dan sejuta taat
Melangkah anjung istana
Membentang hamparan sengketa sesama bangsa
Demi seorang manusia berdarah raja
Persahabatan hilang entah ke mana

Dan Tuah itulah
Yang menumbang jebat seorang

Kulihat hari ini
Tuah dan Jebat itu
Belum sudah jua tempur dan tingkahnya
Seorang kerana Bangsa dan persaudaraannya
Seorang kerana Bangsa dan tuannya

Benarlah kata Tuah
"Takkan Melayu hilang di dunia"
Kerana Melayu itu tetap taat setia
Kadangkala membabi buta
Kerana asyik dalam lena
Ciptaan sekelompok bangsanya...


p/s : Tuan sekalian rasa berapa nipisnya lantai istana Sultan Melaka yang punya empayar besar tu hingga bisa ditembus mata lembing? Sedangkan di zaman itu kayu Cengal dan Meranti sekeras batu ada di mana-mana. Kenapa perlu bertempur di atas dulang sedangkan sesiapa yang menyisip Taming Sari di belakang akan kebal dari senjata?

05 Disember 2010

HANTU LEVEL RENDAH



"Apasal tak datang mengaji malam tadi Min" tanya Pak Ngah Adan

Jawab Amin "Errrrrr, lampu jalan kat barisan rumah Amin rosak la Pak Ngah, semua tak menyala"

"Kan lampu picit ada" soal Pak Ngah Adan kembali

"Takut la Pak Ngah, orang kata kat hujung simpang tu ada hantu" sengih Amin

"Dah berapa orang kat kampung kita ni mati kena gigit dengan hantu tu? Ada siapa ambil gambar hantu tu tengah makan orang tak?" Soal Pak Ngah Adan

"Tak ada rasanya" jawab Amin ringkas

"Tu la orang Melayu kita ni, masa kecik, bila anak menangis, ditakutkan dengan hantu nak gigit la, hantu nak datang la, hantu nak cekik la ..... sampai nak mati takut kat hantu, padahal tak pernah jumpa pun hantu tu."

"Kat Tuhan dia tak takut pulak..... kat hantu dia takut lebih-lebih. hek eleh, apa barang takut kat hantu ni, manusia ni kan khalifah, sebaik-baik kejadian, hantu tu level dia rendah, nak takut apasal, ni nak kena terajang Jawa ni. Hantu tumpang bergambar pun takut lebih-lebih"

Zasssss, Pak Ngah Adan melepaskan satu tendangan padu mautnya ke arah sisi, juring bak kata orang Gayong.

"Apa la Pak Ngah ni, nak bagi Tempeleng Banjarlah, Terajang Jawalah, bukan salah besar pun" soal Amin tersenyum sinis

Pap! Pak Ngah Adan menumbuk tangannya sambil membeliakkan matanya yang ayu tu kepada Amin dan berkata

"Mana pulak tak besar Amin oi, boleh sampai jejas akidah tu. Kalau tersalah, boleh jatuh syirik, masuk neraka nanti. kalau masuk neraka lagi teruk kena dengan malaikat. Semua jenis ada, luku Bugis, tempeleng Banjar, terajang Jawa, siku Siam, sungkit jepun, penumbuk Gaban.... semua ada. Baik bagi sedas kat dunia ni bagi dia sedar sikit, elak mudarat lagi besar kat akhirat nanti"

"Ingat, kita ni khalifah, level dia lebih rendah berbanding kita, sepatutnya hantu takut kat kita, bukan kita takut kat hantu"

p/s : Dah berapa orang mati dikerjakan dek hantu yang ada? Ramai yang mati eksiden dan sakit sebab banyak isap rokok. Korang tak takut pulak naik kenderaan dan isap rokok tu ye?

03 Disember 2010

KAU LAYAK KE?


gambar makam Imam Syafie diambil dari zaki.com.my


Suatu hari Aman bertanya kepada Pak Ngah Adan, "Pak Ngah, kenapa kita ikut Imam Syafie?"

Jawab Pak Ngah Adan "Sebab kita tak pandai, Imam Syafie tu Imam kepada Mazhab Syafie"

"Mazhab tu apa sebenarnya?" Tanya Aman Lagi

"Mazhab tu sebenarnya adalah kaedah menentukan hukum, macam Mazhab Syafie yang kita ikut, ia berdasar cara Imam Syafie menentukan hukum fekah. Dari Segi akidah, kita ni Ahli Sunnah Wal Jamaah, sama je akidah Mazhab Maliki, Mazhab Hanafi, Mazhab Hambali, Mazhab Syafie dan mazhab kecil lain dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah ni" Jawab Pak Ngah Adan

"Kalau kita tak mau ikut mazhab boleh? kita tentukan sendiri hukum sebab kita pun baca Al-Quran dan belajar hadis Nabi s.a.w jugak" tanya Aman

"Boleh, kalau kita ni dah jadi mujtahid mutlak" jawab Pak Ngah Adan tersenyum

"Apa pulak mujtahid mutlak tu" berkerut dahi Aman bertanya

"Mujtahid mutlak ni adalah orang yang sampai ke tahap boleh menentukan hukum dengan kaedahnya sendiri, macam imam mazhab tadi tu ha, bukan sebarangan orang boleh sampai tahap tu, ada beberapa orang je dalam dunia ni"

"Antara ciri mujtahid mutlak ni adalah dia mesti hafal Al-quran. dia mesti tahu serba serbi pasal Al-Quran macam ayat tu diturunkan di mana, sebab penurunan ayat, sifat ayat tu. Dia juga mesti mahir Bahasa Arab sebab untuk tafsir ayat Al-Quran."

"Orang tu juga mesti hafal semua hadis yang berkaitan dengan hukum. Tak perlu jadi muhaddith, tapi semua hadis berkaitan dengan hukum. Mesti tau sanad setiap hadis, siapa perawi setiap hadis dan sifat para perawi hadis tu. Dia mesti tau antara satu hadis dengan hadis yang lain, yang mana lebih utama"

"Orang tu juga mestilah seorang yang warak, yakni meninggalkan semua yang makruh. juga perlu bijak dan cekap dalam pengiraan sebab dalam Islam ada banyak benda yang nak dikira"

"Kamu rasa kamu layak ke?" Tanya Pak Ngah Adan selepas bercakap panjang tadi

"Tak, he he he, Bahasa Arab pun tak berapa pandai" sengih Aman

Sambung Pak Ngah Adan "Tau takpe, bukan sebarangan orang boleh sampai tahap tu, itu pun bukan semua ciri yang Pak Ngah ingat"

"Macam Imam Muslim dan Imam Bukhari tu Muhaddith, pakar hadis tahap Power Rangers, tapi tak capai juga tahap mujtahid mutlak. Imam Gazali, walaupun ternama dan hebat, tetap mengikut mazhab sebab belum sampai tahap mujtahid mutlak juga"

"Jadi kita jangan nak memandai tak mau ikut mazhab macam sesetengah orang kat Malaysia hari ini, baru hafal beberapa ribu hadis, dah nak hentam Imam Mazhab tu. Baru dapat title Doktor, dah memandai macam-macam. Rasa macam nak bagi tempeleng Banjar je sedas"

Aman minta izin berlalu sambil berkata "Terima kasih Pak Ngah, nanti Pak Ngah cerita latar belakang Imam Syafie tu ye......simpan dulu tempeleng Banjar Pak Ngah tu, he he he"

"InsyaAllah" Kata pak ngah

wallahualam

30 November 2010

ALLAH DI MANA?




Sorang sahabat bertanya kepada Pak Ngah Adan "kenapa kau tak setuju sangat dengan Wahabi yang kata Allah duduk bersemayan atas Arash tu, kan ada ayat Quran yang kata macam tu?"

Pak Ngah Adan jawab "memang la ada, tapi tu ayat mutasyabihat, bukan muhkamat, maksudnya tak direct, tapi berkias"

"Habis tu, Allah duduk di mana?" tanya sahabat itu lagi

"Allah wujud tidak bertempat" jawab Pak Ngah Adan

"Boleh pulak macam tu?" soal sahabat tu balik

"Apa tak boleh pulak, Allah tu Tuhan, Dia Maha Sempurna, Dia langsung tak sama macam makhluk. Kita ni makhluk, sebab tu kita perlukan tempat" jawab Pak Ngan Adan

"Yang duduk di atas Arash tu?" soal kembali macam tak puas hati

lalu jawab Pak Ngah Adan panjang

"Cuba kau fikir, antara sifat Allah adalah Maha Sempurna, maksudnya tak memerlukan apa-apa lagi sebab dah sempurna. Kenapa kita duduk atas kerusi? Sebab kita letih bila berdiri lama, kita letih sebab kita tak sempurna. kenapa raja duduk bersemayan atas singsana? Sebab nak tunjukkan dia lebih tinggi kedudukan dia berbanding orang lain. Allah Maha Sempurna, jadi Allah tak perlukan apa-apa lagi dah hatta tempat bersemayan"

"Satu lagi, Allah adalah Maha Awal, yakni Dia dah ada sebelum benda lain ada. Dia ada tanpa permulaan dan tak ada kesudahan. kita ada permulaan dan kesudahan sebab kita makhluk. Maka Allah wujud sebelum adanya Arash. Kalau orang kata Allah bersemayan di atas Arash, maka di mana Allah bersemayan atau duduk sebelum adanya Arash?"

"Kalau Allah duduk di tempat lain, lepas tu berpindah dan duduk bersemayan di atas Arash, maksudnya Allah berubah. yang berubah tu adalah makhluk sebab makhluk tak sempurna. Budak kecik memang comel, ramai orang suka, tapi berubah ke dewasa sebab bayi tak boleh kerja dan beribadat, jadinya manusia tu memang tak sempurna, dan semua makhluk tak sempurna. Selain dari Allah adalah makhluk, akan binasa. Maka di mana pulak Allah akan duduk bersemayan bila Arash dah binasa nanti?"

Terangguk-angguk sahabat tadi tanda faham. Lalu bertanya lagi "ooooooo, jadi apa maksudnya Allah bersemayan atas Arash tu?"

Jawab Pak Ngah Adan "Ayat tu menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t ke atas sekalian alam. Macam dalam buku lama ada menyebut sultan itu bersemayan di negeri Perak, itu tak bermaksud duduk, tapi berkuasa"

"Ingat, Allah wujud tidak bertempat, dan tidak diliputi oleh masa. Allah berbeza sama sekali dengan makhluk. Selain Allah semuanya adalah makhluk"

"Sekarang baru aku faham kenapa ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah terlalu memusuhi Wahabi, ini bab akidah dah ni, bukan soal ranting bab zikir je rupanya" Kata sahabat itu lalu meminta diri untuk beredar

p/s : Bagaimana akidah kita? Dah belajar lagi? Takkan setakat belajar di sekolah aje kut...... (Kata guruku)

wallahualam

28 November 2010

LARI KE MANA?




Pada suatu hari Sayidina Umar Al-Khatab r.a ketika menjadi khalifah telah membawa satu pasukan ke negeri Syam. Sampai di sebuah kampung bernama Jabiyah dalam Wilayah Damaskus, sampai berita kepada beliau bahawa penyakit taun sedang merebak di Negeri Syam dan telah menyebabkan kematian beribu-ribu orang. Ia menyebabkan pasukan itu terpecah kepada dua kelompok pendapat. Kelompok pertama mahu berpatah balik bagi mengelakkan dari dijangkiti penyakit taun. Kelompok kedua tetap mahu meneruskan perjalanan lantaran keyakinan mereka terhadap takdir Allah. Mereka menyatakan bahawa hidup mati, susah senang adalah di bawah kekuasaan Allah dan mustahil untuk lari dari QadarNya. Lalu mereka meminta keputusan dari Sayidina Umar.

Kata Saiyidina Umar “kita berpatah balik dan tak usah menempuh wabak”

Orang yang berpandangan lebih baik mereka meneruskan perjalanan diketuai oleh Sayidina Abu Ubaidah. Katanya “Apakah kita boleh lari dari takdir Allah?”

Jawab Saiyidina Umar “memang, kita lari dari takdir Allah, kepada takdir Allah”

Lalu beliau membuat satu perumpamaan

“Bagaimana pendapat tuan-tuan jika tuan-tuan mempunyai kambing ternak, yang dihalau kepada dua lembah, yang satu banyak rumput dan yang satunya kering. Bukankah jika kambing itu digembalakan ke padang yang berumput subur, juga di bawah kudrat Allah?”

Mereka menjawab “ memang kedua-duanya di bawah kudrat Allah”

“Maka, di mana kamu gembalakan?” Tanya Saiyidina Umar

“Tentu di lembah berumput subur” jawab mereka

“Sungguhpun begitu, kita tunggu Abdul Rahman bin Auf, boleh jadi dia mempunyai pertimbangan yang lain” kata beliau

Sebelum Abdul Rahman bin Auf tiba, beberapa orang telah meneruskan perjalanan ke Syam dengan izin Khalifah kerana yakin dengan takdir jua. Abdul Rahman bin Auf hanya sampai keesokan harinya dan berkata.

“Saya telah mendengar dari Rasulullah s.a.w sabda mengenai hal ini”

“Allahu Akhbar” ujar Saiyidina Umar kegembiraan.

“Telah saya dengar dari Rasulullah s.a.w, “Apabila kamu mendengar khabar bahawa wabak berjangkit di suatu negeri, janganlah kamu datang ke negeri itu. Kalau kamu berada dalam negeri itu, janganlah kamu keluar dari sana ke negeri lain”

Dikhabarkan rombongan yang meneruskan ke Syam telah meninggal dunia akibat dijangkiti wabak yang melanda.

* Dipetik dari kitab Tasauf Moden, Prof Dr Hamka.

Hari ini, ramai orang seperti menyalahkan takdir atas apa yang berlaku padanya, walhal ia diberi kemampuan untuk memilih. Apapun pilihan, ia tetap dalam takdir Allah jua.

Ada orang yang kemalangan sebab memandu melulu berkata “Dah takdir aku nak kemalangan hari ni” walhal dia boleh memilih untuk memandu secara berhemah.

Ada orang yang hidup dalam kesusahan berkata “Dah nasib saya, diakdirkan hidup susah” walhal dia masih banyak masa lapang untuk usaha bagi mengubah hidupnya.

Ada seorang pekerja kilang berkata “Aku ni ditakdirkan sesuai kerja kilang je”. Habis tu, kan boleh belajar banyak benda lagi di dunia ni untuk ubah dan tambah takdir tu?

Ada orang yang rumahtangganya berantakan berkata “dah takdir saya dapat suami/isteri tak sehaluan” walhal masa nak kawin dulu ikut rasa cinta sahaja, tak mahu memilih ikut panduan agama

Jika hari ini apa jua takdir yang terjadi atasmu, kita masih punya peluang untuk mengubahnya, berpindah ke takdir lain yang lebih baik. Baik maksudnya lebih banyak manfaatnya, di dunia mahupun di akhirat. Bukan berubah ke takdir yang dapat manfaat sementara.

Tiada 'kalau' untuk perkara yang telah berlalu, namun terlalu banyak 'kalau' untuk masa depan. Pilihlah.

Jangan nak salahkan takdir kerana kita yang malas. Malas belajar, malas bertindak, malas bergaul, malas nak ambil tahu……….

“Jangan asyik nak salahkan Tuhan je, kurang ajar betul” kata guruku

* Islam dah mengajar mengenai kuarantin sejak lama dahulu lagi

Wallahualam.

p/s : kamu tengok kamu atau kamu tengok orang lain?

25 November 2010

IMAN, ISLAM DAN IHSAN




Dari Umar bin Al-Khathab radhiallahu ‘anh, dia berkata: ketika kami tengah berada di majlis bersama Rasulullah pada suatu hari, tiba-tiba tampak di hadapan kami seorang laki-laki yang berpakaian sangat putih, berambut sangat hitam, tidak terlihat padanya tanda-tanda bekas perjalanan jauh dan tidak seorangpun diantara kami yang mengenalnya. Lalu ia duduk di hadapan Rasulullah dan menyandarkan lututnya pada lutut Rasulullah dan meletakkan tangannya diatas paha Rasulullah, selanjutnya ia berkata,” Hai Muhammad, beritahukan kepadaku tentang Islam ” Rasulullah menjawab,”Islam itu engkau bersaksi bahwa sesungguhnya tiada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad itu utusan Allah, engkau mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan mengerjakan ibadah haji ke Baitullah jika engkau mampu melakukannya.” Orang itu berkata,”Engkau benar,” kami pun hairan, ia bertanya lalu membenarkannya. Orang itu berkata lagi,” Beritahukan kepadaku tentang Iman” Rasulullah menjawab,”Engkau beriman kepada Allah, kepada para Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, kepada utusan-utusan Nya, kepada hari Kiamat dan kepada takdir yang baik maupun yang buruk” Orang tadi berkata,” Engkau benar” Orang itu berkata lagi,” Beritahukan kepadaku tentang Ihsan” Rasulullah menjawab,”Engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, jika engkau tidak melihatnya, sesungguhnya Dia pasti melihatmu.” Orang itu berkata lagi,”Beritahukan kepadaku tentang kiamat” Rasulullah menjawab,” Orang yang ditanya itu tidak lebih tahu dari yang bertanya.” selanjutnya orang itu berkata lagi,”beritahukan kepadaku tentang tanda-tandanya” Rasulullah menjawab,” Jika hamba perempuan telah melahirkan tuannya, jika engkau melihat orang-orang yang tidak beralas kaki, tidak berbaju, miskin dan penggembala kambing, berlumba-lumba mendirikan bangunan.” Kemudian pergilah ia, aku tetap tinggal beberapa lama kemudian Rasulullah berkata kepadaku, “Wahai Umar, tahukah engkau siapa yang bertanya itu?” Saya menjawab,” Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui” Rasulullah berkata,” Ia adalah Jibril, dia datang untuk mengajarkan kepadamu tentang agama kepadamu”

Saudaraku,
Iman itu akar, Islam itu batang, dahan, ranting dan daun, manakala ihsan itu adalah bunga dan buahnya.
Tanpa akar pokok kan mati, tanpa batang tiadalah pokok, tanpa bunga dan buah kuranglah seri dan manfaatnya.
Tiadalah buah tanpa batang, tiadalah batang tanpa akar
Iman itu akidah, Islam itu syariat, manakala ihsan itu tasauf
Iman itu duduknya di tempat yang tidak terpandang, ia ada nipis dan tebal, sah dan batal
Islam itu ditanggap pancaindera, ada wajib, sunat, harus, makruh dan haram
Ihsan itu tambahan baik kepada yang halal, memperelok amal dan adab serta membawa ke jalan pulang.
Jalan menerbitkan buah itu ada akar dan pohonnya. Dan tiadalah ia boleh terpisah.
Mudah-mudahan pohonmu tumbuh subur dan berbuah. Boleh menjadi tempat singgah musafir dalam perjalanan. Berteduh dari kepanasan, menenang jiwa dengan pandangan, mengalas perut yang kelaparan.
Mudah-mudahan sampailah ia.

22 November 2010

KISAH TONG SAMPAH




Ini kisah benar pada tahun 2002. Saya ketika itu baru dilantik sebagai Exco Kerohanian Dan Moral Majlis Perwakilan Pelajar UPSI. Saya pada ketika itu berada dalam semester ketiga dari enam semester pengajian. Saya telah menghadiri satu kursus bersama beberapa orang pelajar lain yang kebanyakannya adalah pemimpin-pemimpin persatuan di UPSI. Kursus seminggu berkenaan diadakan pada hujung cuti semester pengajian.
Dalam kursus berkenaan, saya menyedari salah seorang peserta agak berada di dalam keadaan yang berlainan dengan peserta yang lain. Setelah ditanya dan didesak beberapa kali, akhirnya dia menceritakan keadaan kesempitan kewangannya yang pada waktu itu berada di tahun akhir pengajian.
Dia menceritakan bagaimana dia selalu tak punya wang yang mencukupi kerana wang pinjaman PTPTN yang diterimanya diberikan kepada ibu bapanya di kampung yang juga kesempitan kewangan. Akibat daripada itu, dia terpaksa pulang ke kampungnya pada hujung setiap minggu untuk menoreh getah bagi menampung kos pengajiannya di UPSI.
Dia yang mengambil kursus matematik ketika di UPSI, sering mengikat perut dan mencatu perbelanjaan kerana faktor berkenaan. Malah, hampir setiap malam, ketika pelajar lain telah nyenyak tidur, dia akan menyelongkar tong sampah di hadapan asrama penginapannya. Dia akan mencari kertas yang masih boleh digunakan untuk dikumpul bagi tujuan membuat latihan. Lazimnya dia akan mengambil kertas A4 atau kajang yang telah digunakan sebelah sahaja. Kertas yang telah dikeronyok akan disapu dan diletakkan di bawah katil untuk meratakannya semula.
Pada penghujung cerita, dia memaklumkan bahawa dia langsung tak punya wang pada masa itu. Yang ada hanyalah wang sekadar cukup untuk tambang pulang sahaja.
Saya sendiri tak punya banyak wang pada masa itu. Seingat saya, saya baru mengeluarkan RM100 dari bank dan baki dalam akaun adalah RM20. Saya masih punya RM80 setelah berbelanja sebelum ke tempat kursus, telah memberikan RM50 kepadanya.
Dengan izin Allah Yang Maha Kaya, Maha Pengasih lagi Maha Pemurah, saya telah menggunakan wang baki sebanyak RM30 tersebut selama dua minggu. Allah memberikan rezeki makanan dari pelbagai sumber selama dua minggu itu. Apabila duit itu telah habis, saya mula resah kerana pinjaman PTPTN belum diterima. Pada suatu hari saya bagai digerakkan untuk pergi ke bank untuk memeriksa jika pinjaman telah diterima. Alangkah terkejutnya apabila saya mendapati dalam akaun saya terdapat lebih dari RM100 sedangkan saya sangat yakin bahawa duit saya hanya berbaki RM20 sahaja. Takkan itu pinjaman PTPTN kerana jumlah pinjaman adalah melebihi RM2000.
Di sekeliling kita sebenarnya masih ramai orang yang susah, tetapi kita tidak menyedarinya kerana mereka tak punya sikap meminta-minta. Orang seperti ini lazimnya rasa malu untuk meminta walaupun mereka amat memerlukan. Maka adalah peranan kita mencari dan membantu mereka.
Kita yang kebanyakannya pada hari ini di Malaysia, mempunyai pendapatan melebihi keperluan. Jika kita perhalusi, lebih banyak wang kita digunakan untuk tujuan memenuhi kehendak berbanding keperluan. Secara umumnya, kita berada dalam kelompok yang wajar membantu, bukan dibantu.
Masih ramai umat Islam seluruh dunia yang memerlukan bantuan kita. Di merata ceruk dunia, umat Islam masih ramai yang tidak mampu memiliki keperluan asas pun hingga ada yang mati kebuluran. Sedangkan kita setiap hari membazir pada perkara yang dapat dikawal sepatutnya. Paling mudah, lihatlah di restoran dan kedai makan atau rumah sendiri, betapa banyaknya sisa makanan yang terbuang setiap hari.
Sedangkan sedekah itu umpama sebutir padi. Ia akan menumbuhkan tujuh tangkai. Yang pada setiap tangkai akan terbit 100 biji padi.

wallahualam

19 November 2010

KISAH PENGEMIS BUTA




Ini kisah benar yang berlaku pada tahun 1998. Pada waktu itu saya baru menamatkan kursus Diploma Pengajian Perniagaan di Politeknik Ungku Omar. Oleh kerana pada masa itu kegawatan ekonomi sedang melanda, terlalu sukar mendapat pekerjaan sesuai dengan kelayakan, maka saya bekerja sebagai pembantu parkir di Super Kinta Ipoh.

Super Kinta pada masa itu adalah antara pasar raya terkenal di Ipoh kerana belum wujud banyak pasar raya besar seperti hari ini. Salah satu keadaan lazim di pintu masuk ke Super Kinta ialah peminta sedekah yang duduk bersusun memohon simpati pengunjung. Kebanyakannya adalah warga emas atau golongan cacat anggota.

Pada waktu tengah hari, saya lazimnya akan makan di medan selera di tingkat dua bangunan. Di situlah berkumpulnya para pekerja, pelanggan dan peminta sedekah pada waktu makan untuk menjamu selera.

Pada suatu hari ketika sedang menikmati makan tengah hari, saya lihat dua orang remaja perempuan berjalan bersama seorang peminta sedekah wanita warga emas yang buta matanya. Mereka berjalan dan duduk bersama di meja di sebelah saya, memesan makanan dan makan bersama.

Selesai makan saya mendengar dengan jelas salah seorang remaja perempuan itu memanggil pelayan dan bertanya jumlah bayaran yang telah mereka makan. Dengan jelas juga saya mendengar selepas itu remaja itu berkata kepada penggemis wanita warga emas itu :

"Mak, mana duit dapat tadi, orang nak bayar makan ni"

Maka peminta sedekah itupun mengeluarkan pendapatannya pagi itu dan memberikan kepada remaja perempuan tadi. Lalu diambil kesemuanya dan dibayar kepada peniaga.

"Yang lebih ni orang nak belanja kawan orang tengok wayang, jom kami hantar mak kat depan balik"

Sampai di situ, saya tak dapat mengawal perasaan lalu meninggalkan medan selera itu segera

Antara tanda-tanda kiamat adalah apabila hamba melahirkan tuannya.......

Hari ini, walaupun mungkin tidaklah sesedih kisah di atas, semakin ramai ibu bapa yang melahirkan tuan mereka sendiri. Mereka bekerja siang malam dengan penuh kesungguhan dan mungkin kesukaran, bagi mendapat wang yang akhirnya wang itu digunakan untuk memenuhi nafsu si anak yang selalu mahukan kemudahan yang terkini.

Lalu berapa banyakkah dari jumlah gaji yang diperolehi digunakan sebagai bekalan untuk akhirat diri sendiri wahai yang mempunyai anak? Berapa banyak yang diberi kepada anak-anak untuk yang tidak mereka perlu berbanding sedekah yang diberikan kepada umat Islam seluruh dunia yang amat memerlukan? Wahai si hamba..... kamu ini hamba siapa sebenarnya? Hamba anak, hamba nafsu, hamba dunia atau benar-benar hamba Allah?

16 November 2010

GANJARAN SALAWAT





Syeikh Abd Kadir al-Jilani menyatakan kelebihan bersalawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w seperti yang disenaraikan oleh Ibn Farhun di dalam kitab al-Safinah al-Qadiriyyah sebanyak 42 kelebihan. Di sini saya titipkan 21 daripadanya dan sambungannya pada post yang akan datang.

1. Melaksanakan perintah Allah s.w.t.
2. Bersama dengan selawat Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w
3. Bersama dengan salawat para malaikat
4. Mendapat ganjaran 10 kali salawat daripada Allah s.w.t atas setiap kali salawat yang dilafazkan
5. Dikurniakan oleh Allah s.w.t 10 darjat atas tiap-tiap satu salawat
6. Ditulis oleh malaikat 10 kebaikan atas tiap salawat
7. Dihapuskan oleh Allah s.w.t 10 kejahatan atas tiap salawat
8. Segala doa akan diperkenankan oleh Allah s.w.t
9. Mendapat syafaat daripada Rasulullah s.a.w.
10.Mendapat keampunan dari Allah s.w.t dan ditutup segala keaiban
11.Allah s.w.t akan menutup segala dukacitanya
12.Dikurniakan kedudukan yang hampir kepada Rasulullah s.a.w
13.Mendapat darjat al-Sidq
14.Ditunaikan segala hajat
15.Selamat sejahtera pada hari kiamat
16.Allah s.w.t dan para malaikat akan bersalawat ke atas orang yang bersalawat
17.Mendapat khabar gembira daripada Allah s.w.t dengan balasan syurga
18.Selamat sejahtera daripada huru hara pada hari kiamat
19.Rasulullah s.a.w akan menjawab secara langsung ke atas setiap salawat yang dibaca
20.Mudah mengingati semua perkara yang terlupa
21.Mendapat kedudukan yang baik pada hari kiamat serta tidak akan kecewa pada hari itu

Marilah kita bersalawat dengan sebanyak-banyaknya. Terdapat beribu-ribu lafaz salawat dan kaedahnya. biar bagaimanapun ia, yang penting adalah kita terus bersalawat.

WALLAHUALAM

13 November 2010

KERANA SENYUMAN




Kisah ini berlaku beberapa tahun dulu ketika saya masih menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pada malam-malam Ramadhan, saya lazimnya akan menyertai jemaah solat tarawikh sama ada di surau asrama kolej kediaman atau di Surau Annur (dahulunya dikenali sebagai Surau Pak Aris).

Imam solat isyak dan solat sunat tarawikh adalah imam jemputan yang merupakan pelajar tahfiz dari Darul Quran kuala Kubu Baru. Terdapat 3 orang imam yang bergilik-gilir mengimami solat bagi sebuah surau.

Pada suatu malam, di Surau Annur, imam yang sedang mengetuai solat dapat membaca surah-surah selepas bacaan Al-Fatihah dengan lancar tanpa sebarang masalah. Hinggalah pada satu masa pada pertengahan solat, imam kedengaran gagal membaca surah dengan lancar. Walaupun dibantu oleh makmum (imam jemputan juga) yang berada di belakangnya, imam itu tetap tidak mampu membaca dengan lancar. Nampaknya hafalannya telah terganggu malam itu.

Setelah selesai rakaat berkenaan, imam berkenaan telah diganti oleh imam yang lain. Alhamdulillah solat berikutnya berjalan lancar.

Selesai solat, kami yang duduk menikmati moreh bersama, bertanya kepada imam berkenaan, kenapa beliau gagal membaca dengan lancar walhal keadaan sebelumnya adalah sebaliknya.

Dia menjawab bahawa ketika selesai memimpin bacaan doa, ketika sedang bangun untuk rakaat yang berikutnya, dia memandang ke arah makmum seperti lazimnya. Ditakdirkan pada masa itu tirai yang memisahkan makmum wanita terbuka sedikit kerana ditiup kuat oleh kipas. ketika itulah dia terpandang seorang makmum wanita yang cantik kebetulan sedang tersenyum. lantaran itu, kemampuan hafalannya pada rakaat berikutnya terganggu hingga tak mampu lagi memimpin solat.

Jika seorang hafiz mengalami keadaan sedemikian hanya lantaran senyuman seorang wanita, bagaimana agaknya keadaan jiwa kita yang setiap hari tidak dapat mengelakkan diri dari memandang suatu yang haram?

Sedangkan maksud firma Allah s.w.t yang bermaksud :

“Katakanlah kepada laki–laki yang beriman : ”Hendaklah mereka menundukkan pandangannya dan memelihara kemaluannya.” (QS. An Nuur [24]: 30 )

Wallahualam

09 November 2010

HAK PENGGUNA




Setiap insan adalah pengguna. Kita menjadi pengguna barang ekonomi yang dikeluarkan oleh firma, barang awam yang disediakan oleh kerajaan dan barang percuma yang dicipta oleh Allah s.w.t. atas rahmat dan kasih sayangNya. Apakah kita benar-benar menyedari dan memelihara hak kita sebagai pengguna dari peniaga yang menyeleweng dan pengguna lain yang tidak mengendahkan hak kita?

Hak pengguna adalah seperti berikut :

1. Hak mendapat Keperluan Asas

Setiap pengguna berhak mendapat keperluan asas iaitu tempat tinggal, makan minum dan pakaian pada kadar minimum. Adalah menjadi tanggungjawab keluarga terdekat, masyarakat sekeliling dan kerajaan membantu orang yang tak mampu mendapat keperluan asasnya.

2. Hak mendapat keselamatan

Setiap pengguna berhak mendapat jaminan bahawa barang yang ditawarkan dan disediakan untuknya adalah selamat digunakan. Ini bermaksud barang itu tidak membahayakan nyawa, fizikal, kesihatan dan emosi pengguna.

3. Hak mendapat maklumat

Setiap pengguna berhak mendapat maklumat yang telus, tepat dan terkini berkenaan barang, perkhidmatan atau skim yang ditawarkan kepadanya. Ini membolehkan maklumat itu dinilai secara adil dan membantu pengguna membuat keputusan yang rasional.

4. Hak membuat pilihan

Setiap pengguna berhak memilih barang atau perkhidmatan yang diingininya. Peniaga tidak boleh memaksa pengguna mengambil barang yang ditentukannya.

5. Hak bersuara

Pengguna berhak untuk bersuara secara individu atau berkumpulan melalui persatuan. Dengan saluran yang betul, pengguna dapat mempengaruhi kerajaan dalam menggubal peraturan dan undang-undang.

6. Hak mendapat pendidikan penggunaan

Semua pengguna berhak diberikan pendidikan mengenai hak, tanggungjawab dan peranan mereka sebagai pengguna agar mereka dapat mengelakkan diri dari peniaga yang tidak bertanggungjawab dan menjadikan urusniaga perniagaan lebih beretika.

7. Hak mendapat ganti rugi

Pengguna yang teraniaya, terpedaya atau mendapat barang tidak seperti yang disangkanya berhak mendapat ganti rugi yang sewajarnya. Ganti rugi mungkin dalam bentuk barangan percuma, gantian barang, pembaikan percuma atau mungkin sejumlah wang tertentu yang boleh ditentukan oleh mahkamah jika kes dibawa ke mahkamah atau tribunal pengguna.

8. Hak mendapat alam sekitar yang sihat dan selamat

Pengguna berhak mendapat alam sekitar yang bersih dan selamat yakni tidak memberi mudarat kesihatan atau jiwa kepada mereka.

Hak bermaksud sesuatu yang menjadi kepunyaan, maksudnya menjadi kepunyaan pengguna. Pengguna boleh sahaja pada bila-bila masa menuntut haknya, kerana ia menjadi kepunyaannya. Atau pengguna boleh membiarkan haknya tanpa dituntut. Ia adalah hak, bukan kewajipan.

Kesedaran kepenggunaan di Malaysia masih terlalu rendah, hingga ada peniaga yang tidak bertanggungjawab sanggup menganiaya pengguna tanpa rasa takut terhadap tindakbalas pengguna. Dalam hal ini, pengguna di Malaysia wajar belajar dari Barat bagaimana pengguna mereka menjaga dan menggunakan hak mereka sebaik mungkin.

Antara penyelewengan peniaga adalah seperti harga barang yang tidak stabil, kegiatan menyorokkan barang untuk menaikkan harganya, barang berkualiti rendah, barangan yang membahayakan pengguna, timbangan dan sukatan yang tidak tepat serta maklumat yang mengelirukan.

Anda patut ingat kes kekurangan gula, kekurangan minyak masak, susu dicemari melamin, mainan mangandungi plumbum berlebihan, makanan dimasuki serangga, barangan luput tarikh, sistem yang menganiaya dan bayak lagi yang mungkin akan terus menimpa kita dari semasa ke semasa.

Wallahualam

07 November 2010

KHASIAT KOPI





Kopi sering dianggap sebagai minuman yang tidak baik untuk kesihatan walaupun tidak ada kajian yang dapat membuktikannya setakat ini. Antara puncanya adalah kerana kandungan kafein yang terdapat di dalam kopi.

Kajian mendapati kandungan kafein di dalam kopi adalah sekitar 1% sahaja. Kafein pula akan menjadi lemah apabila bergabung dengan protein dari susu.
Antara khasiat meminum kopi adalah seperti berikut :

1. Mengembangkan salur darah. Kerana itulah minum kopi dapat menghilangkan mengantuk. Apabila salur darah mengembang, lebih banyak darah (beserta oksigen) yang dapat dihantar ke bahagian badan antaranya otak. Ia juga akan dapat menghalang pengumpulan toksid di dalam otak. Menghidu bau kopi sudah cukup menyegarkan.

2. Meningkatkan daya denyutan jantung dan nadi. Darah akan bergerak lebih lancar dan keupayaan bekerja akan meningkat.

3. Menjadikan usus lebih aktif. Ini akan membantu tubuh menyerap nutrient dengan lebih baik dan dapat mengurangkan kemungkinan sembelit.

4. Meransang kelenjar perut untuk membebaskan lebih banyak bahan penghadaman. Ini baik bagi membantu penghadaman makanan yang lebih sempurna lebih-lebih lagi makanan yang tidak dikunyah secara sempurna.

Minum kopi selepas makan telah menjadi budaya masyarakat Barat. Namun bagi orang Asia, ia sering dilihat dalam perspektif yang negatif walhal khasiatnya amat banyak. Jika anda masih bimbang, terdapat banyak kopi tanpa kafein di pasaran hari ini.

Kopi, seperti makanan atau minuman apa sekalipun, jika diambil secara berlebihan pasti akan memberi mudarat. Kajian mendapati tikus yang diberi kopi sahaja akan mengalami kematian.

Islam mengajar umatnya agar sentiasa bersederhana. Makan dan minum secara bersederhana adalah baik untuk kesihatan. Seperti mengambil kopi yang berlebihan adalah memudaratkan, minum madu, makan nasi, hatta minum air kosong secara berlebihan pun akan memberi mudarat. Yang penting bersederhana.

Kopi yang dimaksudkan di sini adalah kopi dari biji kopi. Bukan kopi campuran atau kopi segera yang dihasilkan dengan mencampurkan perbagai bahan. Berhati-hatilah mengambil kopi segera kerana khasiatnya tidaklah seperti yang diwar-warkan seperti yang diingatkan oleh beberapa persatuan pengguna beberapa tahun lepas.

Terdapat riwayat menyatakan bahawa kopi adalah antara minuman kegemaran Baginda Nabi Muhammad s.a.w selain madu dan susu.

Wallahualam

Rujukan : Mustafa Ali, Panduan Kesihatan, UiTM

02 November 2010

KERJA KUAT KERANA INGAT MATI



Firman Allah s.w.t. bermaksud: "Tiap-tiap yang bernyawa itu akan merasakan mati"(Surah Ali Imran : 185).

Orang yang sentiasa mengingati mati akan sentiasa bekerja kuat kerana :

1. Dia sedar bahawa kerja yang dilakukan kerana Allah dengan cara yang betul adalah ibadah yakni amal soleh. Lagi banyak amal lagi baik kesudahan selepas mati itu nanti. Lebih kuat dia bekerja, lebih banyak amal soleh telah dilakukan.

2. Dia akan mengelakkan melakukan kecurangan dalam bekerja seperti datang lewat, cuti yang tak sepatutnya (MC padahal tak sakit), buat kerja main-main, rehat masa bekerja kerana dia sedar bahawa kerja yang dia buat dibayar gaji. Dia akan sentiasa memikirkan keberkatan dalam gaji yang diterima. Kerja yang dibuat tanpa kesungguhan yang sewajarnya pasti akan dinilai sebagai amalan yang buruk dan akan mendapat balasan buruk sesudah mati.

3. Dia akan bekerja dengan cara yang betul yang hasilnya akan menyenangkan orang lain. Kerja yang betul dengan cara yang betul sahaja akan menjadi ibadah. Kesannya kerja yang betul akan menyenangkan orang lain kerana tiada satupun yang Islam perintahkan akan menyusahkan orang lain melainkan orang yang jalannya sendiri adalah salah.

4. Dia akan bekerja kerana Allah bukan kerana hasil. Kerana Allah maksudnya untuk mendapat rahmat dan keredhaan Allah. Orang yang bekerja kerana hasil akan hilang motivasi apabila kerja yang dilakukan telah memberi hasil yang diharapkan seperti gaji. Contohnya ada orang berkata "Buat apa nak kerja kuat, gaji yang kita dapat sama sahaja", "Kalau aku bekerja kuat pun, bukan dapat apa-apa", "Aku yang kerja kuat, orang lain yang dapat hasilnya". Itulah kata-kata yang melunturkan semangat bekerja.

Kerja yang dilakukan, jika benar niat dan cara, pasti mendapat penilaian dan balasan yang adil dari Allah. Ia pasti diterima selepas mati. Barulah orang itu bekerja bersungguh-sungguh, kerana dia sedar, setiap kerja yang dilakukannya, pasti mendapat balasan oleh Allah, mungkin di dunia, dan pasti di akhirat.

Bekerja patut dilihat dalam konteks yang lebih luas. 'Kerja' itu bukan sekadar menyumbang tenaga dan fikiran kepada majikan atau pelanggan, tetapi setiap yang kita lakukan. Pekerjaan kita berbeza mengikut masa dan keadaan. Mungkiin kerja kita adalah seorang buruh, pemimpin, ketua, pemerhati, pengkaji, pelajar, suri rumah dan segalanya mungkin.

Allah s.w.t berfirman,

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya (pekerjaannya). Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (QS. Al Mulk: 2)

Sesungguhnya orang yang menyatakan bahawa orang yang sentiasa ingat kepada kematian akan kehilangan semangat dan usaha untuk hidup adalah orang tidak memahami Islam.

Kembalilah, kembalilah, kembalilah, kembali kepadaNya

29 Oktober 2010

KOPERASI PENGGUNA ISLAM MALAYSIA




Alangkah baiknya jika kita dapat menubuhkan Koperasi Pengguna Islam Malaysia. Yang dengannya kita akan dapat :

1. Mengumpul dana umat Islam di Malaysia unuk tujuan pembangunan ekonomi umat.
2. Menggunakan dana tersebut untuk menjalankan perniagaan barang-barang pengguna Islam seperti kedai runcit besar (pasar raya, kedai sejaras) yang membekalkan keperluan harian.
3. Menjalankan perniagaan sebagai peraih dan pemborong produk keluaran umat Islam untuk dipasarkan secara beresepadu kepada pengguna Islam.
4. Membina rangkaian saluran agihan dan pengedaran produk keluaran Muslim.
5. Menjalankan perniagaan perkhidmatan yang belum mampu diusahakan secara baik oleh peniaga Islam seperti bengkel dan pusat servis kenderaan

Cadangan ini adalah kerana :

1. Kekurangan modal dan kemahiran menyebabkan sebahagian peniaga Islam terpaksa gulung tikar
2. Terdapat peniaga bukan Islam yang tidak jujur dalam menjalankan perniagaan
3. Terdapat pembekal yang tidak bertanggungjawab bertindak menguasai pasaran dengan tingkahlaku tidak jujur seperti menyorokkan bekalan dan diskriminasi terhadap peniaga Muslim
4. Terdapat keraguan terhadap keluaran bukan Muslim walaupun mempunyai sijil halal

wallahualam

27 Oktober 2010

JANGAN MENGHARAP




“jika engkau berdepan dengan sesama manusia, mencuba untuk mendapat apa yang ada padanya, Allah akan menghinamu”. -Syeikh Abdul Qadir Jilani-

Apakah yang seorang mahu dapatkan dari orang lain? Saya rasa ini :

1. Sesuatu harta dunia yang ada padanya seperti duit, makanan, barangan atau sebatang rokok?
2. Sesuatu tindakan yang mampu dia lakukan seperti mematuhi permintaan untuk melakukan sesuatu atau tidak melakukan sesuatu, contohnya undi
3. Pujian dan sanjungan (glamour), contohnya orang lain tanda ‘suka’ pada post atau komen kita di FB, atau memuji kelebihan pada orang lain. Cantik, pandai, rajin, kuat, rendah diri, wali dan banyak lagi pujian....
4. Menjalin perhubungan seperti perkahwinan, percintaan atau persahabatan
5. Hak, seperti menjaga anak, menjaga duit, menjaga harta
6. Pangkat, jika orang itu berkuasa, maka dia mungkin boleh member pangkat
7. Layanan mesra, dengan senyuman dan kata-kata yang sedap didengar
8. Orang lain merendah diri seperti pemimpin ternama datang dan bersalam di rumah kampung
9. Orang lain mungkin dapat memberi peluang atau harapan

Untuk mendapat mungkin satu dari yang diatas, manusia sanggup melalukan perbuatan yang merendahkan martabatnya di sisi Allah dan mungkin manusia, maka Allah menghinanya. Mungkin diberi secara rala, mungkin secara paksa.

Berapa ramai orang yang sanggup memberi rasuah untuk mendapat sesuatu?
Berapa ramai yang sanggup meletakkan gambar membuka aurat dengan gaya ‘berani’ semata untuk pujian rakan di FB
Berapa ramai sanggup jadi pembodek untuk dapat ganjaran
Berapa ramai jadi si penunjuk kehebatan diri kerana mahukan pujian dan pangkat
Berapa ramai jadi ketua yang memerah orang bawahnya semata-mata mahu ternama lalu namanya dikenal dan dikenang orang
Berapa ramai jadi kawan tikam kawan, menghina di depan dan belakang kerana mahu dipandang tinggi
Berapa ramai jadi pengumpat kerana mahu orang kelihatan lebih rendeh berbanding dirinya
Berapa ramai yang sanggup menggadai maruah hanya kerana secebis cinta
Berapa ramai jadi pelawak sekadar mahu dapatkan ketawa orang sekitarnya
Berapa ramai sanggup berhutang untuk punyai sesuatu yang dengannya orang memujinya seperti kereta mewah, rumah besar, gajet termoden
Berapa ramai sanggup mencuri, menipu, menjual barang terlarang semata-mata mahu miliki harta yang dengannya akan mendatangkan pujian

Yang dengan itu lalu Allah jadikan mereka manusia hina, yang kehinaan itu mungkin berlaku di belakangnya, mungkin akan datang kemudian atau menunggu di akhirat.

Yang selamat adalah buat apa sahaja adalah kerana Allah. Bukan kerana manusia.

22 Oktober 2010

UBAT SEGALA PENYAKIT




INILAH UBAT PALING MUJARAB SEGALA PENYAKIT ZAHIR DAN BATIN

Nabi Muhammad s.a.w. menyebutkan surah ini sebagai 7 ayat yang dibaca berulang-ulang. Ia adalah rukun dalam solat, jika bacaan Al-Fatihah ini salah tartil dan tajwidnya, maka solat menjadi tidak sah.

1. Sila periksa bacaan Al-Fatihah anda dengan orang yang berkelayakan. Yang mahir membaca Al-Quran. Jangan percaya bahawa bacaan yang anda periksa masa di sekolah dahulu adalah betul. Mungkin ada salahnya.
2. Surah ini hendaklah dibaca dengan 7 nafas kerana ia ada 7 ayat. jangan sambung bacaan kerana nak cepat.
3. Membaca surah ini sebanyak mungkin adalah pendinding dari gangguan syaitan dan jin.
4. Setiap huruf dan sebutan mempunyai gelombang getarannya sendiri, membaca surah ini akan membantu menggetarkan molekul badan kepada keadaan yang sihat.
5. Untuk amalan tertentu, bergurulah secara bersemuka, ini bukan tempatnya. Ini sekadar permulaan dan pembukaan sahaja

wallahualam

09 Oktober 2010

SEBAB SAYA TAK SERTAI HAI-O

.

Ramai sahabat saya mengajak saya menyertai rangkaian pemasaran HAI-O Marketing. Katanya menjadi usahawan HAI-O. Saya diajak ke kelas HAI-O di Bukit Beruntung, Selayang, Putrajaya dan juga Ipoh. Dan saya sertainya beberapa kali. Saya hampir menyertainya sehinggalah pada suatu hari saya telah membuat keputusan untuk membayar RM20,800 dan mendapat 10 unit penapis air Bio-Aura. Namun ditakdirkan olehNya, saya membatalkan niat menyertainya sehari sebelum tarikh saya bercadang memasukkan duit ke dalam akaun.
Di sini saya nyatakan alasan bagi tindakan pembatalan itu untuk nilaian kita bersama. Dan menjadikan penapis air Bio Aura sebagai contoh.

1. Menyertai HAI-O tidak menguntungkan malah merugikan jika hanya menjual produknya sahaja.

Jika kita membuat pengiraan terperinci, sememangnya menyertai HAI-O tidak menguntugkan malah boleh merugikan melainkan kita membayar menggunakan DUIT SENDIRI dan bukan pinjaman bank dan menjual kesemua 10 produk yang kita beli pada bulan pertama secara TUNAI.
Itupun masih belum cukup menguntungkan. Ini kiraannya.

A) Kos menyertai adalah RM20,800. Setelah menyertainya, bulan berikutya anda akan dibayar ‘bonus’ RM4,700. Maknanya, jika anda berjaya menjual kesemua 10 produk secara TUNAI pada bulan pertama dengan harga RM2,080 seunit, anda telah memperolehi RM4,700 sebagai lebihan atau keuntungan atas usaha anda itu. Jika anda boleh lakukan ini, saya sokong anda sertai HAI-O.

B) Jika anda menyertai dengan wang sendiri dan menjual kesemua secara ansuran selama 1 tahun contohnya, anda tetap memperolehi lebihan sebanyak RM4,700 seperti di atas. Tetapi ia masih tidak tepat kerana pulangan anda berhadapan inflasi. Kesan inflasi atau kenaikan harga barang, nilai wang anda akan menurun. Kadar inflasi semasa ialah sekitar 4% setahun. Bagaimana pula jika anda gagal menjual kesemuanya dalam bulan pertama? Bagaimana jika terpaksa menyimpan stok selama beberapa tahun? Wang anda akan hilang kecairan kerana tidak dapat digunakan lantaran ia terikat dengan produk anda. Kita tak boleh beli barang dan bayar dengan penapis air!

C) Jika anda sertai dengan membuat pinjaman bank, anda telah terperangkap! Andaikan kadar faedah/keuntungan atas pinjaman semasa ialah 6% setahun dan anda buat pinjaman selama 10 tahun. Pinjaman berjumlah RM22,000 kerana anda meminjam lebih kerana perlu bayar kos pengurusan kepada bank.

RM22,000X6%X10 = RM13,200 (nilai faedah) + RM22,000 (nilai pinjaman) = RM35,200

Itulah kos untuk anda sertai HAI-O. jadi, jika anda dapat jual kesemua 10 unit penapis air dalam bulan pertama dan mendapat keuntungan RM4,700, anda sebenarnya masih rugi kerana kos anda sebenarnya ialah RM35,200, bukan sekadar RM20,800. Anda masih rugi RM8,500.

D) Jika anda sertai dengan membuat pinjaman bank seperti di atas, namun gagal menjual kesemuanya pada bulan pertama, atau menjua secara ansuran, nilai kerugian anda sebenarnya telah bertambah besar lagi, namun anda tidak sedar kerana tidak merasai bayara bulanan yang dibuat, dan teruja dengan ‘bonus’ awal yang anda terima. Anda rasa anda bayar hanya RM20,800 sedangkan anda terlupa kos faedah yang terpaksa dibayar kepada bank.

Semua pengiraan di atas hanyalah untuk kos nampak menyertai rangkaian sahaja. jika anda tambah kos menyertai kelas (pengangkutan, makan minum dll), kos telefon, kos berjumpa 'bakal downline' dan kos lain yang berkaitan, kosnya pasti meningkat.

2. Kekayaan Upline adalah kerana membina rangkaian (menaja downline), bukan kerana menjual barang.

Percayalah hanya golongan A di atas benar-benar mendapat untung kerana menjual barang. Upline membina kekayaan bukan kerana menjual barang, tetapi menaja downline menyertai rangkaian. Ini kerana upline akan mendapat komisyen apabila ada downline sertai rangkaian, bukan apabila downline berjaya jual kesemua produknya. Tetap akan dapat komisyen walaupun downline gagal menjual walau satupun produknya. (Inilah yang paling saya takut)
Ini berbeza dengan keuntungan perniagaan, kerana produk kadangkala (atau selalunya) langsung tidak melalui upline. Jadi, kenapa upline mendapat komisyen walhat produk langsung tidak melaluinya?

3. Penggunaan istilah yang salah dan mengelirukan bagi orang yang tidak tahu.

Walau apapun istilah yang digunakan, ia perlu merujuk kepada ahli dan pakarnya untuk dapat maksud yang tepat.
Anda diajak menjadi usahawan sedangkan hakikatnya anda diajak menjadi agen pemasaran sahaja. Usahawan maksudnya orang yang memiliki perniagaan, sanggup menghadapi risiko dan berusaha bersunggug-sungguh untuk mengembangkan perniagaannya. (Rujuk mana-mana buku keusahawanan sekalipun). Jika anda sertai HAI-O, perlukah anda miliki perniagaan? Tidak, anda tak ubah seperti agen jualan langsung lain yang dapat komisyen bila jual barang dan seperti sistem MLM lain, dapat komisyen bila taja downline! Mencari downline bukan kerja usahawan.
Satu lagi, anda dikatakan diberikan ‘bonus’ pada bulan pertama. Usahawan tak dapat bonus, dan bonus tak pernah dibayar pada awal kerja. Bonus hanya dibayar jika ada kejayaan dan lebihan. RM4,700 itu adalah lebihan atau keuntungan anda menjual produk, jika benar anda usahawan.

4. Anda dikelirukan apabila menyertai ‘kelas usahawan HAI-O’ atau bercakap dengan yang mengajak anda sertainya.

Di dalam kelas HAI-O, anda akan diajar oleh orang yang telah berjaya. Mereka akan berkongsi pengalaman kejayaan mereka. Akan diceritakan juga kereta besar dan rumah besar yang mereka miliki dan impikan. Akan diajar juga kelebihan produk dan cara mengendalikannya, sistem pemasaran perniagaan, insentif yang disediakan dan profil syarikat. Pada waktu ini, tumpuan adalah kepada nikmat yang telah diperolehi oleh orang yang Berjaya, sumber motivasi yang menggelojakkan keinginan, sehingga terlupa untuk membuat penilaian terperinci seperti di atas. Percayalah, anda tidak akan diceritakan kisah kegagalan beribu-ribu orang yang telah sertai HAI-O di luar, melainkan seketika untuk nyatakan bahawa orang yang gagal adalah mereka yang tidak mengikut sistem.
Orang yang Berjaya dan mendapat ‘bonus’ RM4,700 dan menjual penapis air yang meraka beli, disaran membeli aset yang dapat ‘membuka mata’ orang lain seperti kereta mewah, motorsikal berkuasa tinggi atau rumah besar. Mereka akan katakana itu adalah hasil menyertai HAI-O dan ia memang menarik hati. Namun jika pengiraan di atas digunapakai, dan logik akal juga, sebahagian besar harga aset tersebut sebenarnya dibayar menggunakan duit sendiri iaitu modal berjumlah RM20,800 yang telah dilaburkan tetapi diperolehi semula melalui jualan sekalugus atau bayaran ansuran yang diterima.
Kadangkala perkara ini memang disedari oleh orang yang mengajak anda, tetapi mereka juga terpaksa mengikut cara yang sama kerana mereka sedar, menjual produk sahaja tidak akan memberikan kemewahan. Ia hanya akan hadir apabila semakin ramai downline. Percayalah, kerana duit, ramai orang sanggup buat apa sahaja asalkan downline bertambah ramai.
Anda akan disogok dengan peluang, insentif dan kisah mereka yang telah berjaya tanpa dimaklumkan tentang risiko yang akan anda hadapi secara sewajarnya. Pernahkan anda maklum secara tepat berapa orang telah sertai HAI-O? Berapa orang telah berjaya dan berapa ramai yang gagal? agar anda melihat secara statistik kebarangkalian yang akan anda hadapi bila anda buat pilihan.

5. Pasaran semakin tepu

Sudah terlalu ramai sertai HAI-O, masing-masing jual produk yang sama. Produk yang sama berjenama lain juga semakin banyak di pasaran. Terdapat produk yang sama mempunyai harga tak sampai 50% brbanding produk HAI-O. Penapis air contohnya , ada yang berharga RM600 sahaja kerana dijual secara runcit, dan bukan MLM. Semakin banyak isi rumah miliki penapis air sendiri. Maksudnya semakin sukar menjual. Lebih sukar lagi untuk mencari downline pada masa akan datang.

Bukan semua orang mempunyai kemampuan mendekati, bercakap dan memujuk orang lain untk membeli atau menyertai rangkaian. walaupun kemahiran itu boleh diajar, bakal downline sewajarnya diminta menilai kemampuan diri secara sedar terlebih dahulu.

Saya minta jika ada yang menyertai HAI-O, dan anda memang jujur dan telus, ceritakan maklumat yang saya tuliskan di atas kepada orang yang anda ajak menjadi 'usahawan'. Silakan cetak post saya ini.

Saya tidak berniat menghalang langkah atau mengacau periuk nasi upline HAI-O sekalian, tetapi mengajak lebih jujur dan tidak hanya memikirkan pulangan kewangan sahaja. Sesungguhnya kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat atas setiap urusan dan setiap detik umur kita.

Untuk itu, saya harap jika anda mendapati pandangan saya tidak tepat secara fakta, sila perbetulkan maklumat saya agar pembaca diberikan maklumat yang jelas, tepat, terkini dan mampu membuat penilaian yang sewajarnya. Kerana sebilangan orang tak mampu menerima kegagalan dan mungkin bertindak luar batasan.

28 September 2010

HIDUP UNTUK BEKERJA

.
.
"Kita bekerja untuk hidup, bukan hidup untuk bekerja, sebab kalau tak kerja macam mana kita nak dapat rezeki untuk hidup"

Itu kata muridku membantah keras ajaranku padanya.

Kataku bahawa kita hidup untuk bekerja, bukan bekerja untuk hidup. Kerana itu kita perlu bekerja sekuat dan serajin mungkin. Penuhkan masa dengan bekerja. Tapi nampaknya dia tidak dapat menerima.

Lalu bagaimana aku melalui kehidupan selama ini? dan bagaimana kehidupannya nanti? Dan bagaimana dengan pilihan kamu wahai temanku? aku keliru atau dia yang keliru?


Bekerja adalah tanggungjawab kita sebagai khalifah (AL-Quran : AL-Baqarah : 30) maka kita tak boleh buat main-main kerana setiap kerja kita akan dinilai oleh Allah. Khalifah itu hanya terlaksana dengan pekerjaan-pekerjaan yang kita laksanakan. Maka Allah tentukan peranan masing-masing. Ada yang jadi pemerintah negara, ada yang jadi tentera, polis, arkitek, guru, nelayan, petani, blogger dan banyak lagi. Semua ada peranan masing-masing sebagai tugas mentakbir dan memakmurkan buni ini.
Kerja itu jika dilakukan mengikut panduan Islam, maka jadilah ia ibadah. Ibadah itulah juga sebagai tujuan penciptaan manusia. Maka ia perlu dibuat sungguh-sungguh, bukan kerana makhluk, tetapi kerana Allah.
Hidup ini telah ditentukan bahagian masing-masing olehNya. Maka jika bekerja semata-mata untuk hidup ini, yang memang ditentukanNya, maka jadilah ia sia-sia.
Orang yang yang bekerja untuk hidup itu kurang yakinnya kepada Allah. Kerana tanpa bekerja pun kita boleh hidup. Ramai orang begitu.
Saya bekerja untuk akhirat kerana Allah. Bukan bekerja untuk hidup. Hidup ini ada hujungnya. jika bekerja untuk hidup, maka jadilah ia bekerja untuk tujuan sementara. Ada orang bekerja untuk hidup, lalu hasil pekerjaan itu dihabiskan untuk hidup ini. Meninggalkan hanya sedikit untuk akhirat.

Wallahualam

11 September 2010

03 September 2010

CINTA .... OH INDAHNYA

.
.
CINTA itu indah? ya, memang indah. Lebih indah dari bulan mengambang penuh, atau sepinggan nasi ayam nusantara yang terhidang sebelum berbuka. Cinta boleh dikata lebih menarik berbanding selain darinya.

Apakah itu cinta? Apa tujuan dan eviden cinta sejati lagi murni dari hati nan tulus? Percayalah, cinta bukan keinginan memiliki walaupun lazimnya yang menyintai terlalu ingin memiliki apa yang dia cintai. Orang saling bercinta, ingin berkahwin agar sama-sama saling memiliki. Tetapi percayalah, perasaan ingin memiliki itu akan merosakkan cinta itu sendiri, lantaran manusia tiada kuasa menjadikan apa yang dicintainya miliknya.

Apa lagi menyintai manusia, atau saling bercinta, kerana manusia itu saling punya ciri dan keinginan yang berbeza. mungkin ada beberapa keinginan yang sama, seperti mahu berkahwin, namun banyak keinginan yang tidak sama lazimnya dipendam bagi melahirkan keserasian dan mengelak perbezaan. Dan hal itu tak akan kekal lama dalam perkahwinan yang tidak lahir dari percintaan yang suci.

Percintaan yang tulus lagi suci adalah perkongsian jika ia berbalas dan pengorbanan jika ia tidak berbalas. Biarlah dia bahagia, dan aku sanggup berkorban, kerana aku cinta padamu - pengorbanan -

Percintaan yang suci dan berbalas adalah terlalu indah untuk diungkapkan. Tiada kata-kata atau tulisan yang dapat menggambarkan keindahannya melainkan perkataan cinta itu sendiri. Apabila dua hati bergabung dalam rasa cinta yang mengasyikkan, diikat oleh rasa rindu yang berpanjangan walaupun ada di depan mata, rasa bahagia sepanjang masa, apa lagi kata-kata yang layak menghuraikannya?

Perkongsian perasaan cinta itu amat hebat. Apabila anda dapat merasai apa yang pasangan anda ingini walaupun tidak dilafazkannya, walaupun berada berjauhan, sesuatu yang amat menyenangkan. Anda tidak perlu bertanya apa mahu dibeli hari ini, kerana jika anda ke kedai membeli sesuatu, lalu pulang dan bertanya apa yang si dia mahukan sebelum menunjukkan apa yang anda beli, dan katanya dia mahukan sesuatu yang telah anda beli itu, pasti amat indahnya perkongsian perasaan itu.

Cinta yang dikongsi bersama itu menjadikan jiwa bersatu. Anda merasa bila dia terasa hati, anda sedih bila dia bersedih, anda mengidam bila dia mengidam, anda loya bila dia mengandung, anda sakit bila dia bersalin. Itulah perkongsian sebenar atas landasan cinta sejati. Jika anda bertanya kepada orang yang telah memilikinya, pasti katanya "ia amat indah"

ini baru cinta manusia, belum lagi cinta yang lebih tinggi. Bercintalah. Cinta Allah itu lebih hebat lagi. Orang yang menyintai Allah takut jika ada sebarang kata-kata atau perbuatannya yang Allah tidak suka. Jika telah memperoleh cinta Allah itu, maka dunia ini tiada lagi di hati. Kerana sesungguhnya hati manusia itu luas, jika diletakkan dunia dan semua isinya sekalipun, hati itu tak akan penuh. hanya Allah Yang Maha Besar mampu memenuhkan hati itu.

Wallahualam

21 Ogos 2010

DIA KEJAR KITA

.
.
Kisah benar ..... 2 budak muda menunggang motosikal malam hari pulang dari mana entah menuju ke Besout 4.
Malam tu hujan lebat, lebat sangat. akibatnya satu kawasan jalan mengalami takanan berlebihan lalu runtuh dan terputuslah jalan sepanjang kira-kira 30 meter.
Seorang mamat Indon menungang motosikal perlahan melalui jalan itu, sampai di tempat kejadian, dia terkejut melihat jalan dah putus. Dia pun berpatah balik menuju ke Besout 1. Baru beberapa ratus meter, dilihatnya lampu motosikal laju datang dari hadapan menuju ke arah jalan yang telah runtuh. Bimbang keselamatan mereka, dia turun lalu berdiri di tengah jalan menahan motosikal tersebut.
2 budak muda menaiki motosikal terkejut melihat seorang lelaki menahan mereka di tengah jalan. lalu ditambah kelajuan bimbang yang menahan di tengah malam adalah perompak jalanan.
Mamat Indon menjerit "Berhenti, jalan runtuh" tapi hilang dek deruan enjin yang kuat. Mamat Indon segera menungang motosikal untuk mengejar 2 anak muda, takut mereka terjatuh di jalan yang runtuh.
"Laju lagi, dia kejar kita tu" jerit pembonceng kepada kawannya. Pendikit dipulas habis bimbang dikejar.
Sampai di tempat kejadian, tiba-tiba ada jalan runtuh di hadapan. Brek pun dak tak makan, jalan licin, bawak pulak sampai habis laju. tersadailah kedua-dua anak muda di jalan yang runtuh, terbaring berbulan di hospital kerana lari dari 'perompak' yang ingin membantu mereka.
Anak didik hari ini, sebahagiannya tidak dapat melihat bahaya yang ada di hadapan mereka. bila ditegur dikatakan menyusakan dan menganggu mereka. Walhal kita tegur kerana bimbang masa depan mereka, seperti kisah di atas.
Kerana itu kadangkala, kita terpaksa bertindak kasar dan tidak disukai, kerana bahaya yang menunggu. kita perlu hentikan mereka serta merta sebelum meraka menjadi telalu parah hingga tidak dapat diubat dan masa dah terlambat.

07 Ogos 2010

SIAP KAU

.
.
.

"Siap kau, aku pecahkan moto kau"

jerit seorang pelajar lelaki sambil menunding jari padaku.

Marah agaknya kerana aku menangkapnya membawa rokok ke dalam kawasan sekolah.

"Hei, bapak aku nak nombor telefon kau"

jerit pelajar perempuan itu kepada gurunya

mungkin marah ditegur kerana tidak mahu belajar, berbulan-bulan hilang, bila datang buat macam dia bos la pulak

emmmm..... budak-budak sekarang

21 April 2010

CIKGU CINA

Sepupuku seramai 3 orang yang merupakan anak Maktamku bersekolah di sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di Selama Perak.

Sepupu-sepupuku kadangkala agak malas untuk menyiapkan berpuluh-puluh latihan harian yang menghilangkan masa bermain sebelah petang dan malam mereka.

Setelah puas berleter supaya mereka membuat latihan yang diberikan di sekolah, dan guru sendiri memaklumkan si anak kadangkala tidak siapkan latihan, maka pergilah Maktamku ke sekolah untuk berbincang cara menyelesaikan masalah tersebut. Malas buat latihan di rumah.

Setelah berbincang, maka guru mencadangkan untuk si guru melawat ke rumah bagi mengawasi sepupuku membuat latihan yang diberikan.

Maka bermula keesokan harinya, awal-awal lagi Maktamku mengingatkan anak-anaknya bahawa guru mereka akan datang ke rumah untuk melihat mereka menyapkan kerja rumah masing-masing. Maka risaulah para sepupuku.

Selama seminggu itu, si guru akan datang ke rumah Maktamku setiap petang mengawasi sepupuku menyiapkan latihan. Kesannya, setiap latihan yang dibawa balik dapat disiapkan sepenuhnya.

Begitulah cara guru berbangsa Cina mengajar anak muridnya berbangsa Melayu.
.
.
p/s : bagaimana kesunguhan kita membantu anak murid sebangsa kita yang malas dan lambat? bersediakah kita membantu di luar waktu kerja hingga ke rumah?
atau kita kata "lantak kau la kalau malas nak belajar"

26 Mac 2010

PEMBELA BANGSA



Membela bangsa (Melayu) itu ramai yang kata. Dia buat itu ini untuk membela bangsanya. Apakah benar begitu? Sedangkan soal kata, lidah boleh bohong (Iklan mi sedap yang tak berapa sedap sebenarnya)

Walau sedikit dan sekecil manapun usaha seseorang atau organisasi membela bangsa, ia tetap membela bangsa. Namun persoalannya, apa yang dibela? Pembelaan hakiki? Pembelaan duniawi? Atau hanya pembelaan satu perkara atas nilaian jangka pendek semata?

Jika usaha itu menjadikan bangsa mengecap taraf hidup berekonomi yang semakin baik, punya wang yang cukup untuk penuhi tuntutan hidup, itu namanya membela ekonomi bangsa. Kerana hasilnya hanyalah ekonomi. Pada masa yang sama, sistem kekeluargaan mungkin semakin longgar, nilai budi bahasa mungkin semakin terhakis, amalan agama mungkin semakin ditinggal. Orang itu bukan pembela nasib bangsa, dia hanya membela ekonomi bangsa? Cukupkah hanya ekonomi?

Jika usaha itu dapat menjadikan bangsa mengecap taraf hidup yang lebih baik, kekeluargaan yang semakin rapat, pendidikan yang semakin tinggi, kekuatan politik semakin ketara, itu memang pembela bangsa. Tapi kalau dalam hidup kaya aman dan selesa itu, nilai agama ditinggal kerana mahu mengekalkan kaya aman dan selesa di sebuah sempadan yang di dalamnya punyai kemajmukan manusia, itu pun belum lagi pembela bangsa. Apa guna hidup kaya aman selesa di dunia, tapi di akhirat merana dalam neraka? Lalu di akhirat nanti ‘si pembela’ disumpah seranah kerana kesenangan yang dikatakan hanya sementara di dunia rupanya. Orang itu bukan pembela nasib bangsa, dia hanya membela kehidupan dunia bangsa. Cukupkah hanya dunia?

Jika usaha itu dapat menjadikan bangsa mengecap kesentosaan hidup di dunia walau awalnya perit, di samping kehidupan bahagia di akhirat, itu barulah pembela bangsa yang sebenar. Sayangnya pada anak bangsanya hingga dia berusaha memastikan kebahagian bangsanya dunia akhirat, bukan semata dunia. Walaupun lidahnya sekalipun tidak pernah menyatakan dialah pembela bangsa, namun percayalah, dialah yang sebenarnya ikhlas membela nasib bangsanya!
gambar dari resam-melayu.com/

03 Mac 2010

REZEKI MENGEJAR KITA


“Rezeki akan mengejar kita sebagaimana maut mengejar kita kerana kedua-duanya adalah ketetapan Allah Yang Maha Berkuasa”

Itulah kata ustaz semasa kuliah maghrib di masjid dalam kuliah tafsir beberapa tahun dahulu.

Pagi ahad 14 Februari yang lalu aku bersama ahli keluarga menghabiskan masa bersama di kawasan perkelahan Sungai Dara Tanjong Malim. Seronok mandi dan terjun tiruk sambil memancing, terlupa membuka cermin mata ketika satu terjunan ke tengah sungai. Akibatnya cermin mata dibawa arus deras jeram lalu hilang entah ke mana.

Pagi 17 Febuari aku bercadang ke pekan Bidor untuk menempah cermin mata yang baru kerana hajat mahu membawa ayah yang sakit ke sebuah kedai senseh di sana. Entah kenapa, sebaik sampai di Sungkai, kami singgah tanpa dirancang dan terus ke sebuah kedai cermin mata di sana. Lalu aku terus masuk ke kedai itu membuat tempahan yang dikatakan siap dalam 30 minit.

Sebaik keluar dari kedai itu, aku terlihat seorang lelaki tua tanpa rambut berpakaian lusuh memegang sebuah beg dan ikatan kayu sedang duduk di tepi kedai itu.

MasyaAllah

Itu adalah Pakcik Jaafar yang diceritakan kisahnya oleh Gelojak Jiwa di blognya http//gelojakjiwa.blogspot.com bertajuk Kisah Wali Allah (Bahagian 3) dan sambungan. Aku benar-benar terkejut sambil teringat niatku untuk bertemu dengannya selepas membaca kisah di blog Gelojak Jiwa. Pernah kutulis dalam blog itu bahawa “kadangkala kita rasa kita cari dia, tapi sebenarnya dia yang tunggu kita....”

Selepas memberi salam dan bersalaman, aku bertanya “Pakcik Jaafar kan?”

Jawabnya “Ya, anak ni sapa?”

“Azlan, dulu belajar di UPSI” kataku

“Ni dari mana” soalnya lagi

“Dari Besout” jawabku ringkas

“Eloklah, saya pun ada benda nak bagi kat kamu” katanya lagi

Lalu dia mengeluarkan beberapa keping kertas dari beg lusuhnya dan memberikan 3 helai kepadaku.

“Saya tak dapat nak faham” kataku sambil menerima hulurannya

“Nanti faham la tu” katanya

Lalu dia menerangkan beberapa perkara dari helaian kertas yang diberikan

“Maaf pakcik, saya tak boleh lama, nak bawa ayah ke Bidor” kataku

“Sekejap, pakcik ada benda nak bagi kamu” katanya menarik tanganku untuk duduk semula lalu dia mencari-cari barang dari dalam begnya

“Ini kacang angin, pakcik beli di KL, elok untuk buang angin” katanya sambil menghulur sebungkus kacang di dalam plastik padaku

“Kacang ni susah nak dapat, hiris nipis-nipis, makan dengan halia dan bawang putih” katanya lagi

MasyaAllah

Teringat aku masa berbekam dengan saudara Juragan beberapa minggu lalu dan tukang bekam itu menunjukkan badanku mengandungi banyak angin semasa berbekam itu. Memang pun, pagi-pagi kena menembak meriam dulu.

Siapa sangka, kehilangan cermin mata membawa kepada pertemuan dengan seseorang yang dicari yang membawa ilmu dan manfaat kepadaku. Mungkin dia yang menunggu aku dengan perkara-perkara yang ingin disanpaikan olehNya melalui dia?

Sudah rezekiku….. memang dia akan mengejarku jua.
gambar dari kisahsensasi.com/wp-content/uplo...mpat.jpg
.