KAMI MENAWARKAN

KHIDMAT PERUNDINGAN MOTIVASI
(ALAM SUKMA CONSULTANT)


BEKAM MODEN
PROSES BEKAM DI RUMAH ANDA SENDIRI (KAWASAN TERTENTU SAHAJA)


PENAPIS AIR IMTIYAAZ PADA HARGA RM598
MEMBELI SAMBIL MEMBANTU EKONOMI UMAT
PRODUK BUMIPUTERA ISLAM TEMPATAN

KULAAN FOODS
MENYEDIAKAN PERKHIDMATAN SAJIAN MAKANAN (CATERING)

SEBARANG MAJLIS DI PERAK, KEDAH, PULAU PINANG, SELANGOR DAN KUALA LUMPUR

hubungi :
fakir_albanjari@yahoo.com





25 Ogos 2011

YE YE HARI RAYA


ganbar dari writerwithoutwords.blogspot.com

Pak Ngan Adan : “Assalamualaikum Yob”

Yob : “Wa’alaikum salam. Eh Pak Ngah, Apa khabar?”

Pak Ngah Adan : “Alhamdulillah, sihat macam ni la orang tua. Banyak kamu shopping ni Yob, sakan betul”

Yob : “He he, biasa la Pak Ngah, Rayaaaa”

Pak Ngah Adan : “Ni macam nak raya sebulan dah ni”

Yob : “Puasa sebulan Pak Ngah, raya pun sebulan jugak la”

Pak Ngah Adan : “Pandai la kamu. Kalau macam tu kita tak sebut hari raya la, kita sebut bulan raya”

Yob : “he he he Pak Ngah ni”

Pak Ngah Adan : “Bagus la kita memanjangkan silaturrahim ni, bukan kata sebulan, setahun pun bagus”

Yob : “Ye la Pak Ngah, kalau tak Bulan Syawal ni, tak berziarah la kita. Berziarah waktu lain dah rasa macam pelik je sekarang ni.”

Pak Ngah Adan : “Itulah, elok la berjalan berziarah dari melangut depan TV melayan lagu-lagu raya. Kalau dulu pantang raya je, mesti ada sarkas kat TV. Apa kaitan raya dengan sarkas entah la”

Yob : “Pak Ngah ni berapa pasang baju raya tahun ni?”

Pak Ngah Adan : “Sepasang je Yob. Sekadar meraikan hari raya ni”

Yob : “Saya buat tiga pasang je. Isteri je yang sampai lima pasang”

Pak Ngah Adan : “Sakan kamu Yob ye, bila nak dipakainya baju yang banyak tu?”

Yob : “Raya Pak Ngah, bukan selalu”

Pak Ngah Adan : “Jangan sampai membazir sudah la. Aidil Fitri ni perayaan agama, bukan perayaan budaya. Jadi kena la kita sambut ikut panduan agama, baru la dapat berkat dan pahalanya”

Yob : “Udah terbiasa Pak Ngah, kalau buat sepasang nanti orang kata macam la tak berduit sangat padahal laki bini kerja gaji ribu-ribu”

Pak Ngah Adan : “Itu la masalahnya. Kita sambut hari raya ni kerana Allah. Raikan hadiah dari Allah sebagai tanda syukur dapat berpuasa di Bulan Ramadhan. Tapi kita sekarang ni hari raya dah jadi nak raikan orang pulak. Takde salahnya kita memuliakan tetamu, tetapi biar la berpada”

“Kalau kita buat baju baru banyak-banyak, kuih banyak-banyak, tukar perabot, tukar langsir padahal yang lama masih elok takut jadi membazir pulak nanti. Kalau kita buat sebab nak menunjukkan keanekaan yang kita ada, kemampuan kita bergaya atau paling kurang sebab tak mau orang kata tak elok pasal kita, itu dah jadikan perbuatan kita kerana orang, bukan kerana Allah dah. Rugi je nanti langsung tak dapat pahala. Dapat la seronok sikit dipuji atau tak dikutuk orang”

Yob : “Betul juga tu Pak Ngah, tapi dak berkemampuan ni apa salahnya berbelanja lebih sikit”

Pak Ngah Adan : “Nak kata lebih sangat pun tak sesuai jugak kita ni Yob. Sebabnya masa ni ramai saudara seIslam kita yang tengah susah di merata dunia. Palestin, Kemboja, Myanmar. Sekarang ni kemarau teruk di Afrika sampaikan saudara kita di Somalia ramai mati kebuluran”

“Kita pulak tak rasa apa-apa. Kita rasa duit kat tangan kita hak kita sepenuhnya padahal itu hak Allah, dan Allah uji kita dengan bagi lebih kat kita, bagi kurang kat orang lain, untuk perlihatkan macam mana kita uruskan duit di tangan kita tu, dan macam mana orang yang susah tu hadapi kesusahan tu”

“Sebulan kita berpuasa rasa lapar dahaga, tapi kita tak terkesan pun untuk fikir macam mana lapar dan dahaganya saudara seIslam kita di Somalia tu. Bila mereka yang tak ada makanan tu melanun kapal dagang kita, kita melenting bila rasa ‘hak’ kita dirampas, sedangkan kita lupa hak mereka yang kita makan dengan rakus setiap hari”

“Sedangkan diorang kat sana nak tukar baju pun tak mampu. Dah bertahun baju yang ada dipakai, ada yang macam pakai kain ihram je sebab tak ada baju. Baju kita pulak bersusun penuh almari sampai tak tau nak pakai baju mana satu. Juadah berbuka dan hari raya kita banyak terbuang padahal diorang nak dapat sebutir nasi pun susah”

Yob : “Allahuakhbar, tak terfikir saya ni Pak Ngah”

Pak Ngah Adan : “Ya la, kita ni asyik disogokkan dengan cerita khayal kehantuan, hiburan tahap gaban, politik kepartian caca marba, layan cinta, layan sukan…. Sampai malas nak fikir susah-susah pasal orang lain. Kita asyik dok jaga tepi kain sendiri je”

"Jangan nanti Allah bagi ujian seberat tu kat kita sudah la, sebagai cara nak ajar kita bersyukur dan berjimat"

“Ingat Yob, Hari Raya Aidil Fitri ni hari perayaan agama, bukan perayaan budaya”


-- YA ALLAH, LIMPAHKAN RAHMAT KASIH SAYANGMU KEPADA SAUDARAKU DI SOMALIA, TURUNKANLAH HUJAN RAHMATMU BUAT MEREKA, PELIHARALAH MEREKA DARI KELAPARAN YANG PANJANG, DAN KAU LINDUNGILAH AKU, KELUARGAKU, SAUDARAKU, NEGARAKU DARI KEKERINGAN DAN KEBULURAN SERTA SEGALA MUSIBAH YA ALLAH--

p/s : Hulurkan bantuan kepada saudara kita di Somalia sebagai tanda kesyukuran hari raya kita. Ayuh.

24 Ogos 2011

BERSEDIA HADAPI KRISIS EKONOMI DUNIA

gambar mangsa kebuluran yang sedang berlaku di Somalia.


UTUSAN MALAYSIA 22 OGOS 2011

KHAMIS lalu, sekali lagi bursa saham dunia runtuh lagi dengan Dow Jones jatuh sehingga 500 mata selepas satu jam dibuka dagangan. Sektor teknologi lemah dan tuntutan pekerjaan lebih tinggi.

Bon perbendaharaan 10 tahun Amerika Syarikat jatuh ke paras bawah 2 peratus (%). Sesuatu yang tidak pernah berlaku.

Di Eropah, FTSE jatuh sebanyak 4.36%, di Perancis CAC jatuh sehingga 6%, bursa Jerman DAX jatuh 5.42%. Emas telah meningkat ke paras AS$1,823.65 seauns. Sementara itu, minyak di pasaran New York jatuh ke paras AS$83 setong dengan jangkaan permintaan akan menurun.

Memanglah ada dalam kalangan pemimpin kita yang mengatakan kita terlindung daripada krisis ekonomi semasa kerana kita banyak berdagang dengan negara-negara ASEAN dan Asia seperti China dan India dan bukan negara-negara Eropah. China sendiri sedang bergelut untuk membendung inflasi dan India berdepan dengan defisit.

Kebimbangan tentang ekonomi dunia menuju ke arah kemelesetan dimanifestasikan oleh keruntuhan bursa-bursa saham dunia sebanyak dua kali dalam bulan ini saja.

Terbaru kebimbangan bank pusat di Amerika tentang unit-unit bank Amerika di Eropah yang mungkin berdepan dengan kekurangan dana.

Pertumbuhan negara Jerman yang lebih rendah untuk penggal kedua dan perbincangan antara Perancis dan Jerman yang tidak mencapai sesuatu kata sepakat dalam menyelesaikan masalah krisis hutang Euro, meningkatkan lagi kebimbangan pelabur.

Bank Negara Malaysia pada Rabu lepas menyatakan pertumbuhan 4% untuk penggal kedua tahun ini. Penggal pertama kita telah mencatat pertumbuhan sebanyak $4.3%. Walaupun mengakui keadaan ekonomi global yang semakin lemah, Bank Negara masih yakin kita boleh mencapai pertumbuhan 5-6%.

Mengapakah kita tidak mahu mengakui yang keadaan ekonomi dunia yang lemah ini akan memberi kesan kurang baik kepada ekonomi kita yang bergantung kepada eksport dan keadaan defisit fiskal kita yang tinggi?

Para penganalisis antarabangsa mengakui kesan yang bakal kita hadapi ini.

Kita seolah-olah ingin memberi gambaran yang tidak ada apa-apa yang akan mengganggu-gugat ekonomi kita. Sekiranya harga minyak menurun, ini akan memberi kesan kepada pendapatan negara yang 40% datangnya daripada pendapatan minyak.

Kita juga berdepan dengan harga barang-barang yang meningkat yang seterusnya meningkatkan kos sara hidup. Kerajaan tidak mampu lagi untuk menambah subsidi untuk membendung kenaikan harga barang-barang tanpa meningkatkan lagi defisit yang sudah tinggi.

Dengan mata wang ringgit semakin kukuh berbanding dolar Amerika (disebabkan ekonomi Amerika yang lemah) dan permintaan dunia yang dijangka kurang, pengeksport kita mungkin mencatat angka-angka perolehan yang lebih rendah.

Kebanyakan pendapatan bank datangnya daripada pinjaman isi rumah yang kini mencapai 75% daripada keseluruhan pinjaman.

Rasanya masa sudah sampai bagi kerajaan “mengetatkan pinggang” mengurangkan pembaziran perbelanjaan.

Kalau dapat dikurangkan 5% sekalipun, kita sudah dapat mengurangkan lebih kurang RM10 bilion daripada perbelanjaan.

Perbelanjaan seperti perasmian itu dan ini patut dikurangkan, latihan yang menggunakan hotel-hotel dan resort-resort pun patut beralih kepada dewan-dewan kerajaan yang tidak kurang kemudahan mereka.

Untuk belanjawan tahun hadapan permintaan jabatan-jabatan dan kementerian sepatutnya zero-based berdasarkan keperluan dan bukan secara incremental.

Perbelanjaan atas barang-barang dengan harga yang bukan-bukan seperti yang lazim dilaporkan oleh Ketua Audit Negara perlu dielakkan.

Ada pendapat yang mengatakan kita perlu melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk meningkatkan pendapatan negara tetapi tiada siapa yang tahu bila masa yang sesuai untuk dilaksanakan.

Rasanya kalau diamalkan perbelanjaan yang berhemah apa yang boleh diperolehi adalah lebih tinggi daripada yang bakal diperolehi dengan pelaksanaan GST. Sikap “ini duit kerajaan bukan duit aku” perlu dikikis oleh penjawat awam dan orang ramai.

Inilah satu-satunya kempen yang perlu dilakukan secara besar-besaran di seluruh negara dan melalui secara bentuk media.

Dengan keadaan ekonomi dunia yang lemah dan kos sara hidup yang meningkat, apakah sesuai diadakan pilihan raya dalam jangka masa terdekat ini?

DATO’ SALLEH MAJID

ialah bekas Presiden Bursa Saham

Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

11 Ogos 2011

BEZA MASJID DENGAN SURAU



gambar diambil dari sukses5s.blogspot.com




gambar Masjid Beijing diambil dari hhalem.blogspot.com



Seorang sahabat bertanya, bolehkan solat sunat tahiyatul masjid di surau?

Sekadar ilmu yang saya ada bahawa tiada solat sunat tahiyatul masjid di surau.

Jumhur ulama membezakan antara masjid dengan surau.

Masjid adalah tempat mendirikan solat jemaah yang didirikan juga solat Jumaat padanya. Dalam konteks Malaysia, masjid perlulah ditauliahkan sebagai masjid dengan mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan atau Yang DiPertuan Agong melalui kebenaran yang diberikan oleh Majlis Agama Islam Negeri atau Wilayah Persekutuan. Masjid adalah bangunan yang telah diwakafkan untuk kegunaan awam dan diuruskan oleh ahli jawatankuasa masjid berkenaan. Masjid didirikan oleh masyarakat setempat atau dibangunkan oleh kerajaan.

Surau juga merupakan tempat melakukan solat. Terdapat beberapa istilah lain bagi surau seperti musalla, nerasah, bilik solat atau sebagainya. Surau ini lazimnya didirikan oleh pihak persendirian atau organisasi tertentu. Sebahagian surau diwakafkan lalu ia menjadi hak awam dan sebahagian surau tetap menjadi milik pihak yang membangunkannya. Sebahagian surau berada di dalam bangunan dan sebahagiannya terpisah dari bangunan lain. Surau diuruskan oleh ahli jawatankuasa surau atau oleh pihak yang memilikinya. Mendirikan surau tidak memerlukan kebenaran ketua agama negeri atau wilayah. Terdapat bangunan, pejabat, rumah dan sebagainya mengkhususkan sebuah bilik sebagai suraunya sendiri.

Surau lazimnya digunakan untuk menunaikan solat berjemaah secara kecil-kecilan. Dengan proses urbanisasi dan migrasi penduduk yang pantas sebahagian masjid tidak mampu menampung jemaah solat Jumaatnya sehingga banyak surau telah diberikan kebenaran untuk melakukan solat Jumaat dan dikenali sebagai surau solat Jumaat. Walaupun solat Jumaat telah didirikan padanya, ia tetap masih lagi sebagai sebuah surau, dan statusnya tidak berubah kepada masjid.

Ini antara lain kerana solat Jumaat tidaklah wajib dilakukan di dalam masjid. Ketua Agama boleh memberikan kebenaran untuk melakukan solat Jumaat di mana-mana sahaja seperti surau, dewan, stadium atau kawasan lapang dengan adanya jemaah yang mencukupi seramai 40 orang. Maka tempat didirikan solat Jumaat itu tidaklah berubah statusnya menjadi masjid.

Oleh kerana itu, jumhur ulama berpendapat solat sunat tahiyatul masjid khusus dilakukan di dalam masjid sahaja. Ia tidak didirikan di dalam surau walaupun surau solat Jumaat kerana status surau itu tetap surau. Maka adalah janggal mendirikan solat khusus untuk masjid di tempat lain, dan tidak pernah ada solat sunat tahiyatul musolla pula.

Larangan memasuki masjid kepada orang yang berjunub dan haid juga khusus untuk masjid sahaja. Jumhur ulama tetap berpandangan adanya perbezaan status untuk surau yakni tidaklah haram bagi orang yang berjunub atau haid dari memasuki surau. Walaupun terdapat sebilangan ulama yang mempunyai pandangan yang berbeza, namun jumhur masih memakai pandangan di atas.

Ketika merasmikan surau solat Jumaat Kolej Proton City UPSI tahun 2001, Sahibus Samahah Tan Sri (Dr) Haji Harussani Zakaria, Mufti Kejaraan Negeri Perak menyebutkan bahawa tiada solat sunat tahiyatul masjid dan tiada mimbar di surau walaupun didirikan solat Jumaat padanya. Ketiadaan mimbar antara lain adalah untuk memudahkan jemaah yang singgah sekali sekala mengenali bahawa bangunan itu adalah surau dan bukannya masjid, dan menyedari bahawa tiada solat sunat tahiyatul masjid padanya.

Hari ini, secara fizikalnya, telah banyak surau yang setanding malahan lebih hebat berbanding masjid. Banyak surau dilengkapi sistem audio yang hebat, pendingin hawa dan bermimbar sehingga menyukarkan jemaah yang tidak lazim untuk membezakan statusnya sama ada sebagai sebuah surau atau masjid.

Tentang persoalan iktikaf pula, sekadar pengetahuan saya bahawa iktikaf boleh dilakukan di masjid dan juga surau yang telah diwakafkan kepada umum, menurut jumhur ulama. Namun saya tidak pasti tentang iktikaf yang dilakukan di dalam surau (bilik khas) di dalam bangunan, pejabat atau rumah.

Wallahualam.

04 Ogos 2011

MELAYU, ULAM, OBESITI.....



gambar dari liapinky90.blogspot.com

Bangsa Melayu adalah satu bangsa yang asalnya mengamalkan memakan ulam-ulaman sebagai sebahagian daripada diet harian.

Ulam seperti maksud yang dinyatakan oleh Majalah Dewan Siswa keluaran Mac 2010 ialah “daun atau buah muda yang dimakan mentah bersama nasi”. Walaubagaimanapun, terdapat juga ulam yang dimakan beserta dengan akarnya. Daun muda lazimnya merujuk kepada pucuk.

Terdapat banyak jenis ulam di alam Melayu ini seperti ulam raja, kacang kelisa, pegaga, timun, kacang panjang, petai, jering, pucuk gajus, bunga kantan, kobis, salad dan banyak lagi. Ia lazimnya dicicah dengan air asam, budu, sambal belacan, tempoyak dan sebagainya.

Ulam-ulaman bermaksud pelbagai jenis ulam. Apabila sesuatu bahagian tumbuhan itu dimasak seperti direbus, dikukus, ditumis dan sebagainya, ia tidak lagi disebut sebagai ulam, tetapi disebut sebagai sayur.

Ulam-ulaman yang dimakan memberikan kesan kepada fizikal dan tingkahlaku kepada umat Melayu itu sendiri.

Fizikal umat Melayu lazimnya lebih kecil berbanding masyarakat Eropah atau Asia Barat. Ini antara lain lantaran tabiat memakan ulam dalam kalangan umat Melayu itu sendiri. Berbeza dengan masyarakat sebelah Barat yang lebih banyak memakan sumber berasas protein yang membentuk otot seperti daging dan ikan, umat Melayu lebih mengamalkan sifat berjimat dalam mengambil protein dengan melebihkan sumber karbohidrat dan serat (ulam) itu sendiri. Jika seekor kambing boleh dihabiskan oleh sekitar 3-4 orang Arab, umat Melayu memerlukan kenduri sekampung untuk menghabiskannya.

Awet muda juga kesan mengambil banyak ulam-ulaman. Ulam-ulaman yang terdiri daripada pepucuk dan bebuah muda mengandungi banyak sel induk (stem cell) berbanding bahagian tumbuhan yang telah matang. Kesan pengambilan ulam-ulaman ini adalah ia mampu membantu tubuh melakukan proses penggantian sel yang telah mati dengan lebih cepat. Akibatnya sel mati di tubuh lebih cepat tersisih dan digantikan oleh sel yang baru meyebabkan tubuh sentiasa mengalami proses keremajaan sel.

Semakin lama hayat sesuatu makhluk, maka semakin kuranglah sel induk yang mampu dihasilkan oleh tubuhnya sendiri. Semakin tua seseorang manusia, semakin kuranglah kemampua tubuhnya melakukan proses penggantian sel. Jika seorang kanak-kanak mengalami luka, lukanya itu akan sembuh dengan begitu cepat. Semakin tua, maka semakin lambatlah proses itu. Sehinggalah seorang yang telah tua akan diliputi tulang yang lemah dan kulit yang berkedut. Ini lantaran tubuh sudah semakin tidak mampu melakukan proses penggantian sel. Maka dengan mengambil ulam-ulaman, terutama sejak muda, ia akan membantu tubuh mendapat tambahan sel induk dan mendapat khasiat awet muda.

Oleh kerana ulam dimakan mentah, maka sel induk yang ada padanya dapat dikekalkan. Ia tidak rosak melalui proses pemanasan atau pemeraman. Ia juga tidak menyalurkan lelemak ke dalam tubuh manusia. Maka kerana itu juga umat Melayu dahulu cergas walaupun telah tua. Berbeza kita hari ini yang termengah jika memanjat anak tangga setingkat dua.

Sejarah memperlihatkan bagaimana Tanah Melayu mencapai kemerdekaan setelah dijajah selama 446 tahun melalui meja rundingan dan bukannya peperangan. Walaupun terdapat beberapa siri peperangan kecil meletus di beberapa negeri, ia tetap tidak melibatkan seluruh umat Melayu yag bangun menentang kebiadaban dan kezaliman penjajah.

Ini lantaran manusia ini dibentuk sifatnya oleh apa yang dimakan olehnya. Kesan memakan banyak ulam-ulaman, umat Melayu menjadi bangsa yang lemah lembut, bersopan santun, bertolak ansur dan sebagainya sepertimana sifat fizikal ulam itu sendiri –lembut. Berbeza dengan orang Arab yang terkenal kasar kerana banyak memakan sumber daging merah.

Lantara itu juga Islam mengharamkan beberapa jenis haiwan dari dimakan seperti haiwan yang makan menyambar, haiwan pemakan najis, haiwan bertaring dan sebagainya. Ini kerana jika memakan haiwan berkenaan, sifat haiwan itu akan menyelinap ke dalam tingkahlaku pemakannya sedikit demi sedikit. Babi contohnya, jika dimakan akan mewariskan sifat kebabian kepada pemakannya seperti tak tahu malu, makan benda kotor, berkongsi kelamin dan banya lagi.

Saya sendiri telah berpuluh tahun berpantang memakan lada dalam bentuk mentahnya, kerana sifat panas yang ada padanya, untuk mengawal perasaan baran yang saya ada. Alhamdulillah nyata amat berkesan.

Hari ini, generasi Melayu moden(?), semakin meninggalkan amalan mengambil ulam sebagai sebahagian diet harian. Jika berpuluh tahun dahulu jajan ala keropok dimakan oleh kanak-kanak sekali-sekala, kini ia mudah didapati di mana-mana. Kemasukan budaya Barat, makanan segera, menambahkan lagi keanjalan minat terhadap diet nenek moyang ini. KFC, McD, Pizza dan banyak lagi serta longgokan kedai tomyam dan kedai mamak mengubah tabiat permakanan umat Melayu.

Data menunjukkan kadar obesiti rakyat Malaysia semakin meningkat. Walaupun nasi lemak sebagai salah satu makanan tradisi Melayu dipersalahkan, namun ia hanyalah fakor kecil yang dikambinghitamkan ketika banyak faktor lain dipandang sebelah mata. Nasi lemak, walaupun berlemak, masih menggunakan timun sebagai ulamnya. Dan ia dahulu tidaklah dimakan hampir setiap hari seperti hari ini.

Umat Melayu dahulu yang terkenal dengan bisanya, masin mulutnya, tinggi firasatnya, hebat langkah tari silatnya, bagai semakin hilang ditelan arus masa. Antaranya kerana makanan yang dimakan saban hari. Makanan berlemak yang melemahkan tubuh. Atau barangkali dalam makanan berpaket yang kita ambil, terdapat bahan dari unsur terlarang yang melemahkan tubuh, melemahkan akal, melemahkan amal, mengubah sifat dan tabiat hingga menawarkan segunung ilmu di dada?

Anda fikir kenapa semakin banyak kes rogol berkumpulan? Yang sifat berkongsi kelamin itu adalah sifat babi asalnya? Apa yang ada dalam makanan kita hari ini?

Mari kembali mengamalkan memakan ulam sebagai sebahagian daripada diet harian kita. Jika ada tanah sekangkang kera, tanamlah ulam raja. Ya, ulam raja …. penguasa istana.