KAMI MENAWARKAN

KHIDMAT PERUNDINGAN MOTIVASI
(ALAM SUKMA CONSULTANT)


BEKAM MODEN
PROSES BEKAM DI RUMAH ANDA SENDIRI (KAWASAN TERTENTU SAHAJA)


PENAPIS AIR IMTIYAAZ PADA HARGA RM598
MEMBELI SAMBIL MEMBANTU EKONOMI UMAT
PRODUK BUMIPUTERA ISLAM TEMPATAN

KULAAN FOODS
MENYEDIAKAN PERKHIDMATAN SAJIAN MAKANAN (CATERING)

SEBARANG MAJLIS DI PERAK, KEDAH, PULAU PINANG, SELANGOR DAN KUALA LUMPUR

hubungi :
fakir_albanjari@yahoo.com





30 November 2010

ALLAH DI MANA?




Sorang sahabat bertanya kepada Pak Ngah Adan "kenapa kau tak setuju sangat dengan Wahabi yang kata Allah duduk bersemayan atas Arash tu, kan ada ayat Quran yang kata macam tu?"

Pak Ngah Adan jawab "memang la ada, tapi tu ayat mutasyabihat, bukan muhkamat, maksudnya tak direct, tapi berkias"

"Habis tu, Allah duduk di mana?" tanya sahabat itu lagi

"Allah wujud tidak bertempat" jawab Pak Ngah Adan

"Boleh pulak macam tu?" soal sahabat tu balik

"Apa tak boleh pulak, Allah tu Tuhan, Dia Maha Sempurna, Dia langsung tak sama macam makhluk. Kita ni makhluk, sebab tu kita perlukan tempat" jawab Pak Ngan Adan

"Yang duduk di atas Arash tu?" soal kembali macam tak puas hati

lalu jawab Pak Ngah Adan panjang

"Cuba kau fikir, antara sifat Allah adalah Maha Sempurna, maksudnya tak memerlukan apa-apa lagi sebab dah sempurna. Kenapa kita duduk atas kerusi? Sebab kita letih bila berdiri lama, kita letih sebab kita tak sempurna. kenapa raja duduk bersemayan atas singsana? Sebab nak tunjukkan dia lebih tinggi kedudukan dia berbanding orang lain. Allah Maha Sempurna, jadi Allah tak perlukan apa-apa lagi dah hatta tempat bersemayan"

"Satu lagi, Allah adalah Maha Awal, yakni Dia dah ada sebelum benda lain ada. Dia ada tanpa permulaan dan tak ada kesudahan. kita ada permulaan dan kesudahan sebab kita makhluk. Maka Allah wujud sebelum adanya Arash. Kalau orang kata Allah bersemayan di atas Arash, maka di mana Allah bersemayan atau duduk sebelum adanya Arash?"

"Kalau Allah duduk di tempat lain, lepas tu berpindah dan duduk bersemayan di atas Arash, maksudnya Allah berubah. yang berubah tu adalah makhluk sebab makhluk tak sempurna. Budak kecik memang comel, ramai orang suka, tapi berubah ke dewasa sebab bayi tak boleh kerja dan beribadat, jadinya manusia tu memang tak sempurna, dan semua makhluk tak sempurna. Selain dari Allah adalah makhluk, akan binasa. Maka di mana pulak Allah akan duduk bersemayan bila Arash dah binasa nanti?"

Terangguk-angguk sahabat tadi tanda faham. Lalu bertanya lagi "ooooooo, jadi apa maksudnya Allah bersemayan atas Arash tu?"

Jawab Pak Ngah Adan "Ayat tu menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t ke atas sekalian alam. Macam dalam buku lama ada menyebut sultan itu bersemayan di negeri Perak, itu tak bermaksud duduk, tapi berkuasa"

"Ingat, Allah wujud tidak bertempat, dan tidak diliputi oleh masa. Allah berbeza sama sekali dengan makhluk. Selain Allah semuanya adalah makhluk"

"Sekarang baru aku faham kenapa ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah terlalu memusuhi Wahabi, ini bab akidah dah ni, bukan soal ranting bab zikir je rupanya" Kata sahabat itu lalu meminta diri untuk beredar

p/s : Bagaimana akidah kita? Dah belajar lagi? Takkan setakat belajar di sekolah aje kut...... (Kata guruku)

wallahualam

28 November 2010

LARI KE MANA?




Pada suatu hari Sayidina Umar Al-Khatab r.a ketika menjadi khalifah telah membawa satu pasukan ke negeri Syam. Sampai di sebuah kampung bernama Jabiyah dalam Wilayah Damaskus, sampai berita kepada beliau bahawa penyakit taun sedang merebak di Negeri Syam dan telah menyebabkan kematian beribu-ribu orang. Ia menyebabkan pasukan itu terpecah kepada dua kelompok pendapat. Kelompok pertama mahu berpatah balik bagi mengelakkan dari dijangkiti penyakit taun. Kelompok kedua tetap mahu meneruskan perjalanan lantaran keyakinan mereka terhadap takdir Allah. Mereka menyatakan bahawa hidup mati, susah senang adalah di bawah kekuasaan Allah dan mustahil untuk lari dari QadarNya. Lalu mereka meminta keputusan dari Sayidina Umar.

Kata Saiyidina Umar “kita berpatah balik dan tak usah menempuh wabak”

Orang yang berpandangan lebih baik mereka meneruskan perjalanan diketuai oleh Sayidina Abu Ubaidah. Katanya “Apakah kita boleh lari dari takdir Allah?”

Jawab Saiyidina Umar “memang, kita lari dari takdir Allah, kepada takdir Allah”

Lalu beliau membuat satu perumpamaan

“Bagaimana pendapat tuan-tuan jika tuan-tuan mempunyai kambing ternak, yang dihalau kepada dua lembah, yang satu banyak rumput dan yang satunya kering. Bukankah jika kambing itu digembalakan ke padang yang berumput subur, juga di bawah kudrat Allah?”

Mereka menjawab “ memang kedua-duanya di bawah kudrat Allah”

“Maka, di mana kamu gembalakan?” Tanya Saiyidina Umar

“Tentu di lembah berumput subur” jawab mereka

“Sungguhpun begitu, kita tunggu Abdul Rahman bin Auf, boleh jadi dia mempunyai pertimbangan yang lain” kata beliau

Sebelum Abdul Rahman bin Auf tiba, beberapa orang telah meneruskan perjalanan ke Syam dengan izin Khalifah kerana yakin dengan takdir jua. Abdul Rahman bin Auf hanya sampai keesokan harinya dan berkata.

“Saya telah mendengar dari Rasulullah s.a.w sabda mengenai hal ini”

“Allahu Akhbar” ujar Saiyidina Umar kegembiraan.

“Telah saya dengar dari Rasulullah s.a.w, “Apabila kamu mendengar khabar bahawa wabak berjangkit di suatu negeri, janganlah kamu datang ke negeri itu. Kalau kamu berada dalam negeri itu, janganlah kamu keluar dari sana ke negeri lain”

Dikhabarkan rombongan yang meneruskan ke Syam telah meninggal dunia akibat dijangkiti wabak yang melanda.

* Dipetik dari kitab Tasauf Moden, Prof Dr Hamka.

Hari ini, ramai orang seperti menyalahkan takdir atas apa yang berlaku padanya, walhal ia diberi kemampuan untuk memilih. Apapun pilihan, ia tetap dalam takdir Allah jua.

Ada orang yang kemalangan sebab memandu melulu berkata “Dah takdir aku nak kemalangan hari ni” walhal dia boleh memilih untuk memandu secara berhemah.

Ada orang yang hidup dalam kesusahan berkata “Dah nasib saya, diakdirkan hidup susah” walhal dia masih banyak masa lapang untuk usaha bagi mengubah hidupnya.

Ada seorang pekerja kilang berkata “Aku ni ditakdirkan sesuai kerja kilang je”. Habis tu, kan boleh belajar banyak benda lagi di dunia ni untuk ubah dan tambah takdir tu?

Ada orang yang rumahtangganya berantakan berkata “dah takdir saya dapat suami/isteri tak sehaluan” walhal masa nak kawin dulu ikut rasa cinta sahaja, tak mahu memilih ikut panduan agama

Jika hari ini apa jua takdir yang terjadi atasmu, kita masih punya peluang untuk mengubahnya, berpindah ke takdir lain yang lebih baik. Baik maksudnya lebih banyak manfaatnya, di dunia mahupun di akhirat. Bukan berubah ke takdir yang dapat manfaat sementara.

Tiada 'kalau' untuk perkara yang telah berlalu, namun terlalu banyak 'kalau' untuk masa depan. Pilihlah.

Jangan nak salahkan takdir kerana kita yang malas. Malas belajar, malas bertindak, malas bergaul, malas nak ambil tahu……….

“Jangan asyik nak salahkan Tuhan je, kurang ajar betul” kata guruku

* Islam dah mengajar mengenai kuarantin sejak lama dahulu lagi

Wallahualam.

p/s : kamu tengok kamu atau kamu tengok orang lain?

25 November 2010

IMAN, ISLAM DAN IHSAN




Dari Umar bin Al-Khathab radhiallahu ‘anh, dia berkata: ketika kami tengah berada di majlis bersama Rasulullah pada suatu hari, tiba-tiba tampak di hadapan kami seorang laki-laki yang berpakaian sangat putih, berambut sangat hitam, tidak terlihat padanya tanda-tanda bekas perjalanan jauh dan tidak seorangpun diantara kami yang mengenalnya. Lalu ia duduk di hadapan Rasulullah dan menyandarkan lututnya pada lutut Rasulullah dan meletakkan tangannya diatas paha Rasulullah, selanjutnya ia berkata,” Hai Muhammad, beritahukan kepadaku tentang Islam ” Rasulullah menjawab,”Islam itu engkau bersaksi bahwa sesungguhnya tiada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad itu utusan Allah, engkau mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan mengerjakan ibadah haji ke Baitullah jika engkau mampu melakukannya.” Orang itu berkata,”Engkau benar,” kami pun hairan, ia bertanya lalu membenarkannya. Orang itu berkata lagi,” Beritahukan kepadaku tentang Iman” Rasulullah menjawab,”Engkau beriman kepada Allah, kepada para Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, kepada utusan-utusan Nya, kepada hari Kiamat dan kepada takdir yang baik maupun yang buruk” Orang tadi berkata,” Engkau benar” Orang itu berkata lagi,” Beritahukan kepadaku tentang Ihsan” Rasulullah menjawab,”Engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, jika engkau tidak melihatnya, sesungguhnya Dia pasti melihatmu.” Orang itu berkata lagi,”Beritahukan kepadaku tentang kiamat” Rasulullah menjawab,” Orang yang ditanya itu tidak lebih tahu dari yang bertanya.” selanjutnya orang itu berkata lagi,”beritahukan kepadaku tentang tanda-tandanya” Rasulullah menjawab,” Jika hamba perempuan telah melahirkan tuannya, jika engkau melihat orang-orang yang tidak beralas kaki, tidak berbaju, miskin dan penggembala kambing, berlumba-lumba mendirikan bangunan.” Kemudian pergilah ia, aku tetap tinggal beberapa lama kemudian Rasulullah berkata kepadaku, “Wahai Umar, tahukah engkau siapa yang bertanya itu?” Saya menjawab,” Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui” Rasulullah berkata,” Ia adalah Jibril, dia datang untuk mengajarkan kepadamu tentang agama kepadamu”

Saudaraku,
Iman itu akar, Islam itu batang, dahan, ranting dan daun, manakala ihsan itu adalah bunga dan buahnya.
Tanpa akar pokok kan mati, tanpa batang tiadalah pokok, tanpa bunga dan buah kuranglah seri dan manfaatnya.
Tiadalah buah tanpa batang, tiadalah batang tanpa akar
Iman itu akidah, Islam itu syariat, manakala ihsan itu tasauf
Iman itu duduknya di tempat yang tidak terpandang, ia ada nipis dan tebal, sah dan batal
Islam itu ditanggap pancaindera, ada wajib, sunat, harus, makruh dan haram
Ihsan itu tambahan baik kepada yang halal, memperelok amal dan adab serta membawa ke jalan pulang.
Jalan menerbitkan buah itu ada akar dan pohonnya. Dan tiadalah ia boleh terpisah.
Mudah-mudahan pohonmu tumbuh subur dan berbuah. Boleh menjadi tempat singgah musafir dalam perjalanan. Berteduh dari kepanasan, menenang jiwa dengan pandangan, mengalas perut yang kelaparan.
Mudah-mudahan sampailah ia.

22 November 2010

KISAH TONG SAMPAH




Ini kisah benar pada tahun 2002. Saya ketika itu baru dilantik sebagai Exco Kerohanian Dan Moral Majlis Perwakilan Pelajar UPSI. Saya pada ketika itu berada dalam semester ketiga dari enam semester pengajian. Saya telah menghadiri satu kursus bersama beberapa orang pelajar lain yang kebanyakannya adalah pemimpin-pemimpin persatuan di UPSI. Kursus seminggu berkenaan diadakan pada hujung cuti semester pengajian.
Dalam kursus berkenaan, saya menyedari salah seorang peserta agak berada di dalam keadaan yang berlainan dengan peserta yang lain. Setelah ditanya dan didesak beberapa kali, akhirnya dia menceritakan keadaan kesempitan kewangannya yang pada waktu itu berada di tahun akhir pengajian.
Dia menceritakan bagaimana dia selalu tak punya wang yang mencukupi kerana wang pinjaman PTPTN yang diterimanya diberikan kepada ibu bapanya di kampung yang juga kesempitan kewangan. Akibat daripada itu, dia terpaksa pulang ke kampungnya pada hujung setiap minggu untuk menoreh getah bagi menampung kos pengajiannya di UPSI.
Dia yang mengambil kursus matematik ketika di UPSI, sering mengikat perut dan mencatu perbelanjaan kerana faktor berkenaan. Malah, hampir setiap malam, ketika pelajar lain telah nyenyak tidur, dia akan menyelongkar tong sampah di hadapan asrama penginapannya. Dia akan mencari kertas yang masih boleh digunakan untuk dikumpul bagi tujuan membuat latihan. Lazimnya dia akan mengambil kertas A4 atau kajang yang telah digunakan sebelah sahaja. Kertas yang telah dikeronyok akan disapu dan diletakkan di bawah katil untuk meratakannya semula.
Pada penghujung cerita, dia memaklumkan bahawa dia langsung tak punya wang pada masa itu. Yang ada hanyalah wang sekadar cukup untuk tambang pulang sahaja.
Saya sendiri tak punya banyak wang pada masa itu. Seingat saya, saya baru mengeluarkan RM100 dari bank dan baki dalam akaun adalah RM20. Saya masih punya RM80 setelah berbelanja sebelum ke tempat kursus, telah memberikan RM50 kepadanya.
Dengan izin Allah Yang Maha Kaya, Maha Pengasih lagi Maha Pemurah, saya telah menggunakan wang baki sebanyak RM30 tersebut selama dua minggu. Allah memberikan rezeki makanan dari pelbagai sumber selama dua minggu itu. Apabila duit itu telah habis, saya mula resah kerana pinjaman PTPTN belum diterima. Pada suatu hari saya bagai digerakkan untuk pergi ke bank untuk memeriksa jika pinjaman telah diterima. Alangkah terkejutnya apabila saya mendapati dalam akaun saya terdapat lebih dari RM100 sedangkan saya sangat yakin bahawa duit saya hanya berbaki RM20 sahaja. Takkan itu pinjaman PTPTN kerana jumlah pinjaman adalah melebihi RM2000.
Di sekeliling kita sebenarnya masih ramai orang yang susah, tetapi kita tidak menyedarinya kerana mereka tak punya sikap meminta-minta. Orang seperti ini lazimnya rasa malu untuk meminta walaupun mereka amat memerlukan. Maka adalah peranan kita mencari dan membantu mereka.
Kita yang kebanyakannya pada hari ini di Malaysia, mempunyai pendapatan melebihi keperluan. Jika kita perhalusi, lebih banyak wang kita digunakan untuk tujuan memenuhi kehendak berbanding keperluan. Secara umumnya, kita berada dalam kelompok yang wajar membantu, bukan dibantu.
Masih ramai umat Islam seluruh dunia yang memerlukan bantuan kita. Di merata ceruk dunia, umat Islam masih ramai yang tidak mampu memiliki keperluan asas pun hingga ada yang mati kebuluran. Sedangkan kita setiap hari membazir pada perkara yang dapat dikawal sepatutnya. Paling mudah, lihatlah di restoran dan kedai makan atau rumah sendiri, betapa banyaknya sisa makanan yang terbuang setiap hari.
Sedangkan sedekah itu umpama sebutir padi. Ia akan menumbuhkan tujuh tangkai. Yang pada setiap tangkai akan terbit 100 biji padi.

wallahualam

19 November 2010

KISAH PENGEMIS BUTA




Ini kisah benar yang berlaku pada tahun 1998. Pada waktu itu saya baru menamatkan kursus Diploma Pengajian Perniagaan di Politeknik Ungku Omar. Oleh kerana pada masa itu kegawatan ekonomi sedang melanda, terlalu sukar mendapat pekerjaan sesuai dengan kelayakan, maka saya bekerja sebagai pembantu parkir di Super Kinta Ipoh.

Super Kinta pada masa itu adalah antara pasar raya terkenal di Ipoh kerana belum wujud banyak pasar raya besar seperti hari ini. Salah satu keadaan lazim di pintu masuk ke Super Kinta ialah peminta sedekah yang duduk bersusun memohon simpati pengunjung. Kebanyakannya adalah warga emas atau golongan cacat anggota.

Pada waktu tengah hari, saya lazimnya akan makan di medan selera di tingkat dua bangunan. Di situlah berkumpulnya para pekerja, pelanggan dan peminta sedekah pada waktu makan untuk menjamu selera.

Pada suatu hari ketika sedang menikmati makan tengah hari, saya lihat dua orang remaja perempuan berjalan bersama seorang peminta sedekah wanita warga emas yang buta matanya. Mereka berjalan dan duduk bersama di meja di sebelah saya, memesan makanan dan makan bersama.

Selesai makan saya mendengar dengan jelas salah seorang remaja perempuan itu memanggil pelayan dan bertanya jumlah bayaran yang telah mereka makan. Dengan jelas juga saya mendengar selepas itu remaja itu berkata kepada penggemis wanita warga emas itu :

"Mak, mana duit dapat tadi, orang nak bayar makan ni"

Maka peminta sedekah itupun mengeluarkan pendapatannya pagi itu dan memberikan kepada remaja perempuan tadi. Lalu diambil kesemuanya dan dibayar kepada peniaga.

"Yang lebih ni orang nak belanja kawan orang tengok wayang, jom kami hantar mak kat depan balik"

Sampai di situ, saya tak dapat mengawal perasaan lalu meninggalkan medan selera itu segera

Antara tanda-tanda kiamat adalah apabila hamba melahirkan tuannya.......

Hari ini, walaupun mungkin tidaklah sesedih kisah di atas, semakin ramai ibu bapa yang melahirkan tuan mereka sendiri. Mereka bekerja siang malam dengan penuh kesungguhan dan mungkin kesukaran, bagi mendapat wang yang akhirnya wang itu digunakan untuk memenuhi nafsu si anak yang selalu mahukan kemudahan yang terkini.

Lalu berapa banyakkah dari jumlah gaji yang diperolehi digunakan sebagai bekalan untuk akhirat diri sendiri wahai yang mempunyai anak? Berapa banyak yang diberi kepada anak-anak untuk yang tidak mereka perlu berbanding sedekah yang diberikan kepada umat Islam seluruh dunia yang amat memerlukan? Wahai si hamba..... kamu ini hamba siapa sebenarnya? Hamba anak, hamba nafsu, hamba dunia atau benar-benar hamba Allah?

16 November 2010

GANJARAN SALAWAT





Syeikh Abd Kadir al-Jilani menyatakan kelebihan bersalawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w seperti yang disenaraikan oleh Ibn Farhun di dalam kitab al-Safinah al-Qadiriyyah sebanyak 42 kelebihan. Di sini saya titipkan 21 daripadanya dan sambungannya pada post yang akan datang.

1. Melaksanakan perintah Allah s.w.t.
2. Bersama dengan selawat Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w
3. Bersama dengan salawat para malaikat
4. Mendapat ganjaran 10 kali salawat daripada Allah s.w.t atas setiap kali salawat yang dilafazkan
5. Dikurniakan oleh Allah s.w.t 10 darjat atas tiap-tiap satu salawat
6. Ditulis oleh malaikat 10 kebaikan atas tiap salawat
7. Dihapuskan oleh Allah s.w.t 10 kejahatan atas tiap salawat
8. Segala doa akan diperkenankan oleh Allah s.w.t
9. Mendapat syafaat daripada Rasulullah s.a.w.
10.Mendapat keampunan dari Allah s.w.t dan ditutup segala keaiban
11.Allah s.w.t akan menutup segala dukacitanya
12.Dikurniakan kedudukan yang hampir kepada Rasulullah s.a.w
13.Mendapat darjat al-Sidq
14.Ditunaikan segala hajat
15.Selamat sejahtera pada hari kiamat
16.Allah s.w.t dan para malaikat akan bersalawat ke atas orang yang bersalawat
17.Mendapat khabar gembira daripada Allah s.w.t dengan balasan syurga
18.Selamat sejahtera daripada huru hara pada hari kiamat
19.Rasulullah s.a.w akan menjawab secara langsung ke atas setiap salawat yang dibaca
20.Mudah mengingati semua perkara yang terlupa
21.Mendapat kedudukan yang baik pada hari kiamat serta tidak akan kecewa pada hari itu

Marilah kita bersalawat dengan sebanyak-banyaknya. Terdapat beribu-ribu lafaz salawat dan kaedahnya. biar bagaimanapun ia, yang penting adalah kita terus bersalawat.

WALLAHUALAM

13 November 2010

KERANA SENYUMAN




Kisah ini berlaku beberapa tahun dulu ketika saya masih menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pada malam-malam Ramadhan, saya lazimnya akan menyertai jemaah solat tarawikh sama ada di surau asrama kolej kediaman atau di Surau Annur (dahulunya dikenali sebagai Surau Pak Aris).

Imam solat isyak dan solat sunat tarawikh adalah imam jemputan yang merupakan pelajar tahfiz dari Darul Quran kuala Kubu Baru. Terdapat 3 orang imam yang bergilik-gilir mengimami solat bagi sebuah surau.

Pada suatu malam, di Surau Annur, imam yang sedang mengetuai solat dapat membaca surah-surah selepas bacaan Al-Fatihah dengan lancar tanpa sebarang masalah. Hinggalah pada satu masa pada pertengahan solat, imam kedengaran gagal membaca surah dengan lancar. Walaupun dibantu oleh makmum (imam jemputan juga) yang berada di belakangnya, imam itu tetap tidak mampu membaca dengan lancar. Nampaknya hafalannya telah terganggu malam itu.

Setelah selesai rakaat berkenaan, imam berkenaan telah diganti oleh imam yang lain. Alhamdulillah solat berikutnya berjalan lancar.

Selesai solat, kami yang duduk menikmati moreh bersama, bertanya kepada imam berkenaan, kenapa beliau gagal membaca dengan lancar walhal keadaan sebelumnya adalah sebaliknya.

Dia menjawab bahawa ketika selesai memimpin bacaan doa, ketika sedang bangun untuk rakaat yang berikutnya, dia memandang ke arah makmum seperti lazimnya. Ditakdirkan pada masa itu tirai yang memisahkan makmum wanita terbuka sedikit kerana ditiup kuat oleh kipas. ketika itulah dia terpandang seorang makmum wanita yang cantik kebetulan sedang tersenyum. lantaran itu, kemampuan hafalannya pada rakaat berikutnya terganggu hingga tak mampu lagi memimpin solat.

Jika seorang hafiz mengalami keadaan sedemikian hanya lantaran senyuman seorang wanita, bagaimana agaknya keadaan jiwa kita yang setiap hari tidak dapat mengelakkan diri dari memandang suatu yang haram?

Sedangkan maksud firma Allah s.w.t yang bermaksud :

“Katakanlah kepada laki–laki yang beriman : ”Hendaklah mereka menundukkan pandangannya dan memelihara kemaluannya.” (QS. An Nuur [24]: 30 )

Wallahualam

09 November 2010

HAK PENGGUNA




Setiap insan adalah pengguna. Kita menjadi pengguna barang ekonomi yang dikeluarkan oleh firma, barang awam yang disediakan oleh kerajaan dan barang percuma yang dicipta oleh Allah s.w.t. atas rahmat dan kasih sayangNya. Apakah kita benar-benar menyedari dan memelihara hak kita sebagai pengguna dari peniaga yang menyeleweng dan pengguna lain yang tidak mengendahkan hak kita?

Hak pengguna adalah seperti berikut :

1. Hak mendapat Keperluan Asas

Setiap pengguna berhak mendapat keperluan asas iaitu tempat tinggal, makan minum dan pakaian pada kadar minimum. Adalah menjadi tanggungjawab keluarga terdekat, masyarakat sekeliling dan kerajaan membantu orang yang tak mampu mendapat keperluan asasnya.

2. Hak mendapat keselamatan

Setiap pengguna berhak mendapat jaminan bahawa barang yang ditawarkan dan disediakan untuknya adalah selamat digunakan. Ini bermaksud barang itu tidak membahayakan nyawa, fizikal, kesihatan dan emosi pengguna.

3. Hak mendapat maklumat

Setiap pengguna berhak mendapat maklumat yang telus, tepat dan terkini berkenaan barang, perkhidmatan atau skim yang ditawarkan kepadanya. Ini membolehkan maklumat itu dinilai secara adil dan membantu pengguna membuat keputusan yang rasional.

4. Hak membuat pilihan

Setiap pengguna berhak memilih barang atau perkhidmatan yang diingininya. Peniaga tidak boleh memaksa pengguna mengambil barang yang ditentukannya.

5. Hak bersuara

Pengguna berhak untuk bersuara secara individu atau berkumpulan melalui persatuan. Dengan saluran yang betul, pengguna dapat mempengaruhi kerajaan dalam menggubal peraturan dan undang-undang.

6. Hak mendapat pendidikan penggunaan

Semua pengguna berhak diberikan pendidikan mengenai hak, tanggungjawab dan peranan mereka sebagai pengguna agar mereka dapat mengelakkan diri dari peniaga yang tidak bertanggungjawab dan menjadikan urusniaga perniagaan lebih beretika.

7. Hak mendapat ganti rugi

Pengguna yang teraniaya, terpedaya atau mendapat barang tidak seperti yang disangkanya berhak mendapat ganti rugi yang sewajarnya. Ganti rugi mungkin dalam bentuk barangan percuma, gantian barang, pembaikan percuma atau mungkin sejumlah wang tertentu yang boleh ditentukan oleh mahkamah jika kes dibawa ke mahkamah atau tribunal pengguna.

8. Hak mendapat alam sekitar yang sihat dan selamat

Pengguna berhak mendapat alam sekitar yang bersih dan selamat yakni tidak memberi mudarat kesihatan atau jiwa kepada mereka.

Hak bermaksud sesuatu yang menjadi kepunyaan, maksudnya menjadi kepunyaan pengguna. Pengguna boleh sahaja pada bila-bila masa menuntut haknya, kerana ia menjadi kepunyaannya. Atau pengguna boleh membiarkan haknya tanpa dituntut. Ia adalah hak, bukan kewajipan.

Kesedaran kepenggunaan di Malaysia masih terlalu rendah, hingga ada peniaga yang tidak bertanggungjawab sanggup menganiaya pengguna tanpa rasa takut terhadap tindakbalas pengguna. Dalam hal ini, pengguna di Malaysia wajar belajar dari Barat bagaimana pengguna mereka menjaga dan menggunakan hak mereka sebaik mungkin.

Antara penyelewengan peniaga adalah seperti harga barang yang tidak stabil, kegiatan menyorokkan barang untuk menaikkan harganya, barang berkualiti rendah, barangan yang membahayakan pengguna, timbangan dan sukatan yang tidak tepat serta maklumat yang mengelirukan.

Anda patut ingat kes kekurangan gula, kekurangan minyak masak, susu dicemari melamin, mainan mangandungi plumbum berlebihan, makanan dimasuki serangga, barangan luput tarikh, sistem yang menganiaya dan bayak lagi yang mungkin akan terus menimpa kita dari semasa ke semasa.

Wallahualam

07 November 2010

KHASIAT KOPI





Kopi sering dianggap sebagai minuman yang tidak baik untuk kesihatan walaupun tidak ada kajian yang dapat membuktikannya setakat ini. Antara puncanya adalah kerana kandungan kafein yang terdapat di dalam kopi.

Kajian mendapati kandungan kafein di dalam kopi adalah sekitar 1% sahaja. Kafein pula akan menjadi lemah apabila bergabung dengan protein dari susu.
Antara khasiat meminum kopi adalah seperti berikut :

1. Mengembangkan salur darah. Kerana itulah minum kopi dapat menghilangkan mengantuk. Apabila salur darah mengembang, lebih banyak darah (beserta oksigen) yang dapat dihantar ke bahagian badan antaranya otak. Ia juga akan dapat menghalang pengumpulan toksid di dalam otak. Menghidu bau kopi sudah cukup menyegarkan.

2. Meningkatkan daya denyutan jantung dan nadi. Darah akan bergerak lebih lancar dan keupayaan bekerja akan meningkat.

3. Menjadikan usus lebih aktif. Ini akan membantu tubuh menyerap nutrient dengan lebih baik dan dapat mengurangkan kemungkinan sembelit.

4. Meransang kelenjar perut untuk membebaskan lebih banyak bahan penghadaman. Ini baik bagi membantu penghadaman makanan yang lebih sempurna lebih-lebih lagi makanan yang tidak dikunyah secara sempurna.

Minum kopi selepas makan telah menjadi budaya masyarakat Barat. Namun bagi orang Asia, ia sering dilihat dalam perspektif yang negatif walhal khasiatnya amat banyak. Jika anda masih bimbang, terdapat banyak kopi tanpa kafein di pasaran hari ini.

Kopi, seperti makanan atau minuman apa sekalipun, jika diambil secara berlebihan pasti akan memberi mudarat. Kajian mendapati tikus yang diberi kopi sahaja akan mengalami kematian.

Islam mengajar umatnya agar sentiasa bersederhana. Makan dan minum secara bersederhana adalah baik untuk kesihatan. Seperti mengambil kopi yang berlebihan adalah memudaratkan, minum madu, makan nasi, hatta minum air kosong secara berlebihan pun akan memberi mudarat. Yang penting bersederhana.

Kopi yang dimaksudkan di sini adalah kopi dari biji kopi. Bukan kopi campuran atau kopi segera yang dihasilkan dengan mencampurkan perbagai bahan. Berhati-hatilah mengambil kopi segera kerana khasiatnya tidaklah seperti yang diwar-warkan seperti yang diingatkan oleh beberapa persatuan pengguna beberapa tahun lepas.

Terdapat riwayat menyatakan bahawa kopi adalah antara minuman kegemaran Baginda Nabi Muhammad s.a.w selain madu dan susu.

Wallahualam

Rujukan : Mustafa Ali, Panduan Kesihatan, UiTM

02 November 2010

KERJA KUAT KERANA INGAT MATI



Firman Allah s.w.t. bermaksud: "Tiap-tiap yang bernyawa itu akan merasakan mati"(Surah Ali Imran : 185).

Orang yang sentiasa mengingati mati akan sentiasa bekerja kuat kerana :

1. Dia sedar bahawa kerja yang dilakukan kerana Allah dengan cara yang betul adalah ibadah yakni amal soleh. Lagi banyak amal lagi baik kesudahan selepas mati itu nanti. Lebih kuat dia bekerja, lebih banyak amal soleh telah dilakukan.

2. Dia akan mengelakkan melakukan kecurangan dalam bekerja seperti datang lewat, cuti yang tak sepatutnya (MC padahal tak sakit), buat kerja main-main, rehat masa bekerja kerana dia sedar bahawa kerja yang dia buat dibayar gaji. Dia akan sentiasa memikirkan keberkatan dalam gaji yang diterima. Kerja yang dibuat tanpa kesungguhan yang sewajarnya pasti akan dinilai sebagai amalan yang buruk dan akan mendapat balasan buruk sesudah mati.

3. Dia akan bekerja dengan cara yang betul yang hasilnya akan menyenangkan orang lain. Kerja yang betul dengan cara yang betul sahaja akan menjadi ibadah. Kesannya kerja yang betul akan menyenangkan orang lain kerana tiada satupun yang Islam perintahkan akan menyusahkan orang lain melainkan orang yang jalannya sendiri adalah salah.

4. Dia akan bekerja kerana Allah bukan kerana hasil. Kerana Allah maksudnya untuk mendapat rahmat dan keredhaan Allah. Orang yang bekerja kerana hasil akan hilang motivasi apabila kerja yang dilakukan telah memberi hasil yang diharapkan seperti gaji. Contohnya ada orang berkata "Buat apa nak kerja kuat, gaji yang kita dapat sama sahaja", "Kalau aku bekerja kuat pun, bukan dapat apa-apa", "Aku yang kerja kuat, orang lain yang dapat hasilnya". Itulah kata-kata yang melunturkan semangat bekerja.

Kerja yang dilakukan, jika benar niat dan cara, pasti mendapat penilaian dan balasan yang adil dari Allah. Ia pasti diterima selepas mati. Barulah orang itu bekerja bersungguh-sungguh, kerana dia sedar, setiap kerja yang dilakukannya, pasti mendapat balasan oleh Allah, mungkin di dunia, dan pasti di akhirat.

Bekerja patut dilihat dalam konteks yang lebih luas. 'Kerja' itu bukan sekadar menyumbang tenaga dan fikiran kepada majikan atau pelanggan, tetapi setiap yang kita lakukan. Pekerjaan kita berbeza mengikut masa dan keadaan. Mungkiin kerja kita adalah seorang buruh, pemimpin, ketua, pemerhati, pengkaji, pelajar, suri rumah dan segalanya mungkin.

Allah s.w.t berfirman,

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya (pekerjaannya). Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (QS. Al Mulk: 2)

Sesungguhnya orang yang menyatakan bahawa orang yang sentiasa ingat kepada kematian akan kehilangan semangat dan usaha untuk hidup adalah orang tidak memahami Islam.

Kembalilah, kembalilah, kembalilah, kembali kepadaNya