.
Ramai sahabat saya mengajak saya menyertai rangkaian pemasaran HAI-O Marketing. Katanya menjadi usahawan HAI-O. Saya diajak ke kelas HAI-O di Bukit Beruntung, Selayang, Putrajaya dan juga Ipoh. Dan saya sertainya beberapa kali. Saya hampir menyertainya sehinggalah pada suatu hari saya telah membuat keputusan untuk membayar RM20,800 dan mendapat 10 unit penapis air Bio-Aura. Namun ditakdirkan olehNya, saya membatalkan niat menyertainya sehari sebelum tarikh saya bercadang memasukkan duit ke dalam akaun.
Di sini saya nyatakan alasan bagi tindakan pembatalan itu untuk nilaian kita bersama. Dan menjadikan penapis air Bio Aura sebagai contoh.
1. Menyertai HAI-O tidak menguntungkan malah merugikan jika hanya menjual produknya sahaja.
Jika kita membuat pengiraan terperinci, sememangnya menyertai HAI-O tidak menguntugkan malah boleh merugikan melainkan kita membayar menggunakan DUIT SENDIRI dan bukan pinjaman bank dan menjual kesemua 10 produk yang kita beli pada bulan pertama secara TUNAI.
Itupun masih belum cukup menguntungkan. Ini kiraannya.
A) Kos menyertai adalah RM20,800. Setelah menyertainya, bulan berikutya anda akan dibayar ‘bonus’ RM4,700. Maknanya, jika anda berjaya menjual kesemua 10 produk secara TUNAI pada bulan pertama dengan harga RM2,080 seunit, anda telah memperolehi RM4,700 sebagai lebihan atau keuntungan atas usaha anda itu. Jika anda boleh lakukan ini, saya sokong anda sertai HAI-O.
B) Jika anda menyertai dengan wang sendiri dan menjual kesemua secara ansuran selama 1 tahun contohnya, anda tetap memperolehi lebihan sebanyak RM4,700 seperti di atas. Tetapi ia masih tidak tepat kerana pulangan anda berhadapan inflasi. Kesan inflasi atau kenaikan harga barang, nilai wang anda akan menurun. Kadar inflasi semasa ialah sekitar 4% setahun. Bagaimana pula jika anda gagal menjual kesemuanya dalam bulan pertama? Bagaimana jika terpaksa menyimpan stok selama beberapa tahun? Wang anda akan hilang kecairan kerana tidak dapat digunakan lantaran ia terikat dengan produk anda. Kita tak boleh beli barang dan bayar dengan penapis air!
C) Jika anda sertai dengan membuat pinjaman bank, anda telah terperangkap! Andaikan kadar faedah/keuntungan atas pinjaman semasa ialah 6% setahun dan anda buat pinjaman selama 10 tahun. Pinjaman berjumlah RM22,000 kerana anda meminjam lebih kerana perlu bayar kos pengurusan kepada bank.
RM22,000X6%X10 = RM13,200 (nilai faedah) + RM22,000 (nilai pinjaman) = RM35,200
Itulah kos untuk anda sertai HAI-O. jadi, jika anda dapat jual kesemua 10 unit penapis air dalam bulan pertama dan mendapat keuntungan RM4,700, anda sebenarnya masih rugi kerana kos anda sebenarnya ialah RM35,200, bukan sekadar RM20,800. Anda masih rugi RM8,500.
D) Jika anda sertai dengan membuat pinjaman bank seperti di atas, namun gagal menjual kesemuanya pada bulan pertama, atau menjua secara ansuran, nilai kerugian anda sebenarnya telah bertambah besar lagi, namun anda tidak sedar kerana tidak merasai bayara bulanan yang dibuat, dan teruja dengan ‘bonus’ awal yang anda terima. Anda rasa anda bayar hanya RM20,800 sedangkan anda terlupa kos faedah yang terpaksa dibayar kepada bank.
Semua pengiraan di atas hanyalah untuk kos nampak menyertai rangkaian sahaja. jika anda tambah kos menyertai kelas (pengangkutan, makan minum dll), kos telefon, kos berjumpa 'bakal downline' dan kos lain yang berkaitan, kosnya pasti meningkat.
2. Kekayaan Upline adalah kerana membina rangkaian (menaja downline), bukan kerana menjual barang.
Percayalah hanya golongan A di atas benar-benar mendapat untung kerana menjual barang. Upline membina kekayaan bukan kerana menjual barang, tetapi menaja downline menyertai rangkaian. Ini kerana upline akan mendapat komisyen apabila ada downline sertai rangkaian, bukan apabila downline berjaya jual kesemua produknya. Tetap akan dapat komisyen walaupun downline gagal menjual walau satupun produknya. (Inilah yang paling saya takut)
Ini berbeza dengan keuntungan perniagaan, kerana produk kadangkala (atau selalunya) langsung tidak melalui upline. Jadi, kenapa upline mendapat komisyen walhat produk langsung tidak melaluinya?
3. Penggunaan istilah yang salah dan mengelirukan bagi orang yang tidak tahu.
Walau apapun istilah yang digunakan, ia perlu merujuk kepada ahli dan pakarnya untuk dapat maksud yang tepat.
Anda diajak menjadi usahawan sedangkan hakikatnya anda diajak menjadi agen pemasaran sahaja. Usahawan maksudnya orang yang memiliki perniagaan, sanggup menghadapi risiko dan berusaha bersunggug-sungguh untuk mengembangkan perniagaannya. (Rujuk mana-mana buku keusahawanan sekalipun). Jika anda sertai HAI-O, perlukah anda miliki perniagaan? Tidak, anda tak ubah seperti agen jualan langsung lain yang dapat komisyen bila jual barang dan seperti sistem MLM lain, dapat komisyen bila taja downline! Mencari downline bukan kerja usahawan.
Satu lagi, anda dikatakan diberikan ‘bonus’ pada bulan pertama. Usahawan tak dapat bonus, dan bonus tak pernah dibayar pada awal kerja. Bonus hanya dibayar jika ada kejayaan dan lebihan. RM4,700 itu adalah lebihan atau keuntungan anda menjual produk, jika benar anda usahawan.
4. Anda dikelirukan apabila menyertai ‘kelas usahawan HAI-O’ atau bercakap dengan yang mengajak anda sertainya.
Di dalam kelas HAI-O, anda akan diajar oleh orang yang telah berjaya. Mereka akan berkongsi pengalaman kejayaan mereka. Akan diceritakan juga kereta besar dan rumah besar yang mereka miliki dan impikan. Akan diajar juga kelebihan produk dan cara mengendalikannya, sistem pemasaran perniagaan, insentif yang disediakan dan profil syarikat. Pada waktu ini, tumpuan adalah kepada nikmat yang telah diperolehi oleh orang yang Berjaya, sumber motivasi yang menggelojakkan keinginan, sehingga terlupa untuk membuat penilaian terperinci seperti di atas. Percayalah, anda tidak akan diceritakan kisah kegagalan beribu-ribu orang yang telah sertai HAI-O di luar, melainkan seketika untuk nyatakan bahawa orang yang gagal adalah mereka yang tidak mengikut sistem.
Orang yang Berjaya dan mendapat ‘bonus’ RM4,700 dan menjual penapis air yang meraka beli, disaran membeli aset yang dapat ‘membuka mata’ orang lain seperti kereta mewah, motorsikal berkuasa tinggi atau rumah besar. Mereka akan katakana itu adalah hasil menyertai HAI-O dan ia memang menarik hati. Namun jika pengiraan di atas digunapakai, dan logik akal juga, sebahagian besar harga aset tersebut sebenarnya dibayar menggunakan duit sendiri iaitu modal berjumlah RM20,800 yang telah dilaburkan tetapi diperolehi semula melalui jualan sekalugus atau bayaran ansuran yang diterima.
Kadangkala perkara ini memang disedari oleh orang yang mengajak anda, tetapi mereka juga terpaksa mengikut cara yang sama kerana mereka sedar, menjual produk sahaja tidak akan memberikan kemewahan. Ia hanya akan hadir apabila semakin ramai downline. Percayalah, kerana duit, ramai orang sanggup buat apa sahaja asalkan downline bertambah ramai.
Anda akan disogok dengan peluang, insentif dan kisah mereka yang telah berjaya tanpa dimaklumkan tentang risiko yang akan anda hadapi secara sewajarnya. Pernahkan anda maklum secara tepat berapa orang telah sertai HAI-O? Berapa orang telah berjaya dan berapa ramai yang gagal? agar anda melihat secara statistik kebarangkalian yang akan anda hadapi bila anda buat pilihan.
5. Pasaran semakin tepu
Sudah terlalu ramai sertai HAI-O, masing-masing jual produk yang sama. Produk yang sama berjenama lain juga semakin banyak di pasaran. Terdapat produk yang sama mempunyai harga tak sampai 50% brbanding produk HAI-O. Penapis air contohnya , ada yang berharga RM600 sahaja kerana dijual secara runcit, dan bukan MLM. Semakin banyak isi rumah miliki penapis air sendiri. Maksudnya semakin sukar menjual. Lebih sukar lagi untuk mencari downline pada masa akan datang.
Bukan semua orang mempunyai kemampuan mendekati, bercakap dan memujuk orang lain untk membeli atau menyertai rangkaian. walaupun kemahiran itu boleh diajar, bakal downline sewajarnya diminta menilai kemampuan diri secara sedar terlebih dahulu.
Saya minta jika ada yang menyertai HAI-O, dan anda memang jujur dan telus, ceritakan maklumat yang saya tuliskan di atas kepada orang yang anda ajak menjadi 'usahawan'. Silakan cetak post saya ini.
Saya tidak berniat menghalang langkah atau mengacau periuk nasi upline HAI-O sekalian, tetapi mengajak lebih jujur dan tidak hanya memikirkan pulangan kewangan sahaja. Sesungguhnya kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat atas setiap urusan dan setiap detik umur kita.
Untuk itu, saya harap jika anda mendapati pandangan saya tidak tepat secara fakta, sila perbetulkan maklumat saya agar pembaca diberikan maklumat yang jelas, tepat, terkini dan mampu membuat penilaian yang sewajarnya. Kerana sebilangan orang tak mampu menerima kegagalan dan mungkin bertindak luar batasan.
EBOOK TIPS REALITI TEMPUR
-
Salamun Alaik,
Perkongsian berkaitan Realiti Tempur vs Seni Beladiri. Setiap Jurulatih
Seni Beladiri "wajib" mengetahui apa maksud dan keperluan realiti...
4 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan