KAMI MENAWARKAN

KHIDMAT PERUNDINGAN MOTIVASI
(ALAM SUKMA CONSULTANT)


BEKAM MODEN
PROSES BEKAM DI RUMAH ANDA SENDIRI (KAWASAN TERTENTU SAHAJA)


PENAPIS AIR IMTIYAAZ PADA HARGA RM598
MEMBELI SAMBIL MEMBANTU EKONOMI UMAT
PRODUK BUMIPUTERA ISLAM TEMPATAN

KULAAN FOODS
MENYEDIAKAN PERKHIDMATAN SAJIAN MAKANAN (CATERING)

SEBARANG MAJLIS DI PERAK, KEDAH, PULAU PINANG, SELANGOR DAN KUALA LUMPUR

hubungi :
fakir_albanjari@yahoo.com





23 Mei 2011

POTONG KAKI KUCING?


gambar diambil dari soffya86.blogspot.com

Zainal : "&*&&%&^^^& (*(%%% %^%%$%^ %^(**& #@$$^^ *&*&*&*"

Pak Ngah Adan : “Ape marah-marah ni Zainal?”

Zainal : “Kumbang ni ha, habis pucuk rambutan aku dimakannya?”

Pak Ngah Adan : “Bior le die, dah rezeki dia makan pucuk rambutan tu”

Zainal : “Idok le, banyak beno makannya, sampai tak naik pokok tu”

Pak Ngah Adan : “Kalau kamu nak bunuh, bunuh aje la, jangan la marah-marah pulak. Dah Allah yang gerakkan dia ke pokok rambutan kamu tu. Bukannya dia ada peraturan tak boleh makan pokok yang manusia tanam”

Zainal : “he he he, ye juge”

Pak Ngah Adan : “Kalau nak bunuh pun, jangan la siksa pulak, bior cepat matinya”

Zainal : “Ye la Adan”

Pak Ngah Adan : “kita ni kan, kalau nampak orang bunuh atau siksa kucing, usahkan depan mata, dalam video pun kita sumpah seranah. Kita sebut la apa punya bahalol la si bongok tu bunuh kucing yang tak berdosa tu, kucing tu curi ikan seekor pun nak dibunuhnya”

“Tapi yang kita ni kekadang tu bunuh kumbang la, bunuh nyamuk la, bunuh semut la, bunuh lipas la, tak rasa bersalah pulak. Padahal sama je semua tu makhluk Tuhan, ada nyawa ada perasaan. “

“Kita buat pulak macam nyawa binatang tu tak ada nilai langsung.”

Zainal : “tak boleh dibunuh ke Adan?”

Pak Ngah Adan : “Boleh, tapi bior la beradab. Nyawa tu hak Tuhan. Kita tak ada hak nak cabut nyawa tanpa sebab. Kalau dah binatang tu sebabkan kerosakan dan penyakit, boleh la dibunuh. Tapi kalau nak bunuh tu, bunuh aje la. Bior cepat matinya. Mulut tak payah la nak sumpah seranah binatang tu. Allah yang gerakkan dia”

“Guru saya dulu tak pernah dibunuhnya binatang tu semua. Kalau nyamuk gigit, dihalaunya macam tu saje.”

“Bila kami tanya apasal tok guru tak bunuh je nyamuk tu?”

“Jawab guru kami : “Dia hisap darah tu dah ketentuan Allah ke atasnya, Allah bagi pulak dia naluri untuk hisap darah kita, bukan darah orang lain, sebab Allah nak uji kita ni macam mana menghadapi ketentuan Dia yang sekecik tu. Cuba la kita fikir, kalau nanti kita susah, macam kalau berlaku peperangan contohnya, kita jumpa pokok rambutan yang ada tuan, kita makan sebab hanya tu makanan yang ada, tapi tetiba tuannya datang dan bunuh kita sebab kita makan rambutan dia, patut tak? Padahal tak habis pun rambutan dia sepokok. Nyamuk ni hisap darah kita, tak habis pun darah kita sebadan, biar la dia nak hidup”"

Zainal : “Abis la pokok rambutan tu nanti Adan oi”

Pak Ngah Adan : “Tu la gunanya cara lain. Kalau kita tak sanggup kumbang tu makan pucuk rambutan tu, kan boleh kita buat solat hajat mintak Allah pelihara pokok tu dari serangan kumbang? Tak keluar kos, kita pun mintak dengan cara yang betul. Allah pandai la nak bagi makan kat kumbang tu kalau bukan pokok kita”

"Kalau tak pun, bunuh la dengan baik"

“Tapi kalau kita redha binatang makan tanaman kita, dapat juga kita pahala sedekah
tanpa susah payah”

“Sebenarnya ada hadis yang aku tak berapa ingat, makruh bunuh semut dan burung but-but, tapi tak berapa ingat dah”

wallahualam

p/s : nak ikut hukum syarak atau hukum warak? he he he

19 Mei 2011

PESAN SANG KODOK


gambar dari http://unik.supericsun.com/jus-kodok-untuk-obat-impotensi-pria.

Telah sampaikah bicara
Yang terhalang itu
Dalam tempurung sang kodok
Yang buruk rupa
Menguak sesamanya
Tanda ribut nak melanda
Dan bayu dingin, hawa panas telahpun sampai

Meriah bermain rerama
Terbang mengepak sayap indanya
Berbangga sesamanya

Bukankah si but but telah berlagu
Dan bangau naik ke darat
Helang pulang ke sarang

Tetiba sampai angin dan air
Bersama api dan debunya
Terpinga sang rerama
Terpana
Tak bersedia

Melompat-lompatlah sang kodok
Menikmati hadirnya masa
Yang dinanti

12 Mei 2011

TAWAKKAL




Tawakkal adalah salah satu urusan hati, amalan hati. Ia tak dapat dilihat, kalau dapat dilihat pun, itu hanyalah tandanya.

Tawakkal ni macam amalan hati yang lain. Ada tebal ada nipisnya. Ada kalanya ada, ada kalanya tiada. Ada campuran, ada sepenuh jiwa.

Tawakkal berasal dari Bahasa Arab. Banyak yang sinonim dengannya seperti wakil dan wakkala. Maksudnya menyerahkan urusan atau hak. Serah, penyerahan, menyerah, beri, memberi, bagi, banyak lagi la.

Walaubagaimanapun, kita lazim menggunapakai istilah tawakkal ini bagi mengertikan menyerahkan urusan kepada Allah, tawakkal kepada Allah. Kita selalu sebut tawakkal je.

Macam biasa, kalau sebut amalan hati ni, kadangkala kita sebut je kita buat amalan ni padahal tidak pun. Kita bersangka-sangka saja kita ni bertawakkal, padahal tidak.

Atau kadangkala (tapi selalunya) kita ni bertawakkal pada waktu tertentu yang sekejap saja, waktu lain kita tak bertawakkal pun.

Hakikat tawakkal yang sepenuh dan sebenarnya adalah hati hilang bergantung kepada makhluk, hilang makhluk dari member kesan, yang ada hanyalah Allah, maka urusan dan segala urusan diserahkan kepada Allah semata-mata.

Hakikatnya, memang hanya Allah yang Maha Mengatur hidup kita tanpa campurtangan makhluk, tapi kita sangat sukar melepaskan diri dari kepercayaan dan keyakinan kemampuan makhluk memberikan bekas ini. Jadinya kerana itulah tawakkal ini sukar dicapai melainkan orang yang jiwanya bersih dan dalam keadaan tertentu tatkala hilangnya keyakinan terhadap kemampuan makhluk memberikan bekas itu.

Iman Al-Ghazali menukilkan dalam kitabnya Minhajul Abidin :

“Istilah mempercayai diri tidak dapat diertikan sebagai tawakkal kerana istilah tawakkal hanya diperuntukkan kepada Allah s.w.t. Menyandarkan tawakkal kepada diri sendiri mendatangkan mudarat yang sangat merbahaya”

Jika kita lihat zaman ini, ramai perunding motivasi dengan aneka progamnya, selalu menekankan keyakinan diri untuk mendorong individu mencapai kejayaan. Maka muncullah slogan ‘aku boleh’, ‘pasti boleh’ boleh itu boleh ini. Hakikatnya ia menekankan kepada keyakinan diri yang amat bahaya menurut Imam Al-Ghazali ini.

Juga menyandarkan keyakinan dan menyerahkan urusan terhadap selain Allah ini, dalam konteks keyakinan diri ini ada banyak keadaannya. Antaranya kebergantungan dan penyerahan diri terhadap diri sendiri lantaran adanya pengalaman, ilmu, harta, keluarga, kemahiran dan sebagainya.

Seperti orang yang menaiki sampan. Lazimnya ketika itu dia bertawakkal kepada sampan itu. Keyakinannya sampan itu mampu membawanya ke seberang. Jika sampan itu karam, orang yang pandai berenang akan bertawakkal pula kepada kepandaian renangnya. Kalau ada sampan lain datang membantu, dia akan bertawakkal kepada sampan lain itu.

Tapi bagi yang tak pandai berenang dan tiada sesiapa dapat membantu, maka ketika itulah harapannya dari makhluk akan hilang. Dan pada waktu itulah tawakkal kepada Allah yang sebenarnya akan muncul. Dia menyerahkan urusannya sepenuhnya kepada Allah sama ada mahu menyelamatkannya atau tidak. Jika Allah berkehendak dia selamat, maka dibiarkannya Allah menentukan bagaimana cara dia dapat diselamatkan.

Bukankah Nabi Yunus dicampakkan ke laut lalu ditelan ikan yu? Bukankan Nabi Ibrahim dicampakkan ke dalam api, lalu Allah menjadikan api itu tenang baginya? Bukankah Baginda Sayyidina Habiballah dikepung untuk dibunuh lalu Allah tidurkan pengepungnya lalu Baginda keluar dengan selamat?

Dunia ini, diri kita, sama ada bertawakkal atau tidak, aturan Allah tetap akan berlaku. Jika Allah menentukan keselamatan diri, jika kita bertawakkal atau tidak, keselamatan itu tetap hadir juga. Jika sampai ajalnya, pasti sampai juga. Maka bukankah beruntung bagi hati yang bertawakkal?

Percayalah wahai aku, bahawa ilmumu tidak mampu menyelamatkanmu. Setinggi manapun bengkung berculamu, atau berapa banyak permainan senjata yang kau ketahui dan senjata yang kau miliki, itu semua tidak mampu melindungimu. Mudah-mudahan pahala atasmu kerana menuntut ilmu, dan bebaskan hatimu dari ilmu itu, kerana aturan Allah tetap berlaku. Tawakkallah.

Bukankah telah saya katakana tawakkal ini urusan hati? Maka tempatnya adalah di dalam hati, bukan zahir.

Memang benar kita perlu sentiasa berusaha dan bekerja sebaik mungkin. Kerana pahala itu atas usaha dan kerja kita. Ya, bertawakkal bukan bererti duduk sahaja tanpa buat apa-apa. Sedangkan orang yang bertawakkal itu, lebih kuat kerjanya dari kita. Lebih Berjaya usahanya berbanding kita. Lebih kaya dia dari kita. Tawakkal urusan hati, kerja urusan zahir. Hati yang bertawakkal sedikitpun tidak bergantung kepada kerja itu.

Oh, jangan ingat orang yang membaca Ayat 1000 Dinar tu mesti orang yang bertawakkal ye. Walau dia baca 1000 kali seharipun. Sebab baca ni amalan zahir. Macam gantung ayat 1000 Dinar di dinding tu la. Orang kafir pun boleh baca dan gantung di dinding ayat 1000 Dinar tau.

Tapi memang bagus kalau kit abaca dan gantung ayat 1000 Dinar tu sebagai ingatan supaya hati kita tenteram untuk bertawakkal.

Ayuh kita tinggalkan kebergantungan kita kepada usaha, ilmu, pengalaman, keluarga, sahabat handai, kroni, pemimpin dan harta yang kita ada. Mudah-mudahan kita akan mencapai tingkat tawakkal yang sepenuhnya.

Seorang murid Imam Al-Ghazali bermimpi bertemu seorang soleh yang memberikan pesan kepadanya “Iman boleh selamat dan sempurna hanya pada orang-orang yang bertawakkal kepada Allah”

Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Maidah ayat 23 bermaksud :

“Dan kepada Allah jualah hendaklah kamu bertawakkal, jika benar kamu orang-orang beriman”

wallahu alam

03 Mei 2011

KISAH HATI, HATI OH HATI......




Kalau nak cakap pasal hati, memang panjang cerita. Tapi kali ni, saya nak bicara sikit pasal urusan atau amalan hati. Sebab kadangkala kita tersilap dalam memahami dan mentafsir urusan hati ni, sampai kita terpedaya dek bisikan syaitan durjana yang mendatangkan was-was di hati kita tentang urusan hati itu sendiri. Maka, marilah kita berhat-hati.

Dalam Islam, urusan hati termasuk dalam ilmu tasauf. Dia tak ada dalam hukum fekah, sebab hukum fekah berkaitan amalan zahir atau fizikal macam muamalat, munakahat, jinayat, ibadat dan sebagainya.

Sedangkan urusan hati ni, kalau nak memperincikannya, kenalah tanya pada tok-tok guru tasauf. Biasanya kalau tok guru yang power tu, semua bidang dia terer. Akidah, fekah dan tasauf sekali.

Cumanya ada juga guru agama atau ustaz yang kurang arif sesuatu bidang macam tasauf ni. Sebabnya tasauf ni berkaitan urusan hati, bendanya tak Nampak, hanya yang merasai yang akan mengerti. Jadinya, memang ramai orang ada ilmu, tapi tak semua merasainya. Yang paling memahami, pastinya yang telah merasainya.

Saya bukanlah pandai pun ilmu tasauf ni, cumanya sekadar yang saya tau dan ada, kita pakat kongsi la sorang sikit buat bekal.

Dalam Islam, amalan hati ada banyak. Dan setiap amalan pulak ada tahap-tahapnya. Antaranya ikhlas, tawakkal, cinta, rindu, syukur, redha, marah, benci, sayang, qanaah, buruk sangka, curiga, kecewa, putus asa, yakin, percaya dan banyak lagi la. Hak ni sebahagian saja yang saya ingat la.

Urusan hati ni letaknya di hati. Benda dalam hati ni lazimnya kita tak boleh nampak. Kita tak boleh Nampak rasa ikhlas, cinta, marah, redha, tawakkal yang duk dalam hati manusia tu. Tapi Allah Nampak la sebab Dia Maha Melihat lagi Maha Mengetahui. Kita ni yang tak dapat nak nampak lazimnya.

Walaubagaimanapun, perasaan di dalam hati manusia ni selalunya akan mempengaruhi tingkahlaku zahir manusia tu. Makanya perasaan itu selalunya terzahir pada perlakuan, kata-kata, memek muka dan aktiviti raga yang lainnya.

Contohnya amalan hati adalah cinta. Spesifik lagi kita ambik cinta dunia. Spesifik lagi sikit, cinta harta.

Cinta harta ni urusan hati, bukannya urusan zahir. Tak ada sapa pun boleh tengok perasaan cinta harta dalam hati orang lain, lazimnya. Hanya Allah dan tuan ampunya hati (tak tepat istilah ni, tapi boleh la nak bagi paham) yang mengetahuinya.

Maka perasaan cinta harta tu selalunya akan mempengaruhi lakuan tuannya. Maka akan terzahirlah rasa cinta harta itu melalui beberapa tindakan seperti bekerja kuat yang amat sampai lupa tanggungjawab dan kewajipan lain terhadap agama, keluarga, masyarakat, negara dan sebagainya, semata-mata nak dapatkan harta dunia itu. Yang dia tau, nak buat itu ini supaya harta dia bertambah, dan jangan buat itu ini yang boleh mengurangkan hartanya. Kerja pagi petang siang malam, simpan duit banyak-banyak, supaya harta it uterus bertambah.

Itu adalah tanda zahir bagi orang yang cinta kepada harta itu tadi. Tapi kita tak boleh pulak nak menghukum atau menyatakan secara tanpa kecuali, orang yang berperlakuan seperti di atas adalah orang yang cinta harta.

Macam yang saya kata tadi, itu hanyalah tanda penzahirannya saja.

Ini krana manusia diberi upaya untuk menzahirkan tindakan yang sebahagiannya dikawal oleh otak. Kadangkala, otak itu mampu mengarahkan tubuh fizikal untuk melakukan sesuatu tindakan yang bertentangan dengan yang sebenarnya berada di dalam hati.

Kerana itu Islam mengakui adanya golongan munafik, iaitu golongan yang kelihatan beriman pada zahirnya, namun membenci, memusuhi dan tidak redha terhadap Islam dalam hatinya.

Makanya, kita sewajarnya tidak menilai manusia terhadap perlakuannya zahirnya semata-mata. Walaupun dalam banyak keadaan ia adalah benar, namun langkah berhati-hati perlulah diambil supaya kita tidak tersalah sangka. Saya utarakan di sini beberapa premis mudah untuk difahami.

Orang yang marah akan bercakap dengan nada yang tinggi, tetapi tak semua orang yang bercakap dengan nada yang tinggi itu sedang marah

Orang yang cinta dunia akan bekerja kuat, tapi tak semua orang yang bekerja kuat itu cinta kepada dunia

Orang yang baik hati suka menolong orang lain, tapi tak semua yang suka menolong orang lain adalah baik hati

Orang yang berani sanggup berjalan malam seorang, tapi tak semua yang sanggup berjalan malam seorang itu berani

Orang yang bersyukur akan melafaz khalimah ‘alhamdulillah’, tapi tak semua yang melafaz khalimah Alhamdulillah adalah orang yang bersyukur.

Maka kita jangan tersilap menilai orang lain melalui tingkah zahirnya.

Jangan kita kata orang yang kuat kerja pagi petang siang malam itu mesti seorang yang cinta dunia atau sebaliknya

Jangan kita kata orang yang bercakap besar itu mesti seorang yang belagak atau sebaliknya

Jangan kita kata orang yang berikan cek sumbangan ikhlas itu mesti orang yang ikhlas atau sebaliknya

Jangan kita kata orang yang pasang bendera di kereta itu mesti orang yang cinta kepada Negara atau sebaliknya

Jangan kita kata orang yang kaya itu mesti orang yang cinta harta atau sebaliknya

Jangan kita kata orang yang berjubah berserban itu mesti orang yang alim atau sebaliknya


Ingatlah, di dunia ini ada orang kebanyakan, menzahir apa ada di dalam hatinya.

Dan ada golongan munafik, pelakon dan penyamar …… yang menyembunyikan apa yang ada dalam hatinya.