KHAMIS lalu, sekali lagi bursa saham dunia runtuh lagi dengan Dow Jones jatuh sehingga 500 mata selepas satu jam dibuka dagangan. Sektor teknologi lemah dan tuntutan pekerjaan lebih tinggi.
Bon perbendaharaan 10 tahun Amerika Syarikat jatuh ke paras bawah 2 peratus (%). Sesuatu yang tidak pernah berlaku.
Di Eropah, FTSE jatuh sebanyak 4.36%, di Perancis CAC jatuh sehingga 6%, bursa Jerman DAX jatuh 5.42%. Emas telah meningkat ke paras AS$1,823.65 seauns. Sementara itu, minyak di pasaran New York jatuh ke paras AS$83 setong dengan jangkaan permintaan akan menurun.
Memanglah ada dalam kalangan pemimpin kita yang mengatakan kita terlindung daripada krisis ekonomi semasa kerana kita banyak berdagang dengan negara-negara ASEAN dan Asia seperti China dan India dan bukan negara-negara Eropah. China sendiri sedang bergelut untuk membendung inflasi dan India berdepan dengan defisit.
Kebimbangan tentang ekonomi dunia menuju ke arah kemelesetan dimanifestasikan oleh keruntuhan bursa-bursa saham dunia sebanyak dua kali dalam bulan ini saja.
Terbaru kebimbangan bank pusat di Amerika tentang unit-unit bank Amerika di Eropah yang mungkin berdepan dengan kekurangan dana.
Pertumbuhan negara Jerman yang lebih rendah untuk penggal kedua dan perbincangan antara Perancis dan Jerman yang tidak mencapai sesuatu kata sepakat dalam menyelesaikan masalah krisis hutang Euro, meningkatkan lagi kebimbangan pelabur.
Bank Negara Malaysia pada Rabu lepas menyatakan pertumbuhan 4% untuk penggal kedua tahun ini. Penggal pertama kita telah mencatat pertumbuhan sebanyak $4.3%. Walaupun mengakui keadaan ekonomi global yang semakin lemah, Bank Negara masih yakin kita boleh mencapai pertumbuhan 5-6%.
Mengapakah kita tidak mahu mengakui yang keadaan ekonomi dunia yang lemah ini akan memberi kesan kurang baik kepada ekonomi kita yang bergantung kepada eksport dan keadaan defisit fiskal kita yang tinggi?
Para penganalisis antarabangsa mengakui kesan yang bakal kita hadapi ini.
Kita seolah-olah ingin memberi gambaran yang tidak ada apa-apa yang akan mengganggu-gugat ekonomi kita. Sekiranya harga minyak menurun, ini akan memberi kesan kepada pendapatan negara yang 40% datangnya daripada pendapatan minyak.
Kita juga berdepan dengan harga barang-barang yang meningkat yang seterusnya meningkatkan kos sara hidup. Kerajaan tidak mampu lagi untuk menambah subsidi untuk membendung kenaikan harga barang-barang tanpa meningkatkan lagi defisit yang sudah tinggi.
Dengan mata wang ringgit semakin kukuh berbanding dolar Amerika (disebabkan ekonomi Amerika yang lemah) dan permintaan dunia yang dijangka kurang, pengeksport kita mungkin mencatat angka-angka perolehan yang lebih rendah.
Kebanyakan pendapatan bank datangnya daripada pinjaman isi rumah yang kini mencapai 75% daripada keseluruhan pinjaman.
Rasanya masa sudah sampai bagi kerajaan “mengetatkan pinggang” mengurangkan pembaziran perbelanjaan.
Kalau dapat dikurangkan 5% sekalipun, kita sudah dapat mengurangkan lebih kurang RM10 bilion daripada perbelanjaan.
Perbelanjaan seperti perasmian itu dan ini patut dikurangkan, latihan yang menggunakan hotel-hotel dan resort-resort pun patut beralih kepada dewan-dewan kerajaan yang tidak kurang kemudahan mereka.
Untuk belanjawan tahun hadapan permintaan jabatan-jabatan dan kementerian sepatutnya zero-based berdasarkan keperluan dan bukan secara incremental.
Perbelanjaan atas barang-barang dengan harga yang bukan-bukan seperti yang lazim dilaporkan oleh Ketua Audit Negara perlu dielakkan.
Ada pendapat yang mengatakan kita perlu melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk meningkatkan pendapatan negara tetapi tiada siapa yang tahu bila masa yang sesuai untuk dilaksanakan.
Rasanya kalau diamalkan perbelanjaan yang berhemah apa yang boleh diperolehi adalah lebih tinggi daripada yang bakal diperolehi dengan pelaksanaan GST. Sikap “ini duit kerajaan bukan duit aku” perlu dikikis oleh penjawat awam dan orang ramai.
Inilah satu-satunya kempen yang perlu dilakukan secara besar-besaran di seluruh negara dan melalui secara bentuk media.
Dengan keadaan ekonomi dunia yang lemah dan kos sara hidup yang meningkat, apakah sesuai diadakan pilihan raya dalam jangka masa terdekat ini?
DATO’ SALLEH MAJID
ialah bekas Presiden Bursa Saham
Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan