KAMI MENAWARKAN

KHIDMAT PERUNDINGAN MOTIVASI
(ALAM SUKMA CONSULTANT)


BEKAM MODEN
PROSES BEKAM DI RUMAH ANDA SENDIRI (KAWASAN TERTENTU SAHAJA)


PENAPIS AIR IMTIYAAZ PADA HARGA RM598
MEMBELI SAMBIL MEMBANTU EKONOMI UMAT
PRODUK BUMIPUTERA ISLAM TEMPATAN

KULAAN FOODS
MENYEDIAKAN PERKHIDMATAN SAJIAN MAKANAN (CATERING)

SEBARANG MAJLIS DI PERAK, KEDAH, PULAU PINANG, SELANGOR DAN KUALA LUMPUR

hubungi :
fakir_albanjari@yahoo.com





07 Oktober 2011

KISAH BENAR PERANG SUNGAI MANIK, PERANG PKM-BANJAR

gambar parang bungkol diambil dari kaskus.us

Tergolek tubuh Mail Rondo di atas titi tanpa kaki dan tangan, keempatnya putus ditetak parang bungkol Utoh Putih. Air di bawah titi menjadi merah kerana darah. Tak ada sesiapa berani menghampiri tubuh Mail Rondo. Di sisinya terdapat sepucuk pistol .38 kehabisan peluru.

Mail Rondo adalah ahli Parti Komunis Malaya (PKM). Sawah DO di Parit 6 Sungai Manik didiami ramai komuniti Banjar, sering diganggu oleh PKM yang diketuai Ah Pau, Ah Booh dan Ah Jang di Sungai Tungku. Mail Rondo sering memaksa orang menyertai PKM. Yang enggan akan duhukum seperti disiksa, dibunuh, ditembak, disula, disumbat dalam guni dan dibuang ke sungai dan banyak lagi. Pada masa itu bukan sedikit orang Melayu yang menyokong PKM termasuk orang Banjar berilmu hebat hingga sanggup membunuh, membakar rumah, merosak tanaman kerana mengejar pangkat dalam PKM. Maka ramailah Banjar Sungai Manik menyeberang Sungai Kinta berpindah ke Kampung Balun Bidai, Kampung Gajah.

Pada suatu hari ketika zohor, Utoh Putih bertembung Mail Rundo di atas titi Pekan Rabu membawa ubi.

Mail Rundo : “Nanti dulu Utoh Putih, berhadapan kita hari ni”

Utoh Putih : “Baru balik mencari ubi ni, mohon lalu lah tuan besar”

Mail Rundo : “Letak dulu ubi tu. Apa dikejar sangat? Tak lari rumah kamu tu? Macam mana janji hari tu?

Utoh Putih : “Tak mahulah aku sertai perjuangan merosak bangsa sendiri, baik aku berjuang cari makan kat anak bini”

Mail Rundo : “Amboi kasar kamu ni, siap la kamu” sambil mengeluarkan pistol menghalakan kearah Utoh Putih

Utoh Putih : “Jangan buat main senjata ni Mail dengan bangsa sendiri, nanti siapa nak bagi makan anak bini aku, ampun la tuan besar?”

“Dam…!!!!!” tembus baju buruk Utoh Putih terkena peluru. Seluruh penduduk bendang DO terkejut

“Dam, dam….” Mail Rondo melepaskan tembakan bertubi tubi sampai habis semua pelurunya. Tapi tak sebutirpun mengenai dan melukai tubuh Utoh Putih

“Bangsat kau Mail, ambik ni” jerit Utoh Putih sambil menghayun parang bungkol bernama Kadal Larap miliknya. Gugur tangan kanan Mail Rundo diikuti tangan kiri, kaki kanan dan kaki kiri. Tergoleklah tubuh Mail Rundo tanpa kaki dan tangan, darahnya membasah air di bawah titi.

Gemparlah seluruh Sungai Manik dan Markas PKM Sungai Tungku

“Semua kaki dengan tangan kena potong…. Banyak cilaka orang ini” jerit Ah pau bila melihat tubuh Mail Rundo bersama pasukannya sambil membawa senapang MK5

PKM mencari siapa punya angkara. Namun tak ada sesiapa membuka mulut. PKM mengugut menjadikan sawah DO sebagai padang jarak padang terkukur jika tak menjumpai siapa yang punya angkara.

Utoh Putih disaran berpindah kerana pasti akan ada yang membuka mulut nantinya. Kerana duit. Namunn tak diendahkannya walau dinasihat oleh rakan karibnya Emoh yang datang dari Balun Bindai.

“Kalau aku mati, kuburkan aku di Balun Bindai, anak isteriku hantarlah pulang” kata Utoh Putih ketika dimandikan oleh Emoh dalam upacara mandi suci di tepi telaga.

Malam itu Utoh Putih tak dapat nak tidur, kerana anaknya merengek tak mahu tertidur. Siangnya isteri Utoh Putih pergi memencing puyu bersama anak sulung mereka. Emoh pagi-pagi dah keluar. Maka tinggallah Utoh Putih bersama anak kecilnya tertidur siang di rumah tanpa menyedari segerombolan ahli PKM bersenjata MK5 mendekati rumah. Sudah takdir Allah, maka mautlah Utoh Putih yang sedang tidur dihujan peluru MK5.

Seminggu selepas itu PKM telah membina markas kecil di sawah DO untuk mengawasi penduduk di situ. Ketua Komunis dari Sungai Tungku datang melihat kelompok Banjar di sawah DO itu. Mereka mahu semua menjadi ahli PKM atau sawah DO jadi padang jarak padang tekukur.

PKM telah memberikan masa seminggu kepada penduduk di sawah DO untuk mengumpulkan wanita muda tak kira anak dara atau isteri orang kalau tak mahu sawah DO jadi padang jarak padang terkukur.

Haji Bakri adalah seorang guru yang banyak mendidik masyarakat Banjar di Sungai Manik dengan ilmu agama hingga diberi gelaran tuan guru (TG). Beliau mempunyai ilmu yang tinggi dalah ilmu dunia dan akhirat. Beliau datang ke Sungai Manik sebelum kedatangan Jepun dan mempunyai dua orang isteri beserta lima orang anak.

TG Haji Bakri telah membuat satu pakatan sulit untuk menentang hasrat PKM.

Dari lapan orang wanita yang dikumpulkan, hanya lima orang setuju menyertai pakatan TG Haji bakri.

Anak Banjar masing-masing mengamalkan zikir masing-masing sampai ada yang tinggal di dalam telaga buruk, berwirid tanpa henti, mandi bersiku tunggal, jalan wafaq, mentera hidup mati. Masing-masing mengasah parang bungkol yang diberi bermacam nama, yang telah terbukti khidmatnya menumpahkan darah Belanda sewaktu di Borneo lagi. TG Haji Bakri tiada anak lelaki besar, yang ada hanyalah cucu lelaki Acil berusia 20-an yang nakal orangnya.

Malam itu (genap seminggu tempoh diberi PKM), beberapa pemuda Banjar merangkak menghampiri markas PKM sawah DO. Masing-masing membawa parang bungkol. Ada bernama Madam Layu, Si Kandal Larap dan Tungkih Kiwang. “Semoga kita semua dilindungi Allah” tutur TG Haji Bakri. Beliau terus memulakan amalam wirid tanpa henti kecuali untuk solat.

Keesokan paginya, dalam jam 9.00 pagi, beratur wanita muda Banjar Sawah DO menuju ke markas PKM. Para ketua PKM telah sedia menanti di sana dengan gembira. Semuanya berketurunan Cina.

Ah Boon, Ah Pau dan Ah Jang menanti dengan senyum. “Syok mau mali loooo….” Kata mereka sambil ketawa besar.

Di belakang barisan itu ada 3 orang wanita berkelubung kain batik lengkap. Itu menambahkan ghairah ahli PKM kerana merasakan itulah gadis pemalu yang seronok untuk ‘dikerjakan’. Tanpa mengetahui bahawa kelubung batik itu menyimpan parang bungkol di dalamnya.

“Tepi semua” jerit ketua PKM sambil berjalan meneliti wajah wanita Banjar seorang demi seorang dengan ketawa besar. Seluruh kem bagaikan tidak terkawal lagi lantaran keghairahan masing-masing melihat wanita Banjar datang menyerah diri.

“Aiyya … manyak cantik looo” sebut Ah Boon Sambil cuba mencium seorang wanita Banjar

“Bangsat, keturunan babi haram jadah….. Allahuakhbar” jerit Emoh sambil menghayun parang bungkolnya

Mata tertanggtallah kepala Ah Boon dipotong Si Kandal Larap dan Ah Jang dek Si madam Layu. Terputus dua badah Ah Pau dipotong parang bungkol Sabran bergelar Tungkih Kiwang.

Tiba-tiba keluarlah puluhan pemuda Banjar yang menunggu sejak tengah malam tadi dengan parang bungkol masing-masing. Terkejut ahli PKM semuanya tak sempat nak buat apa-apa. 34 ahli PKM maut dikerjakan pemuda Banjar yang seorangpun tak alami sebarang luka. Tak ada seorangpun pemuda Banjar berminat mengambik senapang MK5 milik PKM di kem berkenaan.

Maka mandilah beramai-ramai pemuda Banjar di parit di hadapan rumah TG Haji Bakri.

Maka gemparlah kem PKM Sungai Tungku dengan kematian tiga ketua beserta 31 ahli lain di kem sawah DO. Bagai ayam kehilangan ibu. Gempar …gempar … terkejut … tiada disangka langsung!

Masyarakat Banjar sawah DO sekaliannya yang tua dan muda, kecil dan besar, lelaki dan perempuan pakat berkumpul di rumah TG Haji Bakri mendengar kisah yang berlaku.

Sambil itu masing-masing membawa kain merah untuk dituliskan wafaq Selendang Merah. TG Haji Bakri mengabarkan bahawa beliau mendapat firasat bahawa peristiwa itu akan berpanjangan dan berterusan. Dari kejadian kecil pembunuhan Mail Rundo, pembunuhan Utoh Putih, pembinaan markas PKM sawah DO, perang PKM-Banjar Sungai Manik pagi itu, dan akan berterusan serta membesar menjadi peperangan secara terbuka………

BERSAMBUNG ……

(InsyaAllah akan disambung kisah ini, dengan kisah perang PKM-Banjar Sungai Manik, perang senjata api pistol, senapang, mesingun, bom tangan ditentang parang bungkol Banjar)

KISAH INI ADALAH SINOPSIS KISAH BENAR PERANG SUNGAI MANIK DI http://banjarcyber.tripod.com/sgmanik_1.html

27 September 2011

KISAH PENENUN KAIN

gambar dari shw.suzantee.fotopages.com

IMAM 'Atha al-Sulami membawa kain tenunannya ke pekan untuk dijual kepada seorang penjual kain. Kain itu satu-satunya hasil tenunannya yang dianggapnya terbaik diantara yang lain, kerana tenunannya telah dikerjakannya dengan tekun dan berhati-hati, dengan sepenuh daya kreativiti. Dia cukup puas hati dengan hasil tenunannya itu.

Penjual kain yang dikunjunginya di pekan itu membolak-balik kainnya itu. "Tuan akan jual kain ini?

Berapa harganya?", tanya penjual kain itu. "Sepatutnya harga kain ini lebih mahal. Tapi aku

bersyukur, jika harganya sama dengan harga kain biasa yang pernah engkau beli." jawab 'Atha al-Sulami.

Pekedai kain itu menggeleng-geleng dan tersenyum sumbing.

"Tapi kain ini rendah mutunya. Tenunannya tidak rapi, tidak halus, corak dan warnanya tidak menarik. Ukurannya pun lebih kecil daripada ukuran biasa. Jika tuan tidak percaya ucapan saya, tuan boleh tanya orang lain. Bawalah kain ini kepada penjual kain yang lain."

Imam 'Atha al-Sulami merasa sedih dan kecewa. Dia membisu.

"Bagaimana pun, hamba boleh beli kain ini, tapi dengan harga yang murah sahaja".

Tanpa bertanya tentang harga yang sanggup dibayar oleh penjual itu, pelan-pelan Imam 'Atha al-Sulami melangkah ke luar kedai. Tiba-tiba dia terduduk di warung kaki lima, lalu menangis. Kepalanya yang tertunduk tersengguk-sengguk digoncang oleh sedu-sedan tangisannya itu.

Melihat keadaan itu, tercetus rasa simpati di hati penjual kain, lalu dia segera menghampiri Imam 'Atha al-Sulami.

"Sampai begitu sekali kesedihan tuan? Tadi, hamba berkata benar, mutu kain tuan itu rendah. Rugi hamba kalau membelinya dengan harga biasa. Maafkan hamba".

Imam 'Atha al-Sulami menangis terus, seolah kehadiran penjual itu tidak disadarinya. Penjual kain tertunduk resah.

"Baiklah. Berikan kepadaku kain itu. Aku beli kain itu dengan harga biasa. Aku sanggup membelinya semata-mata kerana aku mahu menyenangkan hati tuan. Aku kasihan melihat keadaan tuan terlalu sedih sampai menangis begitu rupa. Jika tangisan tuan itu kerana aku,

maafkanlah aku..."

"Tidak. Aku sedikit pun tidak merasa kecil hati kepadamu," 'Atha al-Sulami berbicara dengan suara

serak. "Malah. Aku bersyukur, kerana tindakaanmu tadi sungguh-sungguh telah menginsafkan aku".

"Jadi, tuan menangis bukan kerana kecewa kerana menawarkan harga kain itu dengan yang lebih rendah daripada biasa?"

Imam 'Atha al-Sulami mengangguk dalam tangisannya yang berterusan. .

"Kalau begitu, Kenapa tuan menangis?".

"Aku menangis kerana sedih mengingatkan amal ibadatku. Kain hasil tenunanku ini kebetulan ada persamaannya dengan hasil amalan ibadatku selama ini".

"Ajaib. Bertambah ajaib. Bagaimana kain itu ada persamaannya dengan ibadat tuan?"

"Begini. Kain ini aku tenun sebaik-baikya. Seberapa mungkin aku bertekun mengusahakannya supaya mutunya baik. Dan, sebelum ini aku rasa kain ini cukup baik, bahkan lebih baik daripada hasil tenunanku sebelumnya, tidak ada cacat-cederanya. Tetapi sekarang barulah aku sedar, apabila dibawa kepada orang yang pakar dalam hal kain seperti engkau, rupa-rupanya kain ini banyak cacat cederanya, rendah mutunya".

Kepala Imam 'Atha al-Sulami tertunduk kembali, menahan sedu tangisannya. Ternyata, kesan kesedihannya masih ada dikalbunya. Hal ini kentara sekali kepada penjual kain itu.

"Jadi betullah, tuan bersedih dan menangis kerana hamba ...."

"Tidak!". Imam 'Atha al-Sulami cepat memotong cakap penjual kain itu.

"Aku menangis apabila teringat, betapa amal ibadatku dinilai oleh Allah Taala pada hari Kiamat nanti. Selama ini aku berpuas hati dengan amal ibadatku, sebagaimana aku berpuas hati dengan hasil tenunanku ini. Allah Taala yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui, sama ada yang nyata atau yang ghaib, yang lahir atau yang batin; sudah pastilah segala 'ujub atau cacat-cedera amal ibadatku kentara kepada-Nya. Bandingannya, cacat-cela kain ini kentara kepadamu yang tahu menilainya"

Dia tertunduk pula. Kesedihan masih tersisa di dalam dadanya. "Kerana kelalaianku, tidak pernah terfikir di benakku tentang ketidak-semprnaan amal ibadatku, kecuali setelah engkau menyatakan ketidak-sempurnaan kain ini. Sekarang aku takut amal ibadatku menjadi sia-sia saja, kerana selama ini rasa ujub, bangga dan rasa puas hati yang telah bersarang di dalam kalbuku

terhadap amal ibadatku. Aku bimbang, amal ibadatku rendah mutunya, sama dengan kerendahan mutu kain ini. Itulah yang menyebabkan aku bersedih dan ...."

Kepalanya tertunduk pula, menahan serangan kesedihan yang kembali memburaikan tangisannya.

Jadi saudara-saudara dan saudari-saudari ku, marilah kita menambahkan amal ibadah kita padaNya, beramal-lah keranaNYA.... inshaAllah, saat kita bertemu Allah, kita akan dapat melihat senyuman dari Allah!

~ perjalanan masih jauh, perjuangan belum selesai !

Wallahu a'lam

NUKILAN : Khairul Abidin dari https://www.facebook.com/groups/194648357216808/doc/291679220847054/

Guru saya kata "Kalau sembahyang tak seberapa, khusyuk tah ke mana, nak cepat siap, Puasa setakat tak makan minum je tapi mulut duk mengumpat, buka puasa makan sampai tak larat, zakat setakat bayar fitrah je, duit banyak habis ke tempat tak perlu, buat rumah besar, tukar kereta, tapi tak simpan nak ke haji pun, aurat sambil lewa, tido banyak, tiap hari layan drama TV, tak sumbang apa-apa untuk Islam ..... lepas tu perasan masuk syurga dengan mudah sebab Islam? tak sedar diri langsung!"

08 September 2011

MAKAN MAKAN MAKAN SAMPAI SIHAT

gambar diambil dari fachriansah.wordpress.com

Islam yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada umat manusia melalui tubuh Baginda Nabi Muhammad s.a.w dengan perantaraan Jibril adalah panduan hidup yang lengkap, universal dan sesuai untuk diamalkan sepanjang masa dan di segenap tempat.

Ini antara sebahagian kecil amalan makan yang baik dan sebahagian manfaat terhadap kesihatan.

1. Minum air kosong sebagai sarapan pertama

Baginda Nabi s.a.w mengamalkan minum air kosong yang disejukkan semalaman (dimasak sebelum tidur) sebagai sarapan pertama Baginda. Kita juga diperintahkan untuk bersahur sekurang-kurangnya dengan secawan air kosong.

Dengan mengamalkan minum air kosong sebagai sarapan pertama ini, insyaAllah perut dan usus akan dicuci. Ini akan memudahkan proses pembuangan pada waktu pagi. Ini pasti memudahkan kerana tidak perlu lagi membuang pada waktu lain. Dan ini akan membantu mengeluarkan toksid dari perut dan usus yang terhasil akibat perapan makanan dan sisanya yang lama di dalam sistem pencernaan kita.

Yang terbaik minum air kosong ini adalah ketika bangun dari tidur sebelum berkumur dan mengosok gigi. Air liur bukanlah najis, malahan ia dapat membantu mempercepatkan pencernaan dan proses pembuangan tinja. Tapi pastikan anda menggosok gigi atau bersugi sebelum tidur!

Minumlah seperti Baginda s.a.w, dengan tiga nafas, untuk membolehkan udara bergerak dengan sempurna tanpa tersekat atau ditekan oleh air yang diminum.

2. Makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang.

Rasa lapar adalah tanda tubuh memerlukan tenaga tambahan. Tanpa rasa lapar, maknanya tubuh masih mempunyai sumber tenaga yang mencukupi.

Oleh kerana manusia itu makhluk bumi yang terdiri dari beberapa unsur, maka kita diingatkan bahawa perut itu perlu diisi secara maksimum hanyalah dengan 1/3 makanan, 1/3 air dan 1/3 udara. Dengan rasa kenyang atau terlalu kenyang, itu adalah tanda terlalu banyak makanan yang dimasukkan ke dalam perut dan secara langsung bahagian untuk air dan udara telah terisi dengan makanan sebahagiannya.

Baginda juga tidak mencampurkan makanan-makanan tertentu. Melazimi makan pada waktu tertentu akan menyebabkan rasa lapar pada waktu berkenaan jika tidak makan.

3. Mengunyah perlahan-lahan

Rasulullah s.a.w mengunyah makanan secara perlahan-lahan dengan bilangan yang banyak. Walaupun ada segelintir orang berandaian ini lantaran jenis, keadaan dan kemudahan makanan pada zaman Baginda s.a.w (memakan banyak daging ternakan dengan kemudahan memasak yang terhad (banyaknya bakar dan panggang?) dan roti tidaklah selembut yang ada masa ini).

Segelintir orang pula mengatakan ada hadis tentang saranan mengunyah makanan sehingga 40 kali. Namun saya gagal menemui hadis ini melainkan dakwaan bahawa ia adalah hadis. (Mungkinkah ini kerana ada sahabat yang menghitung bilangan kunyahan Baginda, menyebutkannya sehingga ada yang beranggapan ia adalah hadis?)

Amalan ini dapat mempengaruhi bentuk tubuh badan orang yang mengamalkannya. Orang itu akan lebih cepat merasa kenyang, merendahkan pengumpulan kalori, lebih mencergaskan tubuh dan membentuk tubuh lebih cantik.

Air liur (enzim ptialin @ enzim amilase) adalah bahan pencernaan pertama untuk makanan yang dimasukkan ke dalam mulut. Dengan mengunyah secukupnya, makanan yang diambil akan hancur sepenuhnya dan enzim pencernaan ini akan mampu meresapi makanan yang dimakan sepenuhnya. Tanpa kunyahan yang mencukupi, makanan tidak cukup hancur untuk diresapi enzim ini dan ingatlah bahawa perut kita tidak mempunyai gigi untuk diberikan tugas berat melebihi kemampuannya. Dalam tempoh kunyahan ini, karbohidrat dalam makanan yang diambil telahpun mula dipecahkan.

Perut mengandungi pH2 yang amat berasid yang mampu membunuh bakteria yang terdapat dalam makanan yang diambil dan menghentikan fungsi enzimm amilase

Dalam satu kajian yang dilakukan, mengunyah makanan 40 kali, membuat responden menghasilkan kalori 12% lebih rendah dari makanan yang diambil. Aktiviti mengunyah yang lebih lama ini juga membuat kadar ghrelin menurun, hormon yang meransang nafsu makan. Akibatnya orang itu akan lebih cepat rasa kenyang, lalu menurunkan jumlah makanan yang diambil.

4. Makan tidak bersulam air

Makan bersulamkan air juga tidak digalakkan. Ini kerana air yang diminum ketika makan hanyalah akan mencairkan air liur sehingga kesannya ke atas makanan yang dikunyah menjadi lemah. Melazimi minum ketika makan juga akan mendatangkan sifat gelojoh untuk menelan tanpa kunyahan yang mencukupi dan boleh meningkatkan kemungkinan tercekik jika makan tanpa bersulam minum.

Yang terbaik adalah minum setengah jam sebelum atau selepas makan. Namun ini pasti agak sukar jika makan di kedai makan. Pasti pelik jika menempah makanan tanpa air. Kita juga tidak mempunyai masa mencukupi untuk senggang sebelum minun di kedai makan lazimnya.

5. Meminimumkan kuah dalam makanan

Sama seperti makan bersulam air, Baginda Nabi s.a.w tidak gemar makanan berkuah banyak. Baginda berkuah atau mencicah secara minimum. Seperti di atas, kuah yang banyak akan mencairkan air liur dan mengurangkan kesannya terhadap proses pencernaan terhadap makanan pejal yang diambil.

6. Mulakan makan dengan buah

Rasulullah gemar memulakan makan dengan buah. Bukan seperti yang diajar oleh Barat, makan buah sebagai pencuci mulut.

Dalam keadaan biasa, jumlah air liur dalam mulut kita adalah sedikit dan akan bertambah apabila makanan dimasukkan ke dalam mulut. Mulut kita tidaklah serta-merta mengeluarkan air liur yang banyak apabila suapan pertama dilakukan. Ia mengambil masa untuk menghasilkan air liur yang mencukupi. Dengan mengambil buah yang mudah dihadamkan sebagai pembuka acara makan yang dilakukan, ia akan memberikan masa yang mencukupi untuk mulut menghasilkan air liur yang secukupnya sebelum makanan pejal lain seperti daging atau roti dimakan.

7. Mencecah garam

Di dalam kitab Ihya Ulumiddin, Imam Al-Ghazali menyarankan mencecah hujung jari dengan garam dan diletakkan di hujung lidah sebelum mula makan. Ini tujuannya adalah untuk membantu mulut merembeskan air liur yang mencukupi kerana rasa masin itu, sebelum makanan pejal mula dimakan. Imam Al-Ghazali tidak menyebutkan amalan ini sebagai sunah.

8. Makan menggunakan tangan dan menjilat jari

Adalah amalan Baginda s.a.w makan menggunakan tangan. Baginda menyarankan mengecilkan suapan dan menggunakan hanya tiga jari untuk mengambil makanan. Baginda juga menjilat jari setelah selesai makan.

Kajian yang dijalankan mendapati bahawa telapak tangan manusia mempunyai enzim pencernaan yang 10 kali ganda lebih kuat kesannya ke atas makanan yang diambil berbanding air liur.

9. Mulakan dengan basmallah, doa makan dan sudahi dengan lafaz ‘Alhamdulillah’

Walau apapun jenis enzim, teori, andaian, kajian, penemuan dan sebagainya tentang cara makan yang baik serta manfaatnya, namun hakikatnya makhluk tidak mampu memberikan kesan. Hanya Allah yang mampu memberikan bekas.

Maka bermohonlah dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada hadratNya jua, dengan penuh rasa kehambaan dan kebergantunga hanya padaNya, dan menzahir rasa syukur melalui lafaz kepadaNya. Mudah-mudahan ia menjadikan makanan itu sebagai rezeki yang baik lagi dirahmati.

Firman Allah s.w.t :

“Makan dan minumlah kamu, jangan melampaui batas.” (Surah Al-A’raf ayat 31)

Wallahualam.

25 Ogos 2011

YE YE HARI RAYA


ganbar dari writerwithoutwords.blogspot.com

Pak Ngan Adan : “Assalamualaikum Yob”

Yob : “Wa’alaikum salam. Eh Pak Ngah, Apa khabar?”

Pak Ngah Adan : “Alhamdulillah, sihat macam ni la orang tua. Banyak kamu shopping ni Yob, sakan betul”

Yob : “He he, biasa la Pak Ngah, Rayaaaa”

Pak Ngah Adan : “Ni macam nak raya sebulan dah ni”

Yob : “Puasa sebulan Pak Ngah, raya pun sebulan jugak la”

Pak Ngah Adan : “Pandai la kamu. Kalau macam tu kita tak sebut hari raya la, kita sebut bulan raya”

Yob : “he he he Pak Ngah ni”

Pak Ngah Adan : “Bagus la kita memanjangkan silaturrahim ni, bukan kata sebulan, setahun pun bagus”

Yob : “Ye la Pak Ngah, kalau tak Bulan Syawal ni, tak berziarah la kita. Berziarah waktu lain dah rasa macam pelik je sekarang ni.”

Pak Ngah Adan : “Itulah, elok la berjalan berziarah dari melangut depan TV melayan lagu-lagu raya. Kalau dulu pantang raya je, mesti ada sarkas kat TV. Apa kaitan raya dengan sarkas entah la”

Yob : “Pak Ngah ni berapa pasang baju raya tahun ni?”

Pak Ngah Adan : “Sepasang je Yob. Sekadar meraikan hari raya ni”

Yob : “Saya buat tiga pasang je. Isteri je yang sampai lima pasang”

Pak Ngah Adan : “Sakan kamu Yob ye, bila nak dipakainya baju yang banyak tu?”

Yob : “Raya Pak Ngah, bukan selalu”

Pak Ngah Adan : “Jangan sampai membazir sudah la. Aidil Fitri ni perayaan agama, bukan perayaan budaya. Jadi kena la kita sambut ikut panduan agama, baru la dapat berkat dan pahalanya”

Yob : “Udah terbiasa Pak Ngah, kalau buat sepasang nanti orang kata macam la tak berduit sangat padahal laki bini kerja gaji ribu-ribu”

Pak Ngah Adan : “Itu la masalahnya. Kita sambut hari raya ni kerana Allah. Raikan hadiah dari Allah sebagai tanda syukur dapat berpuasa di Bulan Ramadhan. Tapi kita sekarang ni hari raya dah jadi nak raikan orang pulak. Takde salahnya kita memuliakan tetamu, tetapi biar la berpada”

“Kalau kita buat baju baru banyak-banyak, kuih banyak-banyak, tukar perabot, tukar langsir padahal yang lama masih elok takut jadi membazir pulak nanti. Kalau kita buat sebab nak menunjukkan keanekaan yang kita ada, kemampuan kita bergaya atau paling kurang sebab tak mau orang kata tak elok pasal kita, itu dah jadikan perbuatan kita kerana orang, bukan kerana Allah dah. Rugi je nanti langsung tak dapat pahala. Dapat la seronok sikit dipuji atau tak dikutuk orang”

Yob : “Betul juga tu Pak Ngah, tapi dak berkemampuan ni apa salahnya berbelanja lebih sikit”

Pak Ngah Adan : “Nak kata lebih sangat pun tak sesuai jugak kita ni Yob. Sebabnya masa ni ramai saudara seIslam kita yang tengah susah di merata dunia. Palestin, Kemboja, Myanmar. Sekarang ni kemarau teruk di Afrika sampaikan saudara kita di Somalia ramai mati kebuluran”

“Kita pulak tak rasa apa-apa. Kita rasa duit kat tangan kita hak kita sepenuhnya padahal itu hak Allah, dan Allah uji kita dengan bagi lebih kat kita, bagi kurang kat orang lain, untuk perlihatkan macam mana kita uruskan duit di tangan kita tu, dan macam mana orang yang susah tu hadapi kesusahan tu”

“Sebulan kita berpuasa rasa lapar dahaga, tapi kita tak terkesan pun untuk fikir macam mana lapar dan dahaganya saudara seIslam kita di Somalia tu. Bila mereka yang tak ada makanan tu melanun kapal dagang kita, kita melenting bila rasa ‘hak’ kita dirampas, sedangkan kita lupa hak mereka yang kita makan dengan rakus setiap hari”

“Sedangkan diorang kat sana nak tukar baju pun tak mampu. Dah bertahun baju yang ada dipakai, ada yang macam pakai kain ihram je sebab tak ada baju. Baju kita pulak bersusun penuh almari sampai tak tau nak pakai baju mana satu. Juadah berbuka dan hari raya kita banyak terbuang padahal diorang nak dapat sebutir nasi pun susah”

Yob : “Allahuakhbar, tak terfikir saya ni Pak Ngah”

Pak Ngah Adan : “Ya la, kita ni asyik disogokkan dengan cerita khayal kehantuan, hiburan tahap gaban, politik kepartian caca marba, layan cinta, layan sukan…. Sampai malas nak fikir susah-susah pasal orang lain. Kita asyik dok jaga tepi kain sendiri je”

"Jangan nanti Allah bagi ujian seberat tu kat kita sudah la, sebagai cara nak ajar kita bersyukur dan berjimat"

“Ingat Yob, Hari Raya Aidil Fitri ni hari perayaan agama, bukan perayaan budaya”


-- YA ALLAH, LIMPAHKAN RAHMAT KASIH SAYANGMU KEPADA SAUDARAKU DI SOMALIA, TURUNKANLAH HUJAN RAHMATMU BUAT MEREKA, PELIHARALAH MEREKA DARI KELAPARAN YANG PANJANG, DAN KAU LINDUNGILAH AKU, KELUARGAKU, SAUDARAKU, NEGARAKU DARI KEKERINGAN DAN KEBULURAN SERTA SEGALA MUSIBAH YA ALLAH--

p/s : Hulurkan bantuan kepada saudara kita di Somalia sebagai tanda kesyukuran hari raya kita. Ayuh.

24 Ogos 2011

BERSEDIA HADAPI KRISIS EKONOMI DUNIA

gambar mangsa kebuluran yang sedang berlaku di Somalia.


UTUSAN MALAYSIA 22 OGOS 2011

KHAMIS lalu, sekali lagi bursa saham dunia runtuh lagi dengan Dow Jones jatuh sehingga 500 mata selepas satu jam dibuka dagangan. Sektor teknologi lemah dan tuntutan pekerjaan lebih tinggi.

Bon perbendaharaan 10 tahun Amerika Syarikat jatuh ke paras bawah 2 peratus (%). Sesuatu yang tidak pernah berlaku.

Di Eropah, FTSE jatuh sebanyak 4.36%, di Perancis CAC jatuh sehingga 6%, bursa Jerman DAX jatuh 5.42%. Emas telah meningkat ke paras AS$1,823.65 seauns. Sementara itu, minyak di pasaran New York jatuh ke paras AS$83 setong dengan jangkaan permintaan akan menurun.

Memanglah ada dalam kalangan pemimpin kita yang mengatakan kita terlindung daripada krisis ekonomi semasa kerana kita banyak berdagang dengan negara-negara ASEAN dan Asia seperti China dan India dan bukan negara-negara Eropah. China sendiri sedang bergelut untuk membendung inflasi dan India berdepan dengan defisit.

Kebimbangan tentang ekonomi dunia menuju ke arah kemelesetan dimanifestasikan oleh keruntuhan bursa-bursa saham dunia sebanyak dua kali dalam bulan ini saja.

Terbaru kebimbangan bank pusat di Amerika tentang unit-unit bank Amerika di Eropah yang mungkin berdepan dengan kekurangan dana.

Pertumbuhan negara Jerman yang lebih rendah untuk penggal kedua dan perbincangan antara Perancis dan Jerman yang tidak mencapai sesuatu kata sepakat dalam menyelesaikan masalah krisis hutang Euro, meningkatkan lagi kebimbangan pelabur.

Bank Negara Malaysia pada Rabu lepas menyatakan pertumbuhan 4% untuk penggal kedua tahun ini. Penggal pertama kita telah mencatat pertumbuhan sebanyak $4.3%. Walaupun mengakui keadaan ekonomi global yang semakin lemah, Bank Negara masih yakin kita boleh mencapai pertumbuhan 5-6%.

Mengapakah kita tidak mahu mengakui yang keadaan ekonomi dunia yang lemah ini akan memberi kesan kurang baik kepada ekonomi kita yang bergantung kepada eksport dan keadaan defisit fiskal kita yang tinggi?

Para penganalisis antarabangsa mengakui kesan yang bakal kita hadapi ini.

Kita seolah-olah ingin memberi gambaran yang tidak ada apa-apa yang akan mengganggu-gugat ekonomi kita. Sekiranya harga minyak menurun, ini akan memberi kesan kepada pendapatan negara yang 40% datangnya daripada pendapatan minyak.

Kita juga berdepan dengan harga barang-barang yang meningkat yang seterusnya meningkatkan kos sara hidup. Kerajaan tidak mampu lagi untuk menambah subsidi untuk membendung kenaikan harga barang-barang tanpa meningkatkan lagi defisit yang sudah tinggi.

Dengan mata wang ringgit semakin kukuh berbanding dolar Amerika (disebabkan ekonomi Amerika yang lemah) dan permintaan dunia yang dijangka kurang, pengeksport kita mungkin mencatat angka-angka perolehan yang lebih rendah.

Kebanyakan pendapatan bank datangnya daripada pinjaman isi rumah yang kini mencapai 75% daripada keseluruhan pinjaman.

Rasanya masa sudah sampai bagi kerajaan “mengetatkan pinggang” mengurangkan pembaziran perbelanjaan.

Kalau dapat dikurangkan 5% sekalipun, kita sudah dapat mengurangkan lebih kurang RM10 bilion daripada perbelanjaan.

Perbelanjaan seperti perasmian itu dan ini patut dikurangkan, latihan yang menggunakan hotel-hotel dan resort-resort pun patut beralih kepada dewan-dewan kerajaan yang tidak kurang kemudahan mereka.

Untuk belanjawan tahun hadapan permintaan jabatan-jabatan dan kementerian sepatutnya zero-based berdasarkan keperluan dan bukan secara incremental.

Perbelanjaan atas barang-barang dengan harga yang bukan-bukan seperti yang lazim dilaporkan oleh Ketua Audit Negara perlu dielakkan.

Ada pendapat yang mengatakan kita perlu melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk meningkatkan pendapatan negara tetapi tiada siapa yang tahu bila masa yang sesuai untuk dilaksanakan.

Rasanya kalau diamalkan perbelanjaan yang berhemah apa yang boleh diperolehi adalah lebih tinggi daripada yang bakal diperolehi dengan pelaksanaan GST. Sikap “ini duit kerajaan bukan duit aku” perlu dikikis oleh penjawat awam dan orang ramai.

Inilah satu-satunya kempen yang perlu dilakukan secara besar-besaran di seluruh negara dan melalui secara bentuk media.

Dengan keadaan ekonomi dunia yang lemah dan kos sara hidup yang meningkat, apakah sesuai diadakan pilihan raya dalam jangka masa terdekat ini?

DATO’ SALLEH MAJID

ialah bekas Presiden Bursa Saham

Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)