.
CINTA itu indah? ya, memang indah. Lebih indah dari bulan mengambang penuh, atau sepinggan nasi ayam nusantara yang terhidang sebelum berbuka. Cinta boleh dikata lebih menarik berbanding selain darinya.
Apakah itu cinta? Apa tujuan dan eviden cinta sejati lagi murni dari hati nan tulus? Percayalah, cinta bukan keinginan memiliki walaupun lazimnya yang menyintai terlalu ingin memiliki apa yang dia cintai. Orang saling bercinta, ingin berkahwin agar sama-sama saling memiliki. Tetapi percayalah, perasaan ingin memiliki itu akan merosakkan cinta itu sendiri, lantaran manusia tiada kuasa menjadikan apa yang dicintainya miliknya.
Apa lagi menyintai manusia, atau saling bercinta, kerana manusia itu saling punya ciri dan keinginan yang berbeza. mungkin ada beberapa keinginan yang sama, seperti mahu berkahwin, namun banyak keinginan yang tidak sama lazimnya dipendam bagi melahirkan keserasian dan mengelak perbezaan. Dan hal itu tak akan kekal lama dalam perkahwinan yang tidak lahir dari percintaan yang suci.
Percintaan yang tulus lagi suci adalah perkongsian jika ia berbalas dan pengorbanan jika ia tidak berbalas. Biarlah dia bahagia, dan aku sanggup berkorban, kerana aku cinta padamu - pengorbanan -
Percintaan yang suci dan berbalas adalah terlalu indah untuk diungkapkan. Tiada kata-kata atau tulisan yang dapat menggambarkan keindahannya melainkan perkataan cinta itu sendiri. Apabila dua hati bergabung dalam rasa cinta yang mengasyikkan, diikat oleh rasa rindu yang berpanjangan walaupun ada di depan mata, rasa bahagia sepanjang masa, apa lagi kata-kata yang layak menghuraikannya?
Perkongsian perasaan cinta itu amat hebat. Apabila anda dapat merasai apa yang pasangan anda ingini walaupun tidak dilafazkannya, walaupun berada berjauhan, sesuatu yang amat menyenangkan. Anda tidak perlu bertanya apa mahu dibeli hari ini, kerana jika anda ke kedai membeli sesuatu, lalu pulang dan bertanya apa yang si dia mahukan sebelum menunjukkan apa yang anda beli, dan katanya dia mahukan sesuatu yang telah anda beli itu, pasti amat indahnya perkongsian perasaan itu.
Cinta yang dikongsi bersama itu menjadikan jiwa bersatu. Anda merasa bila dia terasa hati, anda sedih bila dia bersedih, anda mengidam bila dia mengidam, anda loya bila dia mengandung, anda sakit bila dia bersalin. Itulah perkongsian sebenar atas landasan cinta sejati. Jika anda bertanya kepada orang yang telah memilikinya, pasti katanya "ia amat indah"
ini baru cinta manusia, belum lagi cinta yang lebih tinggi. Bercintalah. Cinta Allah itu lebih hebat lagi. Orang yang menyintai Allah takut jika ada sebarang kata-kata atau perbuatannya yang Allah tidak suka. Jika telah memperoleh cinta Allah itu, maka dunia ini tiada lagi di hati. Kerana sesungguhnya hati manusia itu luas, jika diletakkan dunia dan semua isinya sekalipun, hati itu tak akan penuh. hanya Allah Yang Maha Besar mampu memenuhkan hati itu.
Wallahualam
Wallahualam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan