Tawakkal adalah salah satu urusan hati, amalan hati. Ia tak dapat dilihat, kalau dapat dilihat pun, itu hanyalah tandanya.
Tawakkal ni macam amalan hati yang lain. Ada tebal ada nipisnya. Ada kalanya ada, ada kalanya tiada. Ada campuran, ada sepenuh jiwa.
Tawakkal berasal dari Bahasa Arab. Banyak yang sinonim dengannya seperti wakil dan wakkala. Maksudnya menyerahkan urusan atau hak. Serah, penyerahan, menyerah, beri, memberi, bagi, banyak lagi la.
Walaubagaimanapun, kita lazim menggunapakai istilah tawakkal ini bagi mengertikan menyerahkan urusan kepada Allah, tawakkal kepada Allah. Kita selalu sebut tawakkal je.
Macam biasa, kalau sebut amalan hati ni, kadangkala kita sebut je kita buat amalan ni padahal tidak pun. Kita bersangka-sangka saja kita ni bertawakkal, padahal tidak.
Atau kadangkala (tapi selalunya) kita ni bertawakkal pada waktu tertentu yang sekejap saja, waktu lain kita tak bertawakkal pun.
Hakikat tawakkal yang sepenuh dan sebenarnya adalah hati hilang bergantung kepada makhluk, hilang makhluk dari member kesan, yang ada hanyalah Allah, maka urusan dan segala urusan diserahkan kepada Allah semata-mata.
Hakikatnya, memang hanya Allah yang Maha Mengatur hidup kita tanpa campurtangan makhluk, tapi kita sangat sukar melepaskan diri dari kepercayaan dan keyakinan kemampuan makhluk memberikan bekas ini. Jadinya kerana itulah tawakkal ini sukar dicapai melainkan orang yang jiwanya bersih dan dalam keadaan tertentu tatkala hilangnya keyakinan terhadap kemampuan makhluk memberikan bekas itu.
Iman Al-Ghazali menukilkan dalam kitabnya Minhajul Abidin :
“Istilah mempercayai diri tidak dapat diertikan sebagai tawakkal kerana istilah tawakkal hanya diperuntukkan kepada Allah s.w.t. Menyandarkan tawakkal kepada diri sendiri mendatangkan mudarat yang sangat merbahaya”
Jika kita lihat zaman ini, ramai perunding motivasi dengan aneka progamnya, selalu menekankan keyakinan diri untuk mendorong individu mencapai kejayaan. Maka muncullah slogan ‘aku boleh’, ‘pasti boleh’ boleh itu boleh ini. Hakikatnya ia menekankan kepada keyakinan diri yang amat bahaya menurut Imam Al-Ghazali ini.
Juga menyandarkan keyakinan dan menyerahkan urusan terhadap selain Allah ini, dalam konteks keyakinan diri ini ada banyak keadaannya. Antaranya kebergantungan dan penyerahan diri terhadap diri sendiri lantaran adanya pengalaman, ilmu, harta, keluarga, kemahiran dan sebagainya.
Seperti orang yang menaiki sampan. Lazimnya ketika itu dia bertawakkal kepada sampan itu. Keyakinannya sampan itu mampu membawanya ke seberang. Jika sampan itu karam, orang yang pandai berenang akan bertawakkal pula kepada kepandaian renangnya. Kalau ada sampan lain datang membantu, dia akan bertawakkal kepada sampan lain itu.
Tapi bagi yang tak pandai berenang dan tiada sesiapa dapat membantu, maka ketika itulah harapannya dari makhluk akan hilang. Dan pada waktu itulah tawakkal kepada Allah yang sebenarnya akan muncul. Dia menyerahkan urusannya sepenuhnya kepada Allah sama ada mahu menyelamatkannya atau tidak. Jika Allah berkehendak dia selamat, maka dibiarkannya Allah menentukan bagaimana cara dia dapat diselamatkan.
Bukankah Nabi Yunus dicampakkan ke laut lalu ditelan ikan yu? Bukankan Nabi Ibrahim dicampakkan ke dalam api, lalu Allah menjadikan api itu tenang baginya? Bukankah Baginda Sayyidina Habiballah dikepung untuk dibunuh lalu Allah tidurkan pengepungnya lalu Baginda keluar dengan selamat?
Dunia ini, diri kita, sama ada bertawakkal atau tidak, aturan Allah tetap akan berlaku. Jika Allah menentukan keselamatan diri, jika kita bertawakkal atau tidak, keselamatan itu tetap hadir juga. Jika sampai ajalnya, pasti sampai juga. Maka bukankah beruntung bagi hati yang bertawakkal?
Percayalah wahai aku, bahawa ilmumu tidak mampu menyelamatkanmu. Setinggi manapun bengkung berculamu, atau berapa banyak permainan senjata yang kau ketahui dan senjata yang kau miliki, itu semua tidak mampu melindungimu. Mudah-mudahan pahala atasmu kerana menuntut ilmu, dan bebaskan hatimu dari ilmu itu, kerana aturan Allah tetap berlaku. Tawakkallah.
Bukankah telah saya katakana tawakkal ini urusan hati? Maka tempatnya adalah di dalam hati, bukan zahir.
Memang benar kita perlu sentiasa berusaha dan bekerja sebaik mungkin. Kerana pahala itu atas usaha dan kerja kita. Ya, bertawakkal bukan bererti duduk sahaja tanpa buat apa-apa. Sedangkan orang yang bertawakkal itu, lebih kuat kerjanya dari kita. Lebih Berjaya usahanya berbanding kita. Lebih kaya dia dari kita. Tawakkal urusan hati, kerja urusan zahir. Hati yang bertawakkal sedikitpun tidak bergantung kepada kerja itu.
Oh, jangan ingat orang yang membaca Ayat 1000 Dinar tu mesti orang yang bertawakkal ye. Walau dia baca 1000 kali seharipun. Sebab baca ni amalan zahir. Macam gantung ayat 1000 Dinar di dinding tu la. Orang kafir pun boleh baca dan gantung di dinding ayat 1000 Dinar tau.
Tapi memang bagus kalau kit abaca dan gantung ayat 1000 Dinar tu sebagai ingatan supaya hati kita tenteram untuk bertawakkal.
Ayuh kita tinggalkan kebergantungan kita kepada usaha, ilmu, pengalaman, keluarga, sahabat handai, kroni, pemimpin dan harta yang kita ada. Mudah-mudahan kita akan mencapai tingkat tawakkal yang sepenuhnya.
Seorang murid Imam Al-Ghazali bermimpi bertemu seorang soleh yang memberikan pesan kepadanya “Iman boleh selamat dan sempurna hanya pada orang-orang yang bertawakkal kepada Allah”
Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Maidah ayat 23 bermaksud :
“Dan kepada Allah jualah hendaklah kamu bertawakkal, jika benar kamu orang-orang beriman”
wallahu alam
1 ulasan:
BISMILLAHIRAHMANIRAHIM ....ALLAHU AKBAR , NUR ARAH , NUR WANTAH , RUBUN LUMPUH KETIBAN PALUNE GUSTI ALLAH , AJA PISAN PISAN TANGI , YEN DURUNG TAK GUGAH , NGANGGO TANGAN KU KIWO ....LA...ILA...HA..ILALLAH MUHAMMADURASULLUAH.......
Bismillahirrahmanirrahim...Allahu Akhbar..Cahaya Arah/tujuan...Cahaya tulin/sejati(mungkin...not so sure), jatuh/lumpuh ditimpa/dihempap pukulan dari Allah, jangan sekali-kali bangun, yang tidur/pengsan kukejutkan, menggunakan tangan kiriku,...Lailahaillallah...Muhammadurrasullullah...
Catat Ulasan