KAMI MENAWARKAN

KHIDMAT PERUNDINGAN MOTIVASI
(ALAM SUKMA CONSULTANT)


BEKAM MODEN
PROSES BEKAM DI RUMAH ANDA SENDIRI (KAWASAN TERTENTU SAHAJA)


PENAPIS AIR IMTIYAAZ PADA HARGA RM598
MEMBELI SAMBIL MEMBANTU EKONOMI UMAT
PRODUK BUMIPUTERA ISLAM TEMPATAN

KULAAN FOODS
MENYEDIAKAN PERKHIDMATAN SAJIAN MAKANAN (CATERING)

SEBARANG MAJLIS DI PERAK, KEDAH, PULAU PINANG, SELANGOR DAN KUALA LUMPUR

hubungi :
fakir_albanjari@yahoo.com





30 Disember 2009

DOA






Suatu hari terdapat seorang sufi yang sangat makbul doanya berhajat menyeberangi sungai dengan menaiki perahu penambang. Sememangnya dia terkenal dengan doanya yang makbul. Maka naiklah dia ke atas perahu yang telah sedia dinaiki oleh beberapa orang. Di atas perahu itu terdapat seorang lelaki yang mengenalinya yang berhajat mengetahui sebab doa si sufi itu makbul.

“Assalamualaikum, bolehkan saya bertanya kepada tuan?” kata si lelaki

“Silakan” balas si sufi

“Bagaimana Allah sentiasa menunaikan doa tuan, sedangkan saya ini seringkali mengangkat tangan dan berdoa, tetapi tidak dimakbulkan pun?”

Si sufi hanya tersenyum mendengar soalan itu tanpa menjawab sepatah pun. Maka sampailah perahu ke seberang sungai lalu naiklah semua sehingga tingallah si lelaki dengan si sufi beserta pemilik sampan. Dalan firasat si sufi, lelaki itu seorang yang tidak tahu berenang.

Tiba-tiba si sufi menolak lelaki yang tidak tahu berenang itu ke dalam sungai. Lalu tekrapai-kapailah lelaki itu meminta pertolongan tenggelam timbul dengan sekuat hatinya.

Melihat keadaan itu, maka terjunlah pemilik sampan menyelamatkan si lelaki yang dilihatnya hampir lemas tidak tahu berenang. Maka naiklah si lelaki ke darat sedang si sufi menunggu dan memerhatikanya.

“Mengapa tuan menolak saya ke dalam sungai, adakah tuan marah dengan soalan saya tadi?” Tanya si lelaki

“Tidak, Cuma aku mahu tahu, bagaimana keadaanmu meminta tolong untuk diselamatkan ketika di dalam sungai tadi?” Tanya si sufi kembali

“Aku meminta pertolongan dengan cara yang tidak pernah aku meminta pertolongan selama ini. Aku meminta dengan seluruh jiwa ragaku. Kepala, badan, kaki, tangan hati dan suara sama-sama memohon pertolongan untuk diselamatkan dengan perasaan sekiranya aku tidak diselamatkan, maka aku pasti akan mati kelemasan. Ketika itu tiada apa lagi yang aku fakir dan ingini melainkan diselamatkan” jawab si lelaki setelah termenung seketika

“Begitulah keadaanku ketika berdoa memohon sesuatu kepada Allah, seluruh jiwa ragaku bersatu memohon kepadaNya seolah-olahnya jika Dia tidak perkenankan permintaanku, seolah-olah kematianlah yang menantiku”

Maka tersedarlah si lelaki betapa doanya selama ini tidak dimakbulkan

Saudara-saudaraku,

Bagaimana keadaan doa kita selama ini? Adakah doa kita sekadar di bibir sedangkan hati dan ingatan kita mengandungi yang lain? Lalu doa kita yang bertimbun itu tidak diperkenankan?

Alangkah kita ini…………

25 Disember 2009

MAKHLUK TERKUAT

gambar tiada kaitan


Suatu hari Saidina Ali r.a telah ditanya oleh seorang sahabat

“Wahai Ali, apakah makhluk terkuat di dunia?”

Jawab Saidina Ali :

“gunung, makhluk paling kuat adalah gunung”

“Tetapi, besi lebih kuat dari gunung, kerana besi mampu menembusi gunung
Tetapi, api lebih kuat dari besi, kerana besi mampu meleburkan besi
Tetapi, air lebih kuat dari api, kerana air mampu memadamkan api
Tetapi, awan lebih kuat dari air, kerana awan mampu membawa air
Tetapi, angin lebih kuat dari awan, kerana angin mampu membawa awan
Tetapi, bangunan lebih kuat dari angin, kerana bangunan mampu menahan angin
Tetapi, akal manusia lebih kuat dari bangunan, kerana akal manusialah yang membina bangunan
Tetapi, mengantuk lebih kuat dari akal, kerana mengantuk mampu melemahkan akal
Tetapi, perasaan gelisah lebih kuat dari mengantuk, kerana perasaan gelisah mampu melawan mengantuk
Sesungguhnya, makhluk yang paling kuat di dunia adalah perasaan manusia”

Perasaan ketakutan sesuatu lantaran menyayangi sesuatu mampu mengecutkan perut hingga seseorang mampu melakukan sesuatu tindakan walhal ia tidak mampu dilakukan olehnya hatta mungkin orang lain. (Lihat kisah di http://mautauka.blogspot.com/)

Perasaan kasih sayang mampu membuatkan orang menjadi ‘gila’ di mata orang lain kerana kecintaannya itu. Melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh orang yang berfikiran waras lazimnya.

Perasaan inginkan kejayaan mendorong seseorang berusaha bersungguh-sungguh melakukan sesuatu sama ada bekerja atau belajar. Hinggakan lantaran perasaan itu, ada orang yang mampu bekerja atau belajar sehingga lewat malam. Lihat sahaja suasana di asrama universiti sebulan sebelum peperiksaan.

Peasaan ingin tahu menyebabkan manusia meneroka laut dalam, gunung berapi, angkasa raya dan sebagainya walhal kehidupan biasanya sudah cukup selesa.

Semuanya kerana perasaan. Tetapi awas, apabila perasaan menguasai diri, akal mungkin terabai sehinggakan tindakan menjadi tidak lagi rasional dan dinilai. dalam pertempuran dua pendekar yang sama hebat, kemenangan lebih memihak kepada yang mampu mengawal perasaannya. Perasaan marah yang membuak-buak seringkali menyebabkan tindakan melulu yang akhirya mendatangkan kerugian.

Kerana itu dalam pertempuran, salah satu kaedah yang diajar dalam silat jika terpaksa bertarung, adalah menaikkan kemarahan musuh sehingga tindakannya menjadi melulu dan lebih mudah ditangani.

Sekembalinya dari satu peperangan, Kecintaan kita Baginda Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud

“Sesungguhnya kamu telah pulang dari peperangan yang kecil, menuju kepada peperangan yang besar”

Lantaran itu pesilat silam tidak dipisah dengan ilmu dan amalan tasauf, bagi mendidik hati, mengawal perasaan. Pertempuran yang besar sebelum pertempuran yang kecil.

21 Disember 2009

BONUS OH BONUS

.


gambar dari my.opera.com


Ketika membeli Ikan Cermin di Pasar Borong Selayang seminggu yang lalu, aku terdengar perbualan peniaga dengan seorang pelanggan tua.

pelanggan tua : "kalau aku belum berhenti, banyak juga dapat bonus tahun ni"
peniaga : "Bank yang kau kerja dulu ke? berapa banyak dia bayar bonus?"
pelanggan tua : "ada la dalam 5 bulan gaji"

serta merta aku teringat kepada perbualanku dengan dua jiran yang membeli rumah di sebelah rumahku di Perak. Jiran di sebelah kiri bekerja sebagai pemandu di FELDA Plantation Bhd. Yang di sebelah kanan di kilang sawit milik FELDA Palm Oil Bhd. Kedua-duanya syarikat milik FELDA.

Jiran rumah kiri : "macam mana tahun ni? banyak ke dapat bonus?"
Jiran rumah kanan : "Ada la jugak macam tahun-tahun lepas"
Jiran rumah kiri : "Kami tahun ni dapat 7 BULAN je bonus, turun sikit. tahun lepas 9 bulan"
Jiran rumah kanan : "Ye ke? kami tahun ni dapat la bonus SETAHUN gaji"
aku : "Alhamdulllah, kami ni dapat RM500 bonus tahun ni"

p/s : banyak ke korang dapat bonus tahun ni? he he he

18 Disember 2009

ANAK

.
.

gambar dari khozsikidsfashion.mywebhome.ca



DAN seorang perempuan yang menggendong bayi dalam dekapan dadanya berkata,
Bicaralah pada kami perihal Anak.

Dan dia berkata:
Anakmu bukanlah anakmu.
Mereka putra-putri kehidupan yang rindu akan dirinya sendiri.
Mereka datang melalui engkau tapi bukan dari engkau,
Dan walau mereka ada bersamamu tapi mereka bukan kepunyaanmu.

Kau dapat memberi mereka cinta-kasihmu tapi tidak pikiranmu,
Sebab mereka memiliki pikirannya sendiri.
Kaubisa merumahkan tubuhnya tapi tidak jiwanya,
Sebab jiwa mereka bermukim di rumah masa depan,
yang tiada dapat kausambangi,
bahkan tidak dalam impian-impianmu.

Kauboleh berusaha menjadi seumpama mereka,
tapi jangan berusaha membuat mereka seperti dirimu.
Sebab kehidupan tiada surut ke belakang,
pun tiada tinggal bersama hari kemarin.
Engkaulah busur dan anak-anakmulah anak panah yang meluncur.

Sang Pemanah membidik tanda sasaran di atas jalan nan tiada terhingga,
dan Dia menekukkan engkau dengan kekuasaan-Nya
agar anak panah-Nya dapat meluncur cepat dan jauh.

Meliuklah dengan riang di tangan Sang Pemanah.

Sebab sebagaimana Dia mengasihi anak panah yang meluncur,
demikian pula Dia mengasihi busur nan mantap.



KAHLIL GIBRAN


Sajak ini telah lama disimpan hingga lupa dari mana diambil.
khas buat sadaraku yang telah 'memiliki' anak, ingin 'memiliki' anak atau pernah menjadi anak

17 Disember 2009

PESILAT PERLU TUNJUK HEBAT

gambar dari yizhimei5.wordpress.com


Ketika bergelanggang di gelanggang Lok 9 menuntut dari Azlan Ghani dan di gelanggang Setia Bakti dari Cikgu Dahlan Karim, ada nada yang serupa diluah dua guru yang lama berkecimpung dalam memartabatkan silat ini.

“Pesilat perlu tunjuk hebat”

"Jangan lagi berlaku, guru mati, ilmu hilang"


Hari ini, semakin ramai anak Melayu sudah tidak berminat dengan silat. Sama ada mereka langsung tidak meminati beladiri kerana asyik berhibur dan mengejar gred A dalam akademik atau lebih meminati dan mengagumi beladiri yang lain.

Lantaran itu pesilat perlu menunjukkan kehebatan yang ada pada mereka, supaya dua sebab di atas dapat dikurangkan. Ya, ramai anak Melayu sanggup bayar beratus ringgit sebulan untuk beladiri lain tetapi tidak untuk silat.

Antara cara lazim untuk guru menunjukkan kehebatannya adalah mealui pertunjukan atau demo. Pertunjukkan biasa berbentuk pertempuran atau yang lebih dari itu seperti memecah genting, berjalan atas kaca, berjalan atas bara, melompat gelung api, mencelup air panas, mandi asid dan sebagainya. Walaupun demo dilakukan oleh anak murid, kredit sebenarnya adalah untuk guru juga. Ada juga pesilat yang menunjukkan kehebatan melalui tulisan di buku, majalah, cerpen, lukisan, web hatta di dalam blog. Ini lazim bagi menceritakan kehebatan yang berlaku tanpa boleh dipertonton melalui pertujukan. Barangkali ia pengalaman sebenar yang menunjukkan ilmu persilatan itu benar-benar praktikal dan boleh diharap tika diperlukan. Ada juga yang melalui rakaman yang ditayang di media seperti televisyen dan internet atau diperbanyak dalam bentuk cakera padat atau digital. Motifnya tetap sama, menunjukkan kehebatan ilmu persilatan.

Namun dalam menunjukkan kehebatan itu, hati perlu dijaga. Perlu dijaga benar-benar. Sebenarnya yang mahu ditunjukkan kehebatan siapa dan apa? Kehebatan pesilat sendiri? Kehebatan ilmu persilatan Melayu? Atau kehebatan Allah s.w.t?

Jika mahu menunjukkan kehebatan diri pesilat, awaslah kepada bahaya ujub, riak dan takbur.
Ujub – perasan dirinya hebat, walhal tidaklah sehebat manapun.
Riyak – merasakan dirinya hebat sehingga lupa bahawa makhluk tidak memberi bekas, lupa segalanya adalah kekuasaan Allah s.w.t.
Takbur – merasakan dirinya hebat dan memperlekehkan orang lain. Dia menafikan kehebatan ilmu orang lain dengan perbuatan dan kata-kata. Cakap besar.

Jika mahu menunjukkan kehebatan ilmu persilatan Melayu, itu adalah baik. Namun jika terhenti sekadar di situ adalah malang kerana tidak sampai hujungnya. Kerana mungkin masih ada rasa bangga dengan kemampuan bangsanya mengumpul ilmu beladiri yang hebat walhal tiada kelebihan sesuatu bangsa atas bangsa yang lain melainkan kerana iman.

Jika mahu menunjukkan kehebatan Allah s.w.t, maka itulah yang sewajarnya. Mahu menunjukkan bahawa dengan ilmu yang dipinjamkan oleh Allah dan izinNya, manusia dapat keluar dari kongkongan logik sains dan matematik. Keluar dari hukum alam. Dan jawapan bagi semua persoalan adalah – segalanya adalah kekuasaan dan izin Allah s.w.t. tiada yang mustahil bagiNya. Makhluk tidak meberi bekas. Api tidak membakar, parang tidak meluka, kepanasan tidak melecurkan, kaca tidak meluka tanpa izinNya. Keluar dari hukum sebab dan akibat.

Jika setitis air di lautan yang dipinjamkan, dan entah berapa peratus sahaja dari setitis itu yang kita ketahui, sudah memberi kesan sedemikian, bagaimana agaknya kehebatan Allah s.w.t? Kekuatan pemilik sebenar ilmu yang kita pinjami itu? Kembalilah kepadaNya wahai saudara-saudaraku. Mampukah kita melawanNya? Jika tidak (pastinya tidak), sudah cukupkah taat kita selama ini?

Jika itulah matlamat, silakanlah. Muda-mudahan ia dikira sebagai amal soleh di sisiNya.Wallahualam.

14 Disember 2009

SIHAT SEPANJANG HAYAT (SIRI 1)

Tips untuk menjadikan tubuh badan (fizikal/jasmani) sihat, bertenaga, minimum sakit serta cemerlang sepanjang hayat setakat pengetahuan saya sepanjang kajian bermula tahun 2004. Mudah-mudahan ada sedikit manfaat kepada pembaca dan penulis dari tulisan ini. mudah-mudahan melalui sihat kurniaan Allah yang diperolehi melalui ikhtiar yang dititip, menjadikan kita lebih baik dalam melakukan ibadat taat kepadaNya. Tips-tips ini dititip dengan merujuk kepada amalan Baginda Rasul s.a.w, para sahabat Baginda, tulisan ilmuan Islam dan amalan umat Melayu di Tanah Jawi ini.
Tips ini diberikan mengikut urutan kehidupan harian bermula bangun sehingga tidur semula, dan beberapa amalan tidak bergantung kepada waktu. Kita berusaha yang mudahan-mudahan ikhtiar itu dinilai sebagai amal soleh yang sesuai dengan kehendakNya lalu menyampaikan kita kepada ramatNya. Hasil usaha adalah hak Dia sepenuhnya.

Bangun Pagi

Apabila bangun daripada tidur, setelah terjaga dan mencelikkan mata lafazkanlah syukur dibibir atau dihati lantaran masih diberi pinjaman usia, jangan terus bangun dan meninggalkan pembaringan. Tenangkan badan, ambillah udara pagi sedalam-dalamnya, dan hembuskan perlahan-lahan melalui mulut yang sedikit terbuka. Sekira-kiranya 3 kali.

Pastikan badan dalam keadaan terlentang ketika mahu membangunkan badan. Jangan amalkan bangun secara megiring dan terus berdiri. Sabarlah, melainkan ada kecemasan seperti waktu Subuh hampir tamat, rumah terbakar atau banjir melanda. Ketika kecemasan, teknik ini, tinggalkanlah.

Bangunkan badan dahulu dan duduklah serta hulurkan tangan pada kaki yang melunjur. Sentuhlah jemari kaki dengan jemari tanganmu. Selepas beberapa ketika, maka cuba rapatkan dahi ke lututmu perlahan-lahan. Jangan dihenjut mengejut, nanti sakit dahi dan lutut dibuatnya. Pinggang juga. Ingat, tubuh badan kita nak digunakan mungkin masih lama.

Selepas itu bangunlah, berdiri lurus, tarik nafas dalam-dalam, tahan seketika, dan hembuskan melalui mulut secara perlahan-lahan. Angkat kedua-dua tangan ke atas dan tarik nafas dan berjengket sehabis dapat. Turunkan tangan serentak mengeluarkan nafas perlahan-lahan.

Bersambung …….

09 Disember 2009

ILMU GURUH GEGAK GEMPITA

Maksud firman Allah s.w.t

“Teriakan itu hanya sekali sahaja, maka seketika itu mereka semua dihadapkan kepada Kami”
Yaasin : 53

“Seakan-akan mereka seperti keldai liar yang lari terkejut. Lari dari singa”

Al-Qiyaamah : 51, 52

Salah satu daripada ilmu dalam persilatan yang saya ketahui adalah Ilmu Guruh Gegak Gempita.

Ia adalah ilmu teriakan, yang mana dengan teriakan yang dikeluarkan musuh boleh berada dalam dua keadaan.

Pertama, musuh akan rasa gementar ketakutan lalu melarikan diri seperti keldai liar yang melihat singa yang mahu menerkamnya.

Kedua, musuh akan terpana seketika dalam beberapa saat. Masa yang mencukui untuk melakukan satu serangan yang boleh menyudahkan kuncian atau datangkan kecederaan malah kematian. Bagi yang mahir, 1 saat sudah mencukupi untuk melakukan serangan dengan beberapa jurus yang membawa maut.

Salah satu kejadian pecah masuk rumah keluarga saya di kampung berlaku pada tahun 2004. Hari Jumaat malam Sabtu. Sekitar jam 11 malam terdengar bunyi sesuatu terjatuh di atas bumbung. Namun kami sekeluarga buat tak endah sahaja.

Sekitar jam 2 pagi, seorang jiran yang merasa kepanasan keluar dari rumah dan melihat 3 orang lelaki. Maka kerana menyangka anak-anak muda sedang berjalan pulang dari melepak, maka dia pun menegur kumpulan lelaki berkenaan. Tiba-tiba seorang dari lelaki itu mengambil batu dan membaling ke arah jiran berkenaan. Lalu jiran itu yang kehairanan terus masuk semula ke rumah tanpa dapat berfikir apa-apa.

Beberapa minit kemudian 3 orang lelaki itu memecah masuk rumah seorang peneroka yang jaraknya beberapa puluh meter dari rumah pertama tadi. Seorang anak peneroka berkenaan yang tidur di ruang tamu terjaga dan kehairanan melihat 3 lelaki tidak dikenali di dalam rumah. Maka dia pun dalam mamai bertanya. “Eh, kenapa ni?”

Serentak itu seorang perompak menghunus parang ke leher anak peneroka berkenaan, mengejutkan seisi keluarga, mengikat dan bertanya di mana barang berharga disimpan. Hasilnya beberapa ribu RM dapat dikaut malam itu.

Selesai menjarah hasil dari rumah pertama, mereka masuk pula rumah seorang lagi peneroka sekitar 100 meter dari rumah sebelumnya. Masuk tanpa dikesan ketika seisi keluarga nyenyak dilamun mimpi. Hasilnya barang kemas berupa rantai, cincin, gelang dan subang menjadi hasil usaha keras mereka bertiga.

Rumah seterusnya yang menjadi sasaran adalah rumah keluarga saya sekitar 3.30 pagi. Sekeluarga kami nyenyak tidur. Semua di dalam bilik kecuali adik bongsu saya yang tidur di ruang belakang bersendirian. Mereka masuk dari pintu belakang dengan mengumpil tingkap dan menggunakan pemutar skru. Perkara pertama yang mereka ambil adalah golok yang tersisip di pintu dapur.

Mungkin mereka menggunakan ilmu pukau. Tetapi ilmu mereka menjadi tawar kerana tersalah membuka senaskah Kitab Al-Quran kecil berbalut kulit tergantung di dinding yang sekali imbas kelihatan seperti bekas menyimpan duit. Akibatnya adik bongsu saya terjaga lalu menjerit.

Saya yang terkejut segerara melompat turun dari katil dan keluar dari bilik dan secara spontan terguna ilmu guruh gegak gempita. Terlangsung saya menjerit sebanyak 3 kali. “HOI HOI HOI” dengan nada teriakan yang amat tinggi.

Maka lari lintang pukanglah ketiga-tiga perompak berkenaan bersama golok masing-masing melalui pintu belakang yang terbuka sehingga meninggalkan segala peralatan memecah rumah yang dibawa termasuk begnya sekali. Yang dari rumah bahagian atas terjun dan meluru ke pintu belakang. Nasib tak tertinggal duit dan barag kemas yang diperolehi. Kalau tak, seronok juga.

Alhamdulillah, nasib baik mereka lari. Kalau berhada-hadapan dengan 3 lelaki bergolok dari seberang, tak tahulah apa kesudahannya. Silat, sebagai tradisi Melayu, ilmunya yang pelbagai amat berguna. Dapat diguna bukan sahaja untuk bertempur, malah mengelakkan dari berlakunya pertempuran. Atau menang tanpa bertempur.

Sebagaimana kisah Baginda Rasulullah s.a.w dalam satu peperangan yang tentera Islam tidaklah seramai tentera kafir, memerintahkan seorang sahabat bersuara lantang naik ke puncak bukit dan menjerit kuat diatasnya. Lalu Allah s.w.t Yang Maha Berkuasa memasukkan rasa gerun di dalam hati para tentera kafir lantaran teriakan itu kerana menyangka ramai dan kuatnya tentera Islam. Lalu dengan itu Allah s.w.t memberikan kemenangan kepada tentera Islam. Wallahu’alam.

06 Disember 2009

ILMU PERABUN?

gambar dari rotihidup.bogspot.com
Kejadian cubaan mencuri di rumah keluarga saya di kampung pertama sekali berlaku penghujung tahun 90-an. Ketika saya masih berusia belasan tahun.

Sekitar jam 9.00 malam, setelah menunaikan solat Isya’, saya berhajat menunaikan hajat. Maka tanpa berbaju dan hanya bertuala saya pun keluar ke belakang rumah menuju ke bilik rehat yang terletak kira-kira 4 meter jauhnya. Dengan berbekalkan sebuah lampu suluh, saya melangkah perlahan.

Tiba-tiba terlihat lampu motosikal di kawasan ladang kelapa sawit di belakang rumah. Saya pun memadamkan lampu suluh dan terus memerhati. Dalam samar malam, saya dapat melihat dua orang remaja melangkah terhendap-hendap menuju ke kawasan belakang rumah.

Maka saya pun berjalan dan berdiri di tepi pokok durian sebesar peha. Entah kenapa, dua remaja itu langsung tidak menyedari saya yang sedang berdiri di situ. Mereka berjalan di hadapan saya sambil terhendap-hendap berteman lampu suluh menuju ke reban ayam. Sambil seorang menyuluh dengan lampu suluh, seorang lagi cuba membuka reban ayam.

Ketika yakin memang niat mereka adalah untuk mencuri ayam di reban, maka saya yang ketika itu berada di belakang mereka pun berkata :

“Hah, ambik la kalau berani”

“Mak!” remaja tersebut menjerit kuat sambil bergegas lari ke kawasan ladang kelapa sawit dan hilang dimamah kegelapan malam.

Saya pun bergegas mengambil parang di dalam rumah dan terus menuju ke kawasan ladang sawit mencari kedua-dua remaja berkenaan. Namun tidak bersua. Yang terjumpa hanyalah motosikal yang ditinggalkan. Maka saya pun menyorong motosikal tersebut dan diletak di hadapan rumah dan memanggil beberapa orang sahabat berjiran.

Maka kami beberapa orang melakukan gerakan mencari pencuri berkenaan di kawasan ladang kelapa sawit di belakang rumah.

Mungkin kebetulan, saya berjaya menemui seorang remaja yang bersembunyi di dalam semak di tengah-tengah ladang. Maka dengan sekali cubaan, remaja berkenaan berjaya ditangkap. Lalu saya membawanya ke hadapan rumah. Setelah disoal, dia pun memberitahu kawan sepencuriannya.

Maka malam itu menjadi panjang dengan ceramah dan nasihat sebelum kami menghantar remaja berkenaan kepada ayahnya.

03 Disember 2009

BER'PAGAR'KAH RUMAH ANDA?

Sudahkah rumah anda ‘dipagar’?

Jika belum, ‘pagar’lah. Jika sudah, apa jenisnya? Jenis sepanjang masa, ada masa cuti, ada hari cuti, atau jenis yang mudah dibuka? Dan apa yang menjaga pagar itu?

Sepanjang sejarah, rumah keluarga saya di kampung di sebuah FELDA (nama terpaksa tidak disebut), pernah dimasuki perompak sebanyak 3 kali, cuba dipecah masuk sekali, pencuri cuba mencuri ternakan sekali.

Daripada kelima-lima kejadian, satu kes pencuri dapat ditangkap, satu kes perompak tidak mendapat apa-apa, satu kes kehilangan halmet dan satu kes kami kehilangan RM50.

Kejadian pencuri cuba mencuri ternakan berlaku ketika saya masih belasan tahun pada pertengahan 90-an. Ketika itu, rumah keluarga saya belum dipagar kerana saya belum mempelajarinya. Kejadian lain berlaku ketika rumah tersebut telah dipagar, dengan pagar khalimah. Semuanya berlaku antara tahun 2004 – 2006.

Terdapat beberapa bentuk pagar yang mudah dan boleh dibuat sendiri. Antaranya pagar 4 penjuru yang dipasak tiangnya dengan Ayat Qursi. Ayat Qursi dibaca sambil ‘memasak’ tiang di 4 penjuru rumah/tanah. Ia khusus mamagari rumah dari dimasuki makhluk halus atau manusia berniat jahat. Inilah jenis pagar yang saya gunakan dari tahun 2000 hingga 2006.

Kelemahan pagar jenis ini adalah ia tidak ditutup di bahagian atas dan mudah dibuka oleh manusia yang mengetahuinya. Caranya cukup mudah, iaitu melempar batu atau pasir ke atas bumbung rumah berkenaan dari luar kawasan berpagar. Apabila batu/pasir dilempar ke atas bumbung, secara automatik pagar yang dipasang akan terbuka dan pencuri/perompak akan mudah memasuki rumah berkenaan. Inilah yang berlaku di rumah keluarga saya. Sekitar jam 11-12 malam, perompak akan melempar batu ke atas bumbung bagi membuka pagar serta memasukkan ilmu pukaunya. Sekitar jam 3 -5 pagi, operasi pacah masuk akan dijalankan.

Akbat kelemahan pagar jenis itu, saya telah meningkatkan tahap kesiapsiagaan dengan memasang pagar parabola pula. Ia tidak bertiang berbilang, tetapi laksana separuh bola yang diserkupkan ke atas kawasan rumah. Maka kawasan perlindungannya adalah lebih menyeluruh.

Cumanya saya tidak pasti, bolehkan pagar ini dipasang di rumah pangsa atau kondo yang bertingkat. Dan bagaimana perompak/pencuri nak memecah pagar bertiang 4 jika dipasang di bangunan tinggi sedemikian. Anda ada pengetahuan yang boleh dikongsi?

28 November 2009

"JOM SERANG CIKGU"

Kisah benar ini tauladan untuk semua pesilat / cikgu

Seorang guru (cikgu az) mengajar di sebuah sekolah di sebuah FELDA di selatan negeri Perak. (Nama FELDA tersebut terpaksa dirahsiakan bagi mengelakkan seorang lelaki menjadi lebih gila). Mengajar di kelas dan megajar silat kepada pelajar yang mewakili sekolah.

Suatu pagi guru itu itu mendapati kereta nasionalnya dicalar dengan agak teruk dari depan hingga belakang. Terdapat beberapa jalur yang panjang dan dalam, yang tak dapat dihilangkan dengan menggosok semata.

Maka berderaulah darah guru berkenaan lalu teringat beberapa orang pelajar yang melepak berhapiran keretanya malam tadi. Maka dengan langkah pendekar, diapun mencari pelajar yang memang dikenalinya itu untuk bertanya. Tanya punya Tanya, maka megakulah dua orang pelajar bahawa memang mereka yang melakukannya manakala seorang lagi mengawasi keadaan.

Maka guru berkenaan menuntut ganti rugi untuk kereta berkenaan dicat semula bagi menghilangkan kesan calar yang dibuat. Setelah berbincang maka mereka bersetuju untuk berjumpa bagi menyelesaikan perkara itu di kawasan perkuburan di FELDA berkenaan yang terletak di kawasan ladang kelapa sawit yang jauh dari pandangan orang ramai.

Sesampai di sana keesokan harinya, guru itu yang bersendirian, telah ditunggu oleh 3 orang pelajar berkenaan.

“Cikgu ingat kami takut ke dengan cikgu?” jerit salah seorang dari mereka tiba-tiba

“Cikgu Nampak ni?” jerit seorang lagi sambil menunjukkan sebatang kayu panjang di tangannya.

“Kami tak kira, tak ada bayar-bayar, hari ni nahaslah cikgu” kata pelajar pertama yang juga memegang sebatang kayu.

Ketiga-tiga mereka bersedia dengan kayu di tangan masing-masing.

“Saya nak selesai dengan baik, bukan saya yang mula, kamu yang buat hal dulu” kata Cikgu Az tenang

“Kita selesaikan dengan ni je” kata pelajar tadi sambil mengacu kayu di tangannya

“Saya tak minta, tapi kalau kamu nak bagi, saya tak lari”

Pelajar pertama pun menghayun kayu di tangannya ke arah guru berkenaan, guru itupun mengelak, masuk, dan menangkap tangannya yang memegang kayu. Dikilas dan diberikan satu hentakan di bahu, kuat.

“Hiyaaaah” laung pelajar kedua sambil menghayun kayu ketika rakan pertamanya dilihat terjelopok di tanah.

Sekali lagi dengan tenang guru berkenaan mengelak, menangkap tangan yang memegang kayu, dikilas dan dihentak kuat. Buah yang sama

Pelajar ketiga mula teragak-agak mahu menyerang

“kamu nak juga ke?” Tanya si guru

Tanpa berkata dia pun menghayun kayu ke arah si guru. Si guru mengelak sambil memberikan satu tusukan di perut dan memberikan tendangan kuat ke belakang pelajar berkenaan.

Gedebuk. Jatuh meniarap pelajar berkenaan

“Kamu yang nak, bukan saya suka-suka nak bagi” luah si guru sambil berlalu meninggalkan 3 pelajar berkenaan

Beberapa hari kemudian datang semula pelajar pertama dan kedua bertemu si guru di rumahnya bersama ayah masing-masing

“Tolonglah cikgu, dah puas kami bawa anak kami ni mengurut, tak elok juga” pinta ayah pelajar kedua

“Budak-budak ni kata jatuh motor, dah bawa jumpa Pak Din Patah, tapi kata Pak Din, ni bukan terseliuh jatuh, ni kena buah silat berisi ni. Dah diurut, tak susut bengkaknya. Macam beralih-alih pulak. Puas ditanya, baru budak-budak ni mengaku diaorang kena sebab serang cikgu” luah ayah pelajar pertama

‘Kami minta maaf cikgu, minta cikgu ambik balik apa yang cikgu bagi” sambung ayah pelajar kedua tadi

“Baiklah, mari naik ke atas” jemput si guru

Maka seperti kelaziman mana-mana buah bisa, penimbul dan seumpamanya yang buahnya berisi, si pelajar diberikan air penawar, air guru.

Maka dengan izin Allah, maka sembuhlah kedua-dua pelajar berkenaan yang diberi penumbuk bisa guru berkenaan

SELAMAT HARI RAYA

selamat Hari Raya Aidil Adha semua, Hari Raya Korban.
Berkorban untuk Islam.
Jangan buat pengorbanan yang sia-sia.

24 November 2009

KEMENYAN DALAM SILAT

Apa fungsi kemenyan dalam amalan / adat istiadat beberapa perguruan silat? Adakah ia lantaran silat itu ada hubung kait dengan makhluk halus seperti jin, yakni menyeru jin atau bergantung kepada jin?

Kemenyan lazim digunakan juga oleh perawat tradisional (lazim disebut bomoh/ dukun/ pawang/ kiyai/ ustaz) untuk beberapa tujuan. Antaranya meghilangkan bau busuk badan pesakit yang terkena kuasa halus, yang tidak dapat dihidu oleh orang lain melainkan perawat sahaja. Ada yang kerana menyeru makhluk halus hadir dengan bauan kemenyan sebagai medium panggilan. Dan ada yang menggunakannya untuk menyeru makhluk halus bagi memasuki tubuh perawat berkenaan.

Salah satu gelanggang yang saya kendalikan dahulu terletak di belakang rumah. Di dalam lading kelapa sawit yang lazim kami gunakan pada waktu malam.

Walaupun tidaklah jauh dari rumah, sekadar 50 meter, namun gelap malam menimbulkan suasana tersendiri apabila gelanggang hanya diterangi pelita minyak tanah. Samar dan suram ditemani nanyian cengkerik malam.

Pernah suatu hari, guru meminta saya mengendalikan gelanggang sepenuhnya. Ada majlis perbincangan perkahwinan seorang sahabat malam itu. Maka saya diarah membuka gelanggang seperti biasa. Namun ditambah dengan satu perkara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, iaitu membawa dupa berisi bara yang ditabur serbuk kemenyan mengelilingi gelanggang sebanyak 7 kali selepas upacara membuka gelanggang diadakan.

Seperti diarahkan, selepas menunaikan solat Isya’, saya dan beberapa murid lain menuju ke gelanggang berbekal dupa berisi bara dan diterangi pelita. Sesampainya kami di gelanggang, pelita dipasang di tempat yang disediakan dan kamipun memulakan upacara membuka gelanggang. Dengan membaca beberapa surah lazim Al-Quran, kami yang beratur dalam barisan bertafakur seperi kelaziman. Sesudah itu para ahli gelanggang pun duduk menunggu arahan.

Maka saya mengeluarkan serbuk kemenyan yang dibawa dan ditabur ke atas bara di dalam dupa. Semerbak baunya menusuk rongga menaik aroma malam nan kelam. Seperti diarah, saya pun membawa dupa mengelilingi gelanggan perlahan-lahan. Baru beberapa pusingan, tiba-tiba terdengar gendang silat bergema. Dari perlahan hingga semakin kuat tingkahnya. Kami yang kehairanan membiarkan sahaja. Memang kami atau silat yang berdekatan ketika itu tidak bergendang. Semakin lama semakin rancak dan menaik rasa.

Selepas selesai sahaja membuat 7 pusingan, ketika gendang silat masih terdengar paluannya, angin tiba-tiba bertiup kencang. Bagaikan ribut mahu melanda. Pelita yang terpasang habis terpadam semuanya. Langit menjadi gelap hingga tiada bintang lagi di angkasa. Dalam samar cahaya bulan dapat kami saksikan pokok kelapa sawit melentok daunnya. Habuk-habuk berterbangan, rakan segelanggang mula kesejukan. Ketika itu saya yang masih belasan tahun mula merasa takut dan risau. Kerana bimbang hujan akan turun dan rebut melanda, maka saya mengarahkan gelanggang ditutup semula dan kamipun bergerak untuk pulang.

Amat menghairankan, apabila kami keluar dari kawasan gelanggang, seolah-olah tiada angin kencang yang bertiup pun. Semuanya damai dan tenang. Langit kelihatan cerah dengan bintang bertaburan menghias angkasa. Maka kami kembali ke gelanggang untuk meneruskan latihan. Namun sebaik memasuki gelanggang semula, angin bertiup kencang semula bagaikan ribut sedang melanda. Buat kali kedua, kamipun mennggalkan gelanggang. Aneh, di luar gelanggang tiada langsung terasa tiupan angin. Maka kami terus menuju ke rumah guru yang ketika itu kelihatan seolah sedang menunggu kami.

Kata guruku “Ada panglima yang datang ke gelanggang, kalau kamu tidak meninggalkan gelanggang, maka kamu akan bertemu dengannya, dan berkongsi ilmunya”
P/S : Amalan di atas telah lama saya tinggalkan

18 November 2009

PANGLIMA HITAM, PANGLIMA MERAH, PANGLIMA HIJAU

Silat pertama yang saya gelanggangi adalah Khalimah Gayong, diikuti Pancaindera dan Harimau Berantai. Khalimah Gayong permainannya berkekuda tegak bak solat. Buah ibu melahir anak. Dari anak lahir cucu. Cucu bercicit dan berpiut. Pancaindera banyak bunga laksana silat pulut / pengantin. Kunci dan buka, kunci dan buka. Permainan buah tanpa pemati. Harimau Berantai pula kekudanya sedikit rendah dengan kaki selari dan badan sedikit disendengkan. Cukup gemar bermain gomol di tanah, musuh dijatuhkan dan buah bersambung-sambung dengan sedikit sahaja kuncian. Jatuh, makan, makan dan makan. Kebetulan atau apa, kecuali Pancaindera, permainannya tidak menapak ke belakang, yang ada hanya mara, kau masuk, aku masuk.

Dalam aliran Harimau Berantai, ada 3 panglima yang selalu disebut guruku iaitu Panglima Hitam, Panglima Merah dan Panglima Hijau. Lantaran ketika itu usia terlalu muda, pertengahan belasan tahun, tanpa ilmu yang mencukupi, apa sahaja yang disampaikan oleh guru diterima seadanya.

Menurut guru, ketiga-tiga panglima itu bisa diseru dan memasuki tubuh ketika perlu seperti untuk tujuan pertempuran atau latihan.

Pernah suatu hari, dalam kesekian kalinya bergelanggang, dan saya telah menjadi murid paling senior dan membantu guru dalam latihan, kami dikumpulkan di atas rumah lewat latihan malam itu. Berbekal dupa dipenuh bara, kemenyan yang dihancur di tangan ditabur menaik aroma hingga ke anjung. Guru memanggil saya dan berpesan untuk menjawab salam ketika dilihat sesuatu memasuki tubuhnya.

Pesan guru, jika ketika salam diberi, wajahnya melihat arah kanan, itu maknanya yang hadir adalah Panglima Hijau, jika memandang kiri itu Panglima Merah dan jika menghadap arah depan, itu Panglima Hitam.

Selang seketika, guru saya menundukkan wajah dan membaca sesuatu yang tidak jelas di telinga. Aroma kemenyan yang kami cari sendiri di hutan amat kuat menyucuk hidung. Setelah beberapa ketika, guru saya mendongakkan kepala ke arah saya tanpa membuka mata. Sekonyong-konyong guru saya memberikan salam tetapi dengan suara yang bebeza. Lebih garau dan perlahan tuturnya, bak orang tua. Maka tahulah saya bahawa yang hadir malam itu adalah Panglima Hitam.

Maka sayapun menjawab salam sambil menghulur tangan untuk berjabat. Maka dia pun bertanya apa khabar guruku. Saya pun memberikan khabar dan memperkenalkan diri sebagai murid kanan guru seterusnya memperkenalkan rakan-rakan segelanggang seorang demi seorang. Selepas itu kamipun bersama-sama bangun turun ke gelanggan yang berada di tepi rumah guru.

Lazimnya, jika mana-mana panglima hadir seperti itu, maka peluang untuk kami sebagai murid menambah ilmu buah-buah silat. Walaupun tidaklah sahaja melalui cara menurun itu, namun itu lebih mudah kerana panglima boleh diseru apabila mahu. Pernah juga saya diberi sebiji batu untuk diletak di bawah bantal tatkala tidur, untuk bertemu mana-mana panglima di dalam mimpi. Dan saya pernah bertemu, di dalam mimpi, Panglima Hijau yang menurunkan beberapa doa amalan sebagai pakaian.

Kini, amalan berkenaan telah lama saya tinggalkan kerana terdapat unsur yang bertentangan dengan akidah Islam di dalamnya. Ia hanya tinggal dalam kenangan semata. Dicatat di sini, buat tatapan sahabat pembaca, sebagai sebahagian kisah realiti alam persilatan Melayu untuk dijadi panduan, dan menambah pengetahuan.

13 November 2009

MENGESAN AURA SERANGAN

Sahabatku, marilah berkongsi dan kongsikanlah ilmumu padaku. Ini sedikit lagi buah tanganku.

Ini juga merupakan teknik mengelak serangan tidak terlihat.

Sesungguhnya aura seseorang yang sedang atau ingin menyerang dapat dikesan tatkala ia baru muncul lagi. Tatkala hati seseorang terdetik untuk menyerang maka aura menyerang akan terpancar dari tubuhnya. Ia dapat dikesan. Cuma kadangkala lemah, kadangkala kuat. Kadangkala kita dapat rasai, kadangkala walaupun auranya kuat, kita tidakpun sedari.

Apabila niat menyerang tercetus, ia akan terus sampai ke otak dan otak akan mentafsir maklumat yang diterima. Tatkala itu, tubuh telah dihantar maklumat oleh otak dan ia akan tesedia untuk melakukan serangan. Degupan jantung semakin laju, nafas semakin penuh dan panjang, tubuh akan semakin panas dan mula bergetar, otot mula menegang. Mungkin kerana tercampur perasaan marah atau rasa ingin menguasai keadaan.

Bagi yang menuntut, atau beramal, aura itu dapat dikesan. Yang lazim saya alami, kita akan rasa nafas sendiri menjadi sukar disedut seolah-olahnya ada sesuatu menghalang salur nafas. Dada terasa bagai dihimpit sesuatu lantaran kekuatan aura yang terpancar. Kadangkala cuping telinga kiri berasa panas tak tentu hala, dan ada lagi yang tidak boleh dikongsi di sini.

Semenjak menuntut silat seawal usia 14 tahun, salah satu tempat yang sering digunakan untuk berlatih ilu persilatan bersendirian adalah di kawasan belakang rumah. Kawasan kebunan pokok buah-buahan dan pelbagai biatang ternakan. Latihan bersendiri mengulangkaji dan mengingat teknik gerak tari, gerak elak, gerak tangkis, gerak pukul dan gerak buah-buah silat. Lazimnya, tatkala latihan dimulakan selepas membuka gelanggang bersendiri, hampir semua ternakan berhampiran akan berbunyi bising seolahnya ada sesuatu ancaman yang besar laksana ibu ayam melihat helang di udara. Ayam, kambing, kucing, beburung, tupai lazimnya akan menegakkan kepala, berbunyi bising dan cuba melarikan diri sejauh mungkin dari tempat latihan. Pada pengamatan saya, aura tubuh saya dapat tersebar sejauh sekitar 50 meter dari tubuh, kawasan yang akan kosong dari ternakan (keuali tekurung) apabila latihan dilakukan.

Pernah juga saya yang meminati kehidupan kesufian ini cuba menyendiri di kawasan hutan dan perkebunan jauh dari rumah. Terdapat satu kawasan hutan kecil yang telah saya tebang, digali telaga menggunakan cangkul sekadar mencukupi airnya untuk tujuan bersuci, dan didirikan pondok kecil tempat memuhasabah diri dan merenung kebesaran Yang Maha Besar. Tatkala itu, hati kosong dari dunia, tiada ingin pada dunia.Tidak punya rasa ingin mengancam apa-apapun. Pernah beberapa hari, dalam tempoh menyendiri itu, bertemu dengan binatang hutan seperti babi, burung enggang, dan ayam hutan. Peliknya, haiwan itu bagaikan tidak punya perasaan takut. Ayam hutan yang takut pada manusia, yang lazimya berlari atau tebang jauh pabila melihat kelibat manusia, pada ketika itu kelihatan tidak sedikitpun rasa takut melihat saya. Dalam beberapa kali pertemuan, ayam itu tidakpun lari walhal berada pada jarak tidakpun sampai 1 meter. Saya beranggapan itu kerana ia langsung tidak dapat mengesan aura ancaman dari saya. Tidak seperti ayam ternakan jinak yang lari sedapat mungkin tatkala latihan silat diadakan.

Maka, pada pandanganku, aura serangan dapat dikesan oleh kita, hatta makhluk lain seperti haiwa juga. Cumanya bagaimana mahu mengasahnya? Bersediakah hati dan tubuh kita yang diselaputi karat maksiat ini dibersihkan untuk dapat merasai kewujudan sesuatu yang bukan zahir bentuknya?

Yang penting, BERGURULAH. Dan bergurulah pada yang tahu, dan tahu jalan kebenaran, dan tahu membantu. Mudah-mudahan dengan ilmu mengesan aura serangan ini, kita terselamat dan dapat mengelak dari serangan tidak terlihat. Wallahu’alam.

10 November 2009

ELAK SERANGAN TIDAK TERLIHAT

Satu persoalan yang selalu bermain di benak pengamal ilmu beladiri, adakah serangan yang tidak terlihat seperti pukul curi dari belakang, serangan ketika tidur atau serangan berlapis dalam pertempuran boleh dielak atau ditangkis?

Sering kedengaran juga pengamal beladiri yang hebat tumpas lantaran serangan yang tidak terlihat.

Jawapan yang saya ingin cadangkan adalah YA, IA BOLEH DIELAK DAN DITANGKIS

Maka, bagaimana caranya? Saya ingin mencadangkan beberapa kaedah yang boleh diamal.

1. Amalkan doa tertentu

Mengamalkan doa tertentu yang memohon pelindungan Allah s.w.t sepajang masa adalah cara terbaik mengelak serangan tidak terlihat. Mudah-mudahan niat menyerang kita akan terhalang atau dijadikan serangan itu tidak memberi mudarat.


2. Elakkan sebarang bibit-bibit petelingkahan

Salah satu cara terbaik juga bagi elak atau tangkis serangan tidak terlihat adalah mengelakkan bibit-bibit pertelingkahan dengan siapapun. Memastikan orang lain senang hati dengan kita membolehkan orang lan tidak berniat menyerang kita. Maka semakin besar peluang kita untuk selamat.

3. Berbaik budilah dengan semua orang.

Kata arifin (orang yang arif), perbanyakkanlah teman, kerana seribu teman belum memadai, dan elakkanlah bermusuhan kerana seorang musuh terlalu banyak untuk ditangani. Mudah-mudahan sahabat yang baik akan mendoakan keselamatan kita. Sesungguhnya doa dari seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain tanpa diminta dan diketahui adalah sangat makbul. Semoga persahabatan yang akrab menjadi benteng dari serangan tidak terlihat.

4. Amalkan zikir @ amalan tertentu

Terdapat jenis zikir dan amalan yang menjadikan pengamalnya dikurniakan sesuatu kelebihan ilmu seperti pengasih, penggerun, penunduk, perabun, pelimun, gerak hati, bisik semar, firasat, makrifat (bukan tahap tasauf) dan lain-lain yang kita tak tahu. (sebahagian nama ilmu ini diambil dari http://oghangbaado.blogspot.com)

5. Fahami bahasa badan

Ada orang kata bahasa gerak. Dari gerak badan, memek muka, nada suara, pandangan mata, dapat ditafsir niat dan ingin. Jika nyata ada niat yang mampu membawa serangan, elakkan sedapat mungkin.

Apa yang pasti, bergurulah bagi mendapat pakaian diri. Jika ada rezeki, dapatlah persalinan laksana besi. Atau mungkin persalinan sufi peluntur hati. Atau persalinan kulit harimau penggerun rasa. Cari dan gali. Silat, sebagai tradisi beladiri Melayu, mengajar adab dan budi di samping gerak badan. Yang dengan adab dan budi itu serangan dapat dielak sebelum ia terjadi lagi.

Seperti kata guruku En. Azman “Cara memenangi pertempuran adalah mengelakkan konflik, penggunaan buah-buah silat adalah jalan terakhir apabila konflik tidak dapat dielak lagi”
p/s : apa yang diajar guru-guru silat masa kini? hingga perpecahan semakin menjadi-jadi? ke mana hilang adab dan budi?

09 November 2009

PERTANDINGAN CIPTA LOGO

pertandingan mencipta logo perniagaan

ALAM SUKMA CONSULTANT

apa sahaja bentuk boleh asalkan tak nampak lucah dan ganas yang keterlaluan.

hantarkan penyertaan anda kepada fakir_albanjari@yahoo.com

ada HADIAH menanti anda!

05 November 2009

MAT INDON DAN MAT SALEH ITU...

Pekan Kuah, Langkawi 10.56 pagi

“Tengok tu, kat kampung kita ada, kat KL ada, kat sini pun ramai jugak. Kat man-mana pun ramai Indon” cebik Noh agak kuat. Supaya kawannya Ismail dengar.

“Usah kata kat sini,kat dalam TV, kat dalam radio, kat dalam paper, kat mana-mana pun Indon ni ramai. Menyampah aku” balas Ismail sambil membuat muka toyanya.

“Eh, tepi sikit, kami nak lalu ni, tak Nampak ke?” Tanya Noh meninggi pada sekumpulan warga kerja Indonesia yang asyik berbual di hadapan sebuah kedai bebas cukai.

“Huh……” dengus Ismail memanjang tanda tak puas hatinya.

“Maaf pak, kami enggak seder bapak mahu laluin di sini” kata salah seorang daripada mereka.

“Kau tengok la tu, teruk betul, pelancong Mat Saleh nak shoping pun tak selesa macam ni, rugi la peniaga kalau macam ni” luah Ismail lagi

Tiba-tiba sekupulan pelancong Mat Saleh berjalan bertentangan arah dengan Noh dan Ismail. Noh pun pantas menarik tangan Ismail ke tepi sambil tersenyum kepada pelancong Mat Saleh tersebut sambil kepalanya tertunduk-tunduk hormat.

Sorry sir” kata Noh sambil tersandar rapat ke dinding memberi laluan.

Para pelancong itupun tersenyum dan berbisik di dalam hatinya….

Bodohnya orang tempat ni, aku yang tak sekolah ni pun dia panggil sir
Siap tunduk pulak tu, tak sia-sia nenek moyang aku jajah negara ni dahulu
Degan orang seagama sebangsa tapi lain negara diorang tak hormat langsung ke?
Kenapa diorang marah banyak cerita Indon di TV dan lagu Indon di radio? Sedangkan cerita dan lagu orang putih lagi banyak di TV dan radio, cerita bangsa yang pernah menjajah mereka ni.
Orang Indon buat jenayah jalanan kena tangkap, orang putih buat jenayah komersial disebalik undang-undang boleh kaya raya
Orang sini nampaknya bangga boleh cakap orang putih, pakai barang jenama orang putih, tengok tv / wayang cerita orang putih, nyanyi lagu orang putih, nama anak pun makin orang putih…
cerita orang putih tak ada satu pun yang cuba martabatkan Islam, cerita Indon banyak la, tapi....

p/s : perkataan Mat Saleh berasal dari istilah 'mad sailor' kerana pelayar orang putih dahulu suka mabuk-mabuk di atas kapal mahupun setelah mendarat di bumi. Sekarang pun. Apa hebatnya mat saleh berbanding Indon? siapa lebih banyak sumbangan kepada kita? siapa lebih banyak buat onar di negara kita? SIAPA???????

31 Oktober 2009

Ismail, Noh dan Indon

Di warung Ahmad jan 8.48 malam.

"Eh, apasal Indon ni lepak ramai-ramai kat sini? buat menyemak je" kata Ismail yang terkenal kuat dengan semangat patrotiknya

"ye la, menyusahkan orang nak lalu je, dia ingat ni negara dia ke?" sahut Noh yang tak kurang kuat semangat patriotiknya. pernah dulu sama-sama goyang bendera bila menteri datang melawat kampung mereka untuk rasmikan balai raya berharga lebih kurang RM50,000 tu.

Noh ingat lagi, kata seorang pegawai apa tah nama dia, kalau tak buat macam ni, alamat tak sampai la menteri ke kampung ni, kecuali la ada budak-budak sekolah tengah kursus jatuh pokok ramai-ramai. kata pegawai tu lagi, bukan murah nak bawa menteri datang kampung ni, ada la dekat-dekat RM20,000 jugak. kos makan semua orang, kos alatan, kos persiapan tempat, kos buat banner, bunting, kompang, bunga manggar, karpet, bendera yang dikibar tu, PA system, bil telefon, surat dan setem, minyak kereta nak uruskan semua benda ni, dan yang tak kurang mahanya claim perjalanan menteri, gerombolan pengiring yang duk tersengih terhimpit-himpit tu, polis yang berkawal dengan penuh setia, dan claim harian juga. macam boleh buat satu rumah kos rendah je.

Noh hanya tersengih mengingat pengalaman bermakna dalam hidupnya pabila pak menteri tersenyum padanya. selalu tengok di TV je.

"Menyusahkan betul, sebab diaorang la kita rakyat tempatan ni susah nak dapat kerja di negara sendiri. semua kerja dia nak buat, siang malam kerja, apa lagi kerja yang tinggal?" nada Ismail semakin meninggi, sambil digenggam penumbuknya kuat tanda rasa tak puas hati.

"betul tu, orang kita bukan memilih kerja sangat, tapi biarlah kerja dalam kilang yang ada aircond, selesa la sikit. tapi ramai Indon dah masuk kilang, takkan orang kita nak jadi buruh buat bangunan lak, mana la kita pernah belajar semua tu kat sekolah, macam mana nak kerja macam tu?" bebel Noh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM600 sebulan. bila malam boleh tidur masa kerja katanya... tidur tak payah belajar pun boleh buat!

"Ye la, diorang datang tak fikir benda lain dah, kerja je, orang kita ni macam-macam alasan bila dapat kerja, MC tak tentu hala, datang lambat, cuti ikut suka, sembang masa kerja, kerja main-main. Bos mana la yang suka semua tu" tiba-tiba datang Yahya menyampuk

"Orang kita bab kerja ramai yang malas, tapi gaji nak banyak, kerja nak senang" tambah Yahya lagi

"Budak-budak kita tu ha, cuba tengok, sekolah datang lambat, ada yang ponteng, dalam kelas tido je, petang lepak tepi jalan, malam melangut depan TV, tak pun lepak main gitar tu ha, tapi nak jadi angkasawan lah, nak jadi dokor lah, nak jadi akauntan lah, nak pakai kereta Mercs, ada orang gaji, rumah besar .... last-last jadi jaga je" senyum sinis Yahya

Panas telinga Noh dibuatnya

"lepas tu marah-marah lak Indon boleh hidup senang kat negara sendiri" Yahya nampaknya belum buas bagi ceramah pada mamat patriotik dua orang ni

Tiba-tiba elektrik terputus, habis kecoh pelanggan warung Ahmad bin Abdullah @ Ah Ma Cong.
memutuskan perbualan tiga sahabat tadi

26 Oktober 2009

DIAORANG TERNAK ORANG KE?

Jiranku, Pak Wahid menternak ayam kampung di belakang rumah. Ada la dalam beberapa ekor. Yang jantannya berbalung merah. Bila berkokok pasti mendada… hebat. Kita belum bangun ayam jantan dah bangun dulu. Yang betina berketuk riuh sekampung bila bertelur sebiji. Nak bagi tahu kepada ayam betina lain… “aku dah bertelur. Aku ayam betina yang subur. Hai ayam jantan, kemarilah kita bermain kejar-kejar”.

Anak-anak ayam duk ikut mak dia jalan-jalan cari makan. Dapat cacing, makan. Dapat ulat, makan. Dapat betik, makan. Dapat nasi, makan. Dapat tahi, makan. Janji dapat makan. Bila malam tidur bawah kepak mak.

Ayam jantan pun suka makan. Bila jumpa makanan kerketuk perlahan tapi nyaring untuk panggil ayam betina sebagai umpan. Bila ayam betina datang dan patuk siki-sikit, dia pulak patuk ayam betina tu. Bila ayam betina tu lari, dia pun kejar. Kejar dan kejar. Bila dah dekat dia pagut belakang leher ayam betina sampai ayam betina tu terduduk. Bila dah duduk, dia pun naik atas belakang ayam betina tu dan…… faham-faham le. Bila dah selesai dia pun mendada dan berkokok lagi. “Aku gagah,aku jantan sejati”

Huh, ayam. Yang dia tau hanya makan, tidur dan mengawan. Segala yang boleh dimakan dia makan. Segala betina yang boleh dia mengawa, dia tibia. Hatta mak dia sendiri.

Bila pindah ke bandar, rupanya di sini lagi ramai penternak. Tapi bukan ternak ayam. Mereka menternak anak-anak. Menternak isteri. Menternak suami. Ada yang ternak mak bapak! Menternak orang.

Anak-anak nak jadi apa tak kisah. Yang penting anak-anak dapat makan, ada tempat tidur, ada baju branded. Ada handfon. Anak tak sembahyang apa nak kisah itu hak peribadi setiap manusia. Bukan hak asasi pun yang nanti Amerika marah kalau tak dipenuhi. Anak-anak nak keluar ‘bertelanjang’ pun apa kisah. Yang penting bagi duit. Biar dia pilih sendiri pakaian yang fesyennya yang mak bapak tak faham. Biarlah, orang muda katakan. Kalau nak keluar dengan pakwe makwe pun apa nak heran. Memang TV duk ajar setiap hari pemuda pemudi mesti berpacaran dan keluar bersama. Kalau tak, itu dah kira kolot! Biarlah diaorang nak mengawan sekalipun. Kita mak bapak ni kena kerja kuat nak cari rezeki yang Allah janjikan. Cis! Bapak pakai kopiah, anak pakai skirt dan jeans nampak bontot. Anak tudung labuh, bapak seluar pendek. Laki pi surau, bini tegok AF.

Anak, bini, laki, mak, bapak nak makan apa tak kisah. Yang penting ada makan. Kalau tak disumbat makanan, nanti mulut tu bising pulak. Halal haram tak kisah. Rasuah, curi duit / barang tempat kerja, ambik duit anak murid, tipu claim perjalanan, tipu MC yang sebenarnya tak sakit tu tapi gaji tetap jalan. Aaahhhh. Macam-macam ada!

Bini nak pi kerja tak tutup aurat pun apa nak kisah. Yang penting dapat gaji boleh rasa bersama. Bila malam boleh mengawan. Kalau tegur nanti takut tak dapat pulak. Lepas tu mendada bercakap. Akulah lelaki sejati, punya isteri dan anak-anak yang cukup makan pakainya. Antar anak-anak sekolah dan masuk U supaya boleh terus hidup yang macam ayam tu. Kumpul duit banyak supaya boleh jadi umpan perempuan yang dia suka. Ada duit lebih boleh langgan ayam muda. Itu sahaja. Huh, macam ayam!

korang pun sama ke?

22 Oktober 2009

REUNION ALUMNI PSSGM GELANGGANG TOK ZAINAL

TARIKH CADANGAN : 4 DAN 5 JUN 2010
HARI : JUMAAT DAN SABTU
TEMPAT : BELUM DITENTUKAN (BOLEH BAGI CADANGAN)
BOLEH BUAT DI HOTEL, RESORT ATAU MANA-MANA YANG SESUAI.
BAYARAN : RM50 (CADANGAN) IKUT TEMPAT PROGRAM

SILA KOSONGKAN JADUAL ANDA UNTUK TUJUAN DI ATAS JIKA ANDA ADALAH ALUMNI PSSGM GELANGGANG TOK ZAINAL. KALAU NAK KAWIN PUN SABAR LA DULU. BOLEH BUAT TARIKH LAIN. TAK KE MANA KAWIN DIKEJAR. TAK PUN KAWIN AWAL SIKIT. BOEH TUMPANG UNTUK BUAT RESEPSI. AAUUMMMMMMM!

13 Oktober 2009

MARI BERGABUNG

Mari bergabung berhimpun di pondok hamba hujung minggu ni. kita ada sesi kongsian ilmu. mudah-mudahan menambah kepada yang dah ada.

12 Oktober 2009

HATI NAN LUAS

HATI.
seketul daging merah dalam diri manusia
yang luasnya tidak terkira
hujungnya entah di mana

DUNIA
hujungnya juga entah di mana
saujana pandangan mata
bukit dan lembah
hutan dan gurun
laut dan darat
tanah dan udara
bumi dan angkasaraya

NAMUN
jika kau masukkan dunia dan seluruh isinya ke dalam hatimu
dan ditambah dengan yang sebanding dengannya
maka hatimu tidak akan penuh jua
hati dalam diri
diri dalam dunia
dunia dalam hati
di mana penghujungnya?

percayalah hai teman
hanya kebesaran Allah Yang Maha Besar
mampu memenuhi hatimu nan luas
kerana kebesaranNya tiada terbanding
lalu hatimu menjadi puas
PUAS!

07 Oktober 2009

BANTULAH DIA DAN KITA

Cara terbaik mengeluarkan si miskin dari kemiskinannya adalah berikan ilmu agama.

Dengan ilmu agama yang benar mudah-mudahan dia menjadi orang yang tidak mencintai dan mengejar dunia (QANAAH). Maka apa yang ada di tangannya tidak menyakitkan malah mencukupi lagi menggembirakan. Tiada sifat mengejar dunia dan meninta-minta. Dan dia mudah-mudahan menjadi orang yang kuat berusaha dan berdoa, kerana usaha dan doa itu untuk mendapat pahala dan redha Tuhannya, bukan mendapat habuan dunia. Mudah-mudahan dia menjadi si kaya raya di syurga.

Dan mudah-mudahan si kaya mengerti harta di tangan bukan miliknya. Dan tidak mampu membeli tiket ke syurga. Lalu dia berbelanja membantu si 'sengsara'. Dan menjadi orang yang lebih kaya di syurga sana.

06 Oktober 2009

PENINDASAN PEMODAL SISTEM KAPITALIS

KISAH BENAR SAHABAT SAYA

Berlakunya kegawatan ekonomi 1998 menyebabkan kegawatan kewangan abang ipar sahabat saya. lantaran tidak mampu membayar ansuran bulanan kereta Proton Iswara, dia telah memulangkan kereta kepada pihak bank dengan meminta bank melelong kereta tersebut bagi melunaskan baki hutang sewa belinya pada tahun 2002 yang tinggal beberapa tahun akan selesai. pihak bank bersetuju dan pernah menghubungi sebanyak dua kali dalam dua bulan pertama memaklumkan kereta tersebut masih belum terjual.
Pada tahun 2007, setelah beberapa tahun tidak dihubungi pihak bank, dia mendapat surat daripada peguam bank menyatakan dia dikenakan bayaran oleh bank atas keretanya yang gagal dijual berjumlah lebih RM70,000 atas kos faedah sewa beli dan kos penyimpanan kereta oleh pihak bank yang asal baki pinjaman tidak sampai RM20,000 pun. maka menyesallah dia meulangkan kereta kepada bank untuk dijual, tetapi dikenakan pula bayaran berlipat ganda kerana kegagalan bank sendiri. inilah sistem yang ada di negara kita yang menjadikan golongan kaya semakin kaya

yakinlah... hanya ISLAM penyelesaiannya, seperti masalah lain yang melanda

05 Oktober 2009

KAPITALISME YANG GAGAL

Kapitalisme dalah sistem ekonomi yang mendominasi negara ini walau semakin bergerak ke arah sistem campuran dan Islam. kapitalisme telah membuktikan kejayaan membina ekonomi negara tertentu dalam masa yang sama meneruskan dan menghimpit negara tertentu. serupa halnya dengan keadaan pengamalnya. segolongan menjadi semakn kaya tetapi sebilangan lagi terus dihimpit sengsara.
kapitalisme berasal dari kata 'kapital' yang merujuk kepada modal dalan konteks kewangan, perakaunan mahupun ekonomi. umumnya, sistem ini kemberikan keutamaan kepada golongan pemodal dengan matlamat memaksimumkan keuntungan. akibatnya, golongan pemodal semakin kaya dengan menggunakan modalnya, dan golongan susah terus terhimpit lantaran tidak mempunyai modal bagi membina kekayaan.
contoh mudah bagi kes dalam negara. golongan berada (kaya/pemodal) membeli motosikal kapcai berharga RM5000 dengan bayaran tunai. bagi golongan pekerja tanpa kemampuan membeli secara tunai, terpaksa membeli secara ansuran dengan bayaran RM200 selama 3 tahun dalam keadaan kewangan tak seberapa. jumlah bayaran keseluruhannya adalah mencecah RM7200. kesusahan golongan susah ini diambil kesempatan oleh pemodal dengan memberkan wang miliknya (modal) sebagai pinjaman kepada si susah untuk membina kekayaan sendiri. walaipun istilah yang digunakan aalah 'tolong' golongan susah untuk memiliki harta, namun hakikat adalah sebaliknya. inikah dikatakan adil? golongan berdit membeli pada harga lebih murah berbanding golongan susah?
Itu dalam konteks kecil, dan begitulah juga yang terjadi dalam konteks global. negara kaya semakin kaya dan negara miskin terus dihimpit sengsara. akibatnya nanti wujud ketidakseimbangan yang terlalu ketara yang melahirkan ketidakpuashatian sekelompok umat yang akan menjemput tindakan ganas yang tidak disangka atas dasar 'menuntut keadilan' atas 'pertolongan' yang diberikan golongan pemodal.

yakinlah... Hanya ISLAM penyelesaiannya. seperti apa jua masalah lain yang melanda manusia.
ALAM SUKMA CONSULTANT (IP300368-D)
MENAWARKAN KHIDMAT RUNDINGAN DAN CERAMAH :

MOTIVASI DIRI
MOTIVASI BELAJAR
MOTIVASI KERJAYA
MOTIVASI KELUARGA
TEKNIK BELAJAR
TEAM BUILDING
GROUP BINDING
PENJAGAAN KESIHATAN
ETIKET DAN PROTOKOL MAJLIS RASMI
PENGUCAPAN AWAM (PUBLIC SPEAKING)

ALAM SUKMA COLTANT

ALAM SUKMA CONSULTANT (IP300368-D)
MENAWARKAN KHIDMAT RUNDINGAN DAN CERAMAH :

MOTIVASI DIRI
MOTIVASI BELAJAR
MOTIVASI KERJAYA
MOTIVASI KELUARGA
TEKNIK BELAJAR
TEAM BUILDING
GROUP BINDING
PENJAGAAN KESIHATAN
ETIKET DAN PROTOKOL MAJLIS RASMI

04 Oktober 2009

KELAHIRAN BARU


Hamba baru dilahirkan di dunia maya ini. berilah tunjuk ajar sebelum kelahiran ini menjadi dewasa...