KAMI MENAWARKAN

KHIDMAT PERUNDINGAN MOTIVASI
(ALAM SUKMA CONSULTANT)


BEKAM MODEN
PROSES BEKAM DI RUMAH ANDA SENDIRI (KAWASAN TERTENTU SAHAJA)


PENAPIS AIR IMTIYAAZ PADA HARGA RM598
MEMBELI SAMBIL MEMBANTU EKONOMI UMAT
PRODUK BUMIPUTERA ISLAM TEMPATAN

KULAAN FOODS
MENYEDIAKAN PERKHIDMATAN SAJIAN MAKANAN (CATERING)

SEBARANG MAJLIS DI PERAK, KEDAH, PULAU PINANG, SELANGOR DAN KUALA LUMPUR

hubungi :
fakir_albanjari@yahoo.com





28 November 2009

"JOM SERANG CIKGU"

Kisah benar ini tauladan untuk semua pesilat / cikgu

Seorang guru (cikgu az) mengajar di sebuah sekolah di sebuah FELDA di selatan negeri Perak. (Nama FELDA tersebut terpaksa dirahsiakan bagi mengelakkan seorang lelaki menjadi lebih gila). Mengajar di kelas dan megajar silat kepada pelajar yang mewakili sekolah.

Suatu pagi guru itu itu mendapati kereta nasionalnya dicalar dengan agak teruk dari depan hingga belakang. Terdapat beberapa jalur yang panjang dan dalam, yang tak dapat dihilangkan dengan menggosok semata.

Maka berderaulah darah guru berkenaan lalu teringat beberapa orang pelajar yang melepak berhapiran keretanya malam tadi. Maka dengan langkah pendekar, diapun mencari pelajar yang memang dikenalinya itu untuk bertanya. Tanya punya Tanya, maka megakulah dua orang pelajar bahawa memang mereka yang melakukannya manakala seorang lagi mengawasi keadaan.

Maka guru berkenaan menuntut ganti rugi untuk kereta berkenaan dicat semula bagi menghilangkan kesan calar yang dibuat. Setelah berbincang maka mereka bersetuju untuk berjumpa bagi menyelesaikan perkara itu di kawasan perkuburan di FELDA berkenaan yang terletak di kawasan ladang kelapa sawit yang jauh dari pandangan orang ramai.

Sesampai di sana keesokan harinya, guru itu yang bersendirian, telah ditunggu oleh 3 orang pelajar berkenaan.

“Cikgu ingat kami takut ke dengan cikgu?” jerit salah seorang dari mereka tiba-tiba

“Cikgu Nampak ni?” jerit seorang lagi sambil menunjukkan sebatang kayu panjang di tangannya.

“Kami tak kira, tak ada bayar-bayar, hari ni nahaslah cikgu” kata pelajar pertama yang juga memegang sebatang kayu.

Ketiga-tiga mereka bersedia dengan kayu di tangan masing-masing.

“Saya nak selesai dengan baik, bukan saya yang mula, kamu yang buat hal dulu” kata Cikgu Az tenang

“Kita selesaikan dengan ni je” kata pelajar tadi sambil mengacu kayu di tangannya

“Saya tak minta, tapi kalau kamu nak bagi, saya tak lari”

Pelajar pertama pun menghayun kayu di tangannya ke arah guru berkenaan, guru itupun mengelak, masuk, dan menangkap tangannya yang memegang kayu. Dikilas dan diberikan satu hentakan di bahu, kuat.

“Hiyaaaah” laung pelajar kedua sambil menghayun kayu ketika rakan pertamanya dilihat terjelopok di tanah.

Sekali lagi dengan tenang guru berkenaan mengelak, menangkap tangan yang memegang kayu, dikilas dan dihentak kuat. Buah yang sama

Pelajar ketiga mula teragak-agak mahu menyerang

“kamu nak juga ke?” Tanya si guru

Tanpa berkata dia pun menghayun kayu ke arah si guru. Si guru mengelak sambil memberikan satu tusukan di perut dan memberikan tendangan kuat ke belakang pelajar berkenaan.

Gedebuk. Jatuh meniarap pelajar berkenaan

“Kamu yang nak, bukan saya suka-suka nak bagi” luah si guru sambil berlalu meninggalkan 3 pelajar berkenaan

Beberapa hari kemudian datang semula pelajar pertama dan kedua bertemu si guru di rumahnya bersama ayah masing-masing

“Tolonglah cikgu, dah puas kami bawa anak kami ni mengurut, tak elok juga” pinta ayah pelajar kedua

“Budak-budak ni kata jatuh motor, dah bawa jumpa Pak Din Patah, tapi kata Pak Din, ni bukan terseliuh jatuh, ni kena buah silat berisi ni. Dah diurut, tak susut bengkaknya. Macam beralih-alih pulak. Puas ditanya, baru budak-budak ni mengaku diaorang kena sebab serang cikgu” luah ayah pelajar pertama

‘Kami minta maaf cikgu, minta cikgu ambik balik apa yang cikgu bagi” sambung ayah pelajar kedua tadi

“Baiklah, mari naik ke atas” jemput si guru

Maka seperti kelaziman mana-mana buah bisa, penimbul dan seumpamanya yang buahnya berisi, si pelajar diberikan air penawar, air guru.

Maka dengan izin Allah, maka sembuhlah kedua-dua pelajar berkenaan yang diberi penumbuk bisa guru berkenaan

SELAMAT HARI RAYA

selamat Hari Raya Aidil Adha semua, Hari Raya Korban.
Berkorban untuk Islam.
Jangan buat pengorbanan yang sia-sia.

24 November 2009

KEMENYAN DALAM SILAT

Apa fungsi kemenyan dalam amalan / adat istiadat beberapa perguruan silat? Adakah ia lantaran silat itu ada hubung kait dengan makhluk halus seperti jin, yakni menyeru jin atau bergantung kepada jin?

Kemenyan lazim digunakan juga oleh perawat tradisional (lazim disebut bomoh/ dukun/ pawang/ kiyai/ ustaz) untuk beberapa tujuan. Antaranya meghilangkan bau busuk badan pesakit yang terkena kuasa halus, yang tidak dapat dihidu oleh orang lain melainkan perawat sahaja. Ada yang kerana menyeru makhluk halus hadir dengan bauan kemenyan sebagai medium panggilan. Dan ada yang menggunakannya untuk menyeru makhluk halus bagi memasuki tubuh perawat berkenaan.

Salah satu gelanggang yang saya kendalikan dahulu terletak di belakang rumah. Di dalam lading kelapa sawit yang lazim kami gunakan pada waktu malam.

Walaupun tidaklah jauh dari rumah, sekadar 50 meter, namun gelap malam menimbulkan suasana tersendiri apabila gelanggang hanya diterangi pelita minyak tanah. Samar dan suram ditemani nanyian cengkerik malam.

Pernah suatu hari, guru meminta saya mengendalikan gelanggang sepenuhnya. Ada majlis perbincangan perkahwinan seorang sahabat malam itu. Maka saya diarah membuka gelanggang seperti biasa. Namun ditambah dengan satu perkara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, iaitu membawa dupa berisi bara yang ditabur serbuk kemenyan mengelilingi gelanggang sebanyak 7 kali selepas upacara membuka gelanggang diadakan.

Seperti diarahkan, selepas menunaikan solat Isya’, saya dan beberapa murid lain menuju ke gelanggang berbekal dupa berisi bara dan diterangi pelita. Sesampainya kami di gelanggang, pelita dipasang di tempat yang disediakan dan kamipun memulakan upacara membuka gelanggang. Dengan membaca beberapa surah lazim Al-Quran, kami yang beratur dalam barisan bertafakur seperi kelaziman. Sesudah itu para ahli gelanggang pun duduk menunggu arahan.

Maka saya mengeluarkan serbuk kemenyan yang dibawa dan ditabur ke atas bara di dalam dupa. Semerbak baunya menusuk rongga menaik aroma malam nan kelam. Seperti diarah, saya pun membawa dupa mengelilingi gelanggan perlahan-lahan. Baru beberapa pusingan, tiba-tiba terdengar gendang silat bergema. Dari perlahan hingga semakin kuat tingkahnya. Kami yang kehairanan membiarkan sahaja. Memang kami atau silat yang berdekatan ketika itu tidak bergendang. Semakin lama semakin rancak dan menaik rasa.

Selepas selesai sahaja membuat 7 pusingan, ketika gendang silat masih terdengar paluannya, angin tiba-tiba bertiup kencang. Bagaikan ribut mahu melanda. Pelita yang terpasang habis terpadam semuanya. Langit menjadi gelap hingga tiada bintang lagi di angkasa. Dalam samar cahaya bulan dapat kami saksikan pokok kelapa sawit melentok daunnya. Habuk-habuk berterbangan, rakan segelanggang mula kesejukan. Ketika itu saya yang masih belasan tahun mula merasa takut dan risau. Kerana bimbang hujan akan turun dan rebut melanda, maka saya mengarahkan gelanggang ditutup semula dan kamipun bergerak untuk pulang.

Amat menghairankan, apabila kami keluar dari kawasan gelanggang, seolah-olah tiada angin kencang yang bertiup pun. Semuanya damai dan tenang. Langit kelihatan cerah dengan bintang bertaburan menghias angkasa. Maka kami kembali ke gelanggang untuk meneruskan latihan. Namun sebaik memasuki gelanggang semula, angin bertiup kencang semula bagaikan ribut sedang melanda. Buat kali kedua, kamipun mennggalkan gelanggang. Aneh, di luar gelanggang tiada langsung terasa tiupan angin. Maka kami terus menuju ke rumah guru yang ketika itu kelihatan seolah sedang menunggu kami.

Kata guruku “Ada panglima yang datang ke gelanggang, kalau kamu tidak meninggalkan gelanggang, maka kamu akan bertemu dengannya, dan berkongsi ilmunya”
P/S : Amalan di atas telah lama saya tinggalkan

18 November 2009

PANGLIMA HITAM, PANGLIMA MERAH, PANGLIMA HIJAU

Silat pertama yang saya gelanggangi adalah Khalimah Gayong, diikuti Pancaindera dan Harimau Berantai. Khalimah Gayong permainannya berkekuda tegak bak solat. Buah ibu melahir anak. Dari anak lahir cucu. Cucu bercicit dan berpiut. Pancaindera banyak bunga laksana silat pulut / pengantin. Kunci dan buka, kunci dan buka. Permainan buah tanpa pemati. Harimau Berantai pula kekudanya sedikit rendah dengan kaki selari dan badan sedikit disendengkan. Cukup gemar bermain gomol di tanah, musuh dijatuhkan dan buah bersambung-sambung dengan sedikit sahaja kuncian. Jatuh, makan, makan dan makan. Kebetulan atau apa, kecuali Pancaindera, permainannya tidak menapak ke belakang, yang ada hanya mara, kau masuk, aku masuk.

Dalam aliran Harimau Berantai, ada 3 panglima yang selalu disebut guruku iaitu Panglima Hitam, Panglima Merah dan Panglima Hijau. Lantaran ketika itu usia terlalu muda, pertengahan belasan tahun, tanpa ilmu yang mencukupi, apa sahaja yang disampaikan oleh guru diterima seadanya.

Menurut guru, ketiga-tiga panglima itu bisa diseru dan memasuki tubuh ketika perlu seperti untuk tujuan pertempuran atau latihan.

Pernah suatu hari, dalam kesekian kalinya bergelanggang, dan saya telah menjadi murid paling senior dan membantu guru dalam latihan, kami dikumpulkan di atas rumah lewat latihan malam itu. Berbekal dupa dipenuh bara, kemenyan yang dihancur di tangan ditabur menaik aroma hingga ke anjung. Guru memanggil saya dan berpesan untuk menjawab salam ketika dilihat sesuatu memasuki tubuhnya.

Pesan guru, jika ketika salam diberi, wajahnya melihat arah kanan, itu maknanya yang hadir adalah Panglima Hijau, jika memandang kiri itu Panglima Merah dan jika menghadap arah depan, itu Panglima Hitam.

Selang seketika, guru saya menundukkan wajah dan membaca sesuatu yang tidak jelas di telinga. Aroma kemenyan yang kami cari sendiri di hutan amat kuat menyucuk hidung. Setelah beberapa ketika, guru saya mendongakkan kepala ke arah saya tanpa membuka mata. Sekonyong-konyong guru saya memberikan salam tetapi dengan suara yang bebeza. Lebih garau dan perlahan tuturnya, bak orang tua. Maka tahulah saya bahawa yang hadir malam itu adalah Panglima Hitam.

Maka sayapun menjawab salam sambil menghulur tangan untuk berjabat. Maka dia pun bertanya apa khabar guruku. Saya pun memberikan khabar dan memperkenalkan diri sebagai murid kanan guru seterusnya memperkenalkan rakan-rakan segelanggang seorang demi seorang. Selepas itu kamipun bersama-sama bangun turun ke gelanggan yang berada di tepi rumah guru.

Lazimnya, jika mana-mana panglima hadir seperti itu, maka peluang untuk kami sebagai murid menambah ilmu buah-buah silat. Walaupun tidaklah sahaja melalui cara menurun itu, namun itu lebih mudah kerana panglima boleh diseru apabila mahu. Pernah juga saya diberi sebiji batu untuk diletak di bawah bantal tatkala tidur, untuk bertemu mana-mana panglima di dalam mimpi. Dan saya pernah bertemu, di dalam mimpi, Panglima Hijau yang menurunkan beberapa doa amalan sebagai pakaian.

Kini, amalan berkenaan telah lama saya tinggalkan kerana terdapat unsur yang bertentangan dengan akidah Islam di dalamnya. Ia hanya tinggal dalam kenangan semata. Dicatat di sini, buat tatapan sahabat pembaca, sebagai sebahagian kisah realiti alam persilatan Melayu untuk dijadi panduan, dan menambah pengetahuan.

13 November 2009

MENGESAN AURA SERANGAN

Sahabatku, marilah berkongsi dan kongsikanlah ilmumu padaku. Ini sedikit lagi buah tanganku.

Ini juga merupakan teknik mengelak serangan tidak terlihat.

Sesungguhnya aura seseorang yang sedang atau ingin menyerang dapat dikesan tatkala ia baru muncul lagi. Tatkala hati seseorang terdetik untuk menyerang maka aura menyerang akan terpancar dari tubuhnya. Ia dapat dikesan. Cuma kadangkala lemah, kadangkala kuat. Kadangkala kita dapat rasai, kadangkala walaupun auranya kuat, kita tidakpun sedari.

Apabila niat menyerang tercetus, ia akan terus sampai ke otak dan otak akan mentafsir maklumat yang diterima. Tatkala itu, tubuh telah dihantar maklumat oleh otak dan ia akan tesedia untuk melakukan serangan. Degupan jantung semakin laju, nafas semakin penuh dan panjang, tubuh akan semakin panas dan mula bergetar, otot mula menegang. Mungkin kerana tercampur perasaan marah atau rasa ingin menguasai keadaan.

Bagi yang menuntut, atau beramal, aura itu dapat dikesan. Yang lazim saya alami, kita akan rasa nafas sendiri menjadi sukar disedut seolah-olahnya ada sesuatu menghalang salur nafas. Dada terasa bagai dihimpit sesuatu lantaran kekuatan aura yang terpancar. Kadangkala cuping telinga kiri berasa panas tak tentu hala, dan ada lagi yang tidak boleh dikongsi di sini.

Semenjak menuntut silat seawal usia 14 tahun, salah satu tempat yang sering digunakan untuk berlatih ilu persilatan bersendirian adalah di kawasan belakang rumah. Kawasan kebunan pokok buah-buahan dan pelbagai biatang ternakan. Latihan bersendiri mengulangkaji dan mengingat teknik gerak tari, gerak elak, gerak tangkis, gerak pukul dan gerak buah-buah silat. Lazimnya, tatkala latihan dimulakan selepas membuka gelanggang bersendiri, hampir semua ternakan berhampiran akan berbunyi bising seolahnya ada sesuatu ancaman yang besar laksana ibu ayam melihat helang di udara. Ayam, kambing, kucing, beburung, tupai lazimnya akan menegakkan kepala, berbunyi bising dan cuba melarikan diri sejauh mungkin dari tempat latihan. Pada pengamatan saya, aura tubuh saya dapat tersebar sejauh sekitar 50 meter dari tubuh, kawasan yang akan kosong dari ternakan (keuali tekurung) apabila latihan dilakukan.

Pernah juga saya yang meminati kehidupan kesufian ini cuba menyendiri di kawasan hutan dan perkebunan jauh dari rumah. Terdapat satu kawasan hutan kecil yang telah saya tebang, digali telaga menggunakan cangkul sekadar mencukupi airnya untuk tujuan bersuci, dan didirikan pondok kecil tempat memuhasabah diri dan merenung kebesaran Yang Maha Besar. Tatkala itu, hati kosong dari dunia, tiada ingin pada dunia.Tidak punya rasa ingin mengancam apa-apapun. Pernah beberapa hari, dalam tempoh menyendiri itu, bertemu dengan binatang hutan seperti babi, burung enggang, dan ayam hutan. Peliknya, haiwan itu bagaikan tidak punya perasaan takut. Ayam hutan yang takut pada manusia, yang lazimya berlari atau tebang jauh pabila melihat kelibat manusia, pada ketika itu kelihatan tidak sedikitpun rasa takut melihat saya. Dalam beberapa kali pertemuan, ayam itu tidakpun lari walhal berada pada jarak tidakpun sampai 1 meter. Saya beranggapan itu kerana ia langsung tidak dapat mengesan aura ancaman dari saya. Tidak seperti ayam ternakan jinak yang lari sedapat mungkin tatkala latihan silat diadakan.

Maka, pada pandanganku, aura serangan dapat dikesan oleh kita, hatta makhluk lain seperti haiwa juga. Cumanya bagaimana mahu mengasahnya? Bersediakah hati dan tubuh kita yang diselaputi karat maksiat ini dibersihkan untuk dapat merasai kewujudan sesuatu yang bukan zahir bentuknya?

Yang penting, BERGURULAH. Dan bergurulah pada yang tahu, dan tahu jalan kebenaran, dan tahu membantu. Mudah-mudahan dengan ilmu mengesan aura serangan ini, kita terselamat dan dapat mengelak dari serangan tidak terlihat. Wallahu’alam.

10 November 2009

ELAK SERANGAN TIDAK TERLIHAT

Satu persoalan yang selalu bermain di benak pengamal ilmu beladiri, adakah serangan yang tidak terlihat seperti pukul curi dari belakang, serangan ketika tidur atau serangan berlapis dalam pertempuran boleh dielak atau ditangkis?

Sering kedengaran juga pengamal beladiri yang hebat tumpas lantaran serangan yang tidak terlihat.

Jawapan yang saya ingin cadangkan adalah YA, IA BOLEH DIELAK DAN DITANGKIS

Maka, bagaimana caranya? Saya ingin mencadangkan beberapa kaedah yang boleh diamal.

1. Amalkan doa tertentu

Mengamalkan doa tertentu yang memohon pelindungan Allah s.w.t sepajang masa adalah cara terbaik mengelak serangan tidak terlihat. Mudah-mudahan niat menyerang kita akan terhalang atau dijadikan serangan itu tidak memberi mudarat.


2. Elakkan sebarang bibit-bibit petelingkahan

Salah satu cara terbaik juga bagi elak atau tangkis serangan tidak terlihat adalah mengelakkan bibit-bibit pertelingkahan dengan siapapun. Memastikan orang lain senang hati dengan kita membolehkan orang lan tidak berniat menyerang kita. Maka semakin besar peluang kita untuk selamat.

3. Berbaik budilah dengan semua orang.

Kata arifin (orang yang arif), perbanyakkanlah teman, kerana seribu teman belum memadai, dan elakkanlah bermusuhan kerana seorang musuh terlalu banyak untuk ditangani. Mudah-mudahan sahabat yang baik akan mendoakan keselamatan kita. Sesungguhnya doa dari seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain tanpa diminta dan diketahui adalah sangat makbul. Semoga persahabatan yang akrab menjadi benteng dari serangan tidak terlihat.

4. Amalkan zikir @ amalan tertentu

Terdapat jenis zikir dan amalan yang menjadikan pengamalnya dikurniakan sesuatu kelebihan ilmu seperti pengasih, penggerun, penunduk, perabun, pelimun, gerak hati, bisik semar, firasat, makrifat (bukan tahap tasauf) dan lain-lain yang kita tak tahu. (sebahagian nama ilmu ini diambil dari http://oghangbaado.blogspot.com)

5. Fahami bahasa badan

Ada orang kata bahasa gerak. Dari gerak badan, memek muka, nada suara, pandangan mata, dapat ditafsir niat dan ingin. Jika nyata ada niat yang mampu membawa serangan, elakkan sedapat mungkin.

Apa yang pasti, bergurulah bagi mendapat pakaian diri. Jika ada rezeki, dapatlah persalinan laksana besi. Atau mungkin persalinan sufi peluntur hati. Atau persalinan kulit harimau penggerun rasa. Cari dan gali. Silat, sebagai tradisi beladiri Melayu, mengajar adab dan budi di samping gerak badan. Yang dengan adab dan budi itu serangan dapat dielak sebelum ia terjadi lagi.

Seperti kata guruku En. Azman “Cara memenangi pertempuran adalah mengelakkan konflik, penggunaan buah-buah silat adalah jalan terakhir apabila konflik tidak dapat dielak lagi”
p/s : apa yang diajar guru-guru silat masa kini? hingga perpecahan semakin menjadi-jadi? ke mana hilang adab dan budi?

09 November 2009

PERTANDINGAN CIPTA LOGO

pertandingan mencipta logo perniagaan

ALAM SUKMA CONSULTANT

apa sahaja bentuk boleh asalkan tak nampak lucah dan ganas yang keterlaluan.

hantarkan penyertaan anda kepada fakir_albanjari@yahoo.com

ada HADIAH menanti anda!

05 November 2009

MAT INDON DAN MAT SALEH ITU...

Pekan Kuah, Langkawi 10.56 pagi

“Tengok tu, kat kampung kita ada, kat KL ada, kat sini pun ramai jugak. Kat man-mana pun ramai Indon” cebik Noh agak kuat. Supaya kawannya Ismail dengar.

“Usah kata kat sini,kat dalam TV, kat dalam radio, kat dalam paper, kat mana-mana pun Indon ni ramai. Menyampah aku” balas Ismail sambil membuat muka toyanya.

“Eh, tepi sikit, kami nak lalu ni, tak Nampak ke?” Tanya Noh meninggi pada sekumpulan warga kerja Indonesia yang asyik berbual di hadapan sebuah kedai bebas cukai.

“Huh……” dengus Ismail memanjang tanda tak puas hatinya.

“Maaf pak, kami enggak seder bapak mahu laluin di sini” kata salah seorang daripada mereka.

“Kau tengok la tu, teruk betul, pelancong Mat Saleh nak shoping pun tak selesa macam ni, rugi la peniaga kalau macam ni” luah Ismail lagi

Tiba-tiba sekupulan pelancong Mat Saleh berjalan bertentangan arah dengan Noh dan Ismail. Noh pun pantas menarik tangan Ismail ke tepi sambil tersenyum kepada pelancong Mat Saleh tersebut sambil kepalanya tertunduk-tunduk hormat.

Sorry sir” kata Noh sambil tersandar rapat ke dinding memberi laluan.

Para pelancong itupun tersenyum dan berbisik di dalam hatinya….

Bodohnya orang tempat ni, aku yang tak sekolah ni pun dia panggil sir
Siap tunduk pulak tu, tak sia-sia nenek moyang aku jajah negara ni dahulu
Degan orang seagama sebangsa tapi lain negara diorang tak hormat langsung ke?
Kenapa diorang marah banyak cerita Indon di TV dan lagu Indon di radio? Sedangkan cerita dan lagu orang putih lagi banyak di TV dan radio, cerita bangsa yang pernah menjajah mereka ni.
Orang Indon buat jenayah jalanan kena tangkap, orang putih buat jenayah komersial disebalik undang-undang boleh kaya raya
Orang sini nampaknya bangga boleh cakap orang putih, pakai barang jenama orang putih, tengok tv / wayang cerita orang putih, nyanyi lagu orang putih, nama anak pun makin orang putih…
cerita orang putih tak ada satu pun yang cuba martabatkan Islam, cerita Indon banyak la, tapi....

p/s : perkataan Mat Saleh berasal dari istilah 'mad sailor' kerana pelayar orang putih dahulu suka mabuk-mabuk di atas kapal mahupun setelah mendarat di bumi. Sekarang pun. Apa hebatnya mat saleh berbanding Indon? siapa lebih banyak sumbangan kepada kita? siapa lebih banyak buat onar di negara kita? SIAPA???????